Jumaat, 27 November 2009

Info



Obesity Link to Erectile Dysfunction
The belief that obesity and erectile dysfunction are linked has been circulating for years. Now, however, we have the research to prove it. A study published in The Journal of Sexual Medicine found that men who are obese and suffer from erectile dysfunction have decreased levels of hormones such as testosterone. The study was conducted on 2,435 men who sought treatment for erectile dysfunction between 2001 and 2007. Two out of three men with severe obesity clocked in with low testosterone levels. Dr Irwin Goldstein, the editor-in-chief of the journal, says the study demonstrates a link between general health and sexual health.

Health Benefits of Sex
Studies around the world have found that having sex a few times a week may bring about the following benefits:
*Better sense of smell
*Better hearth health
*Better weight management
*Better pain management
*Better immune system
*Better bladder control
*Better oral health
*Better prostate health
For more information, go to www.forbes.com/2003/10/08/cz_af_1008health.html.

Working Late? Park in a Safe Zone!
Parking your car requires some thought if you want to get home safely at the end of the day. Here are a few tips to ensure parking safety:
! Always park in a well-lit area, preferably in a busy location.
! Avoid listening to music or talking on the phone when walking to your car. These are distractions and may invite snatch thieves.
! If you need to work late, move your car to a safer and more accessible spot during the day.
! Be aware of your surroundings, if you see someone lurking around your car, don’t get in. Wait for the person to leave or until there are other people around whom you can call for help should the need arise.

SUKHOI TUNJUK TARING - Buat Kali Pertama Di ASAHAN


Buat pertama kalinya pada 9 Julai yang lalu, dua buah pesawat Su-30MKM telah melakar sejarah apabila mempertontonkan kemampuannya untuk melaksanakan pengeboman menggunakan bom biasa tanpa kawalan (dumb bomb) terhadap kawasan sasaran menggunakan bom hakiki. Selain dari mempamerkan kemahiran tersebut ia turut mencipta rekod pengguguran bom paling banyak dari sebuah pesawat udara dalam satu penerbangan lintas atau ‘sortie’.
Pada pertunjukan kuasa tempur udara oleh pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum ini, jumlah bom paling banyak yang digugurkan dari sebuah pesawat sekali gus adalah enam butir, lazimnya oleh pesawat F/A-18D. Kali ini dua buah pesawat Su-30MKM telah menggugurkan 16 butir bom setiap sebuah. Bom-bom berupa ‘dumb bomb’ yang tidak mempunyai keupayaan kawalan penderia elektronik mahupun optik ini disasarkan terhadap sasaran terbuka di kawasan di lapang sasar Gemas, Negeri Sembilan dan turut disaksikan oleh DYMM Sultan Kedah. Selain dari dua pesawat Sukhoi tersebut, empat pesawat Hawk turut mempamerkan aksi penembakan roket tanpa kawalan pada sasaran khusus. Sistem-sistem roket ini lazimnya akan dilepaskan terhadap sasaran seperti konvoi kenderaan armor dan kereta kebal musuh, memandangkan roket-roket yang digunakan adalah yang mempunyai kuasa robekan armor yang baik, selain dari kepelbagaian jenis kepala peledak yang mampu diguna pakai.

OFAB 100-120
OFAB adalah sejenis siri bom tanpa panduan yang boleh digugurkan dari pesawat udara sama ada pesawat pejuang yang bersaiz kecil pada bahagian sayap, mahupun pesawat pengebom yang lebih besar yang dibawa di bahagian dalam geladak bom. OFB adalah akronim kepada ‘oskolochno-fugasnaya aviatsionnaya bomba’ yang membawa maksud ‘bom pesawat udara serpihan/letupan tinggi’. Rekabentuknya dipercayai adalah merupakan kesinambungnan dari rekabentuk bom yang telah diguna pakai sejak dari era Perang Dunia Kedua dan bersesuaian dengan doktrin pihak Rusia, mana-mana sistem atau senjata yang dianggap telah mencapai tahap pengoperasian yang berkesan ia akan diguna pakai secara meluas sehinggalah tiba suatu masa apabila terbukti ia tidak lagi relevan atau sesuai untuk digunakan. Contoh sistem sedemikian adalah seperti bom OFAB dan juga raifal Avtomat Kalashnikova. Pada asalnya terdapat tujuh jenis bom siri OFAB, ini termasuklah OFAB-100M, OFAB-100MH, OFAB-100NV, OFAB-100-120, OFAB-250M. OFAB-250-270 dan OFAB-500U. Pada 1996 enam lagi siri bom telah diperkenalkan iaitu OFAB-500U dengan bentuk yang lebih aerodinamik, OFAB-250T, OFAB-250 ShN dan OFAB-250.

Nombor yang tertera selepas perkataan merujuk kepada kategori saiz bom-bom tersebut, manakala huruf berasingan selepas nombor pula membawa maksud jenis-jenis bom bagi tujuan atau kesan pemusnah tertentu. Secara amnya bom OFAB adalah sesuai untuk disasarkan kepada kenderaan armor ringan, posisi atau markas sementara musuh di medan serta anggota yang berada di kawasan terbuka. Pengaktifan bom di kawasan sasaran adalah secara impak, walaupun demikian bagi bom OFAB-250M terdapat kuar peledak yang panjang di hadapan muncung bom dan akan menyebabkan bom meletup pada kedudukan 1.5 meter di atas permukaan bumi, sebaik kuar terhentak pada objek atau tanah. Sistem fius peledak ini dipasang untuk memberikan impak letupan dan serpihan maksima terhadap sasaran dan kawasan yang mahu dimusnahkan. Ini penting kerana jika tanah di kawasan permukaan bumi sasaran bersifat agak tanah lembut, gambut atau berpasir, kemungkinan bom terperosok ke dalam tanah sebelum letupan berlaku akan mengurangkan kesan kemusnahan, baik akibat letupan kuat mahupun serpihan terhadap sasaran. Selain itu satu sistem payung terjun khusus juga boleh dipasangkan pada bahagian belakang bom untuk melewatkan kejatuhannya ke permukaan bumi sekiranya ciri ini diperlukan. Pengeboman menggunakan bom OFAB yang dilewatkan kejatuhannya ini lazimnya dikaitkan dengan pengeboman jarak amat rendah yang mementingkan ketepatan serta keselamatan pesawat. Pada jarak amat rendah jika bom tidak dilewatkan penghantarannya ke sasaran, ia mungkin akan impak ke sasaran sebelum sempat pesawat yang melancarkannya keluar atau terbang tinggi agar kesan letupan atau serpihan tidak membahayakannya.

Bom yang digugurkan oleh pesawat Su-30MKM adalah dari jenis OFAB-100-120. ia mempunyai diameter 273mm dengan panjang keseluruhan bom adalah 1,065mm manakala berat keseluuruhan bom pula adalah 123kg yang mana bahan letupan jenis XE yang dibawa bagi setiap bom adalah seberat 46kg. Secara amnya bom OFAB mempunyai bahagian kulit luaran yang lebih tebal untuk mempertingkatkan daya pemusnah yang diakibatkan oleh lebih banyak serpihan apabila ia meletup. Keseluruhan 18 butir bom OFAB-100-120 yang digugurkan di Lapang Sasar Gemas oleh hanya sebuah pesawat Su-30MKM pada hari tersebut merangkumi kawasan impak letupan dan serpihan seluas lima buah padang permainan bolasepak.

Pod Damocles
Selain mengugurkan bom, penonton pertunjukan kuasa udara juga telah buat pertama kalinya dapat melihat kedua-dua pesawat Su-30MKM dilengkapkan dengan pod penderia Damocles. Pod ini adalah merupakan pod penderia yang dipasangkan pada bahagian bawah badan atau sayap pesawat bagi tujuan penentuan sasaran yang mampu melaksanakan pelbagai jenis tugasan berkaitan dengan pengenalan, pengawasan dan panduan sistem penderia serta persenjataan terhadap sasaran yang mahu dimusnahkan dari sebuah pesawat udara.

Ia dihasilkan oleh firma Thales, Perancis dan merupakan kesinambungan dari sistem pod sebelumnya, iaitu sistem ATLIS II dan CLDP. Mula diuji pada tahun 2000, 15 pod sistem Damocles telahpun digunakan pada pesawat-pesawat Super Etendard Modernise atau SEM yang beroperasi dari kapal-kapal pengangkut pesawat Perancis sejak dari tahun 2002 manakala pesawat-pesawat Rafale F3nya pula dijangka akan mengoperasi sistem sama mulai tahun ini. Keunikan sistem Damocles ini ialah selain berfungsi sebaga isistem penentuan sasaran, ia juga boleh bertindak sebagai sistem navigasi pandangan hadapan infra-merah atau NAVFLIR. Apa yang dilakukan oleh Thales adalah memasang sistem NAVFLIR di dalam pod unit Damocles yang membolehkan kedua-dua sistem dipasangkan pada hanya satu pautan dibawah badan atau sayap pesawat, menjimatkan ruang disamping membolehkan pesawat untuk membawa lebuih banyak beban persenjataan dan sebagainya. Malaysia dan Emeriah Arab Bersatu adalah dua negara yang menggunakan sistem sedemikian, dengan Malaysia pada pesawat Su-30MKM dan Emeriah Arab bersatu pada pesawat Mirage 2000-9. Emeriah Arab Bersatu menamakan sistem Damocles sebagai Shehab, manakala sistem NAVFLIR sebagai Nahar.

Kejayaan mengasimilasikan pod Damocles kepada pesawat Su-30MKM milik TUDM telah membuka mata pihak tentera udara Rusia untuk mengikut jejak langkah yang sama memandangkan dalam ujian-ujian yang dilaksanakan oleh tentera udaranya, sistem tersebut dianggap lebih baik dari sistem Saspan dan Solux yang dihasilkan oleh firma UOMZ (Ural Optical & Mechanical Plant) yang merupakan pengeluar pod penderia terkemuka Rusia. Pada 2007 pihak Thales telah mencapai persetujuan dengan firma UOMZ untuk menghasilkan sistem versi khusus pod Damocles yang sesuai dengan kehendak pihak Rusia dengan menggunakan perisian yang dihasilkan sendiri oleh mereka. Ini juga bakal menjadikan sistem Damocles sebagai sistem berkaitan pesawat tempur buatan negara Barat yang pertama dipersetujui oleh pihak tentera udara Rusia sendiri untuk diintegrasikan ke dalam sistem pesawat-pesawat mereka.

Ciri-ciri utama sistem pod Damocles termasuklah kemampuan untuk menentukan sasaran secara pancaran laser, penunjuk sasaran laser, pengukur jarak laser, pengawasan ruang udara taktikal, pemantauan sasaran udara ke udara serta navigasi FLIR. Apa yang menyebabkan sistem ini dianggap berkeupayaan tinggi adalah kerana kemampuannya untuk beroperasi sehingga pada jarak jauh, sistem penstabilan imej yang amat baik serta sistem pancaran laser dua-julat yang berkuasa tinggi. Selain itu ia juga boleh diguna pakai dalam mod dwi-fungsi, iaitu untuk pemantauan sasaran udara ke udara dan juga udara ke bumi. Sistem pod tersebut boleh dipadankan dengan pelbagai jenis sistem persenjataan terkini yang menggunakan pelbagai jenis sistem penderia serta arahan dan kawalan. Ini termasuklah sistem-sistem peluru berpandu dan bom yang menggunakan sistem navigasi inertia (INS), sistem penentuan posisi global (GPS) dan juga sistem panduan pengimejan infra-merah (IR Imagery).

Penggunaan sistem laser dan pengimejan berkuasa tinggi adalah amat kritikal pada pod-pod penderia kerana dengan mempunyai unsur sedemikian ia mampu melaksanakan siri penentuan dan pelepasan sistem senjata ke arah sasaran dari jarak jauh (long range stand-off) tanpa perlu risau mengenai tindak-balas musuh. Ia juga dikatakan mempunyai sistem rekabentuk terbuka yang membolehkan sistem ini dipertingkatkan keupayaannya pada masa akan datang. Pada bulan Jun yang lalu, Thales telah mengumumkan bahawa ia kini dalam proses menghasilkan sistem pod terkini iaitu Damocles XF (XF bermaksud eXtended Features) atau yang mempunyai beberapa ciri terkini yang lebih berkemampuan dan sistem ini dijangka akan diperkenalkan pada 2012.

Hawk & CRV7
Sebelum pesawat Su-30MKM membuat pengeboman di lapang sasar, terlebih dahulu pesawat-pesawat Hawk telajh melaksanakan penembakan roket udara ke permukaan menggunakan sistem jenis CRV7 dari pod pelancar LAU-5003 yang dipadankan dengan muncung AFF. Setiap pesawat memebawa dua pod roket LAU 5003 yang merupakan sejenis pod tembak buang (disposable).

Riket CRV7 adalah sejenis roket bebas tanpa panduan yang dihasilkan oleh firma Bristol Aerospace yang beroperasi di Winnipeg, Manitoba, Kanada. Roket ini berkaliber 70mm dan telah mula diperkenalkan pada awal tahun 1970an. Pada masa itu ia adalah roket pelancaran bebas yang mempunyai kemampuan tinggi dan memiliki kuasa perobekan yang mampu menembusi hanger pesawat-pesawat udara Pakatan Warsaw di pangkalan udara mereka. Sehingga hari inipun ia masih dianggap sebagai rokert bebas terbaik dan menjadi sistem roket bebas paling banyak diguna pakai oleh pesawat-pesawat NATO.

Sistem roket CRV7 sebenarnya adalah merupakan hasil sampingan dari satu perogram yang dinamakan CARDE, iaitu satu program penyelidikan dan kajian mengenai peluru berpandu anti-balistik. Program tersebut menghasilkan apa yang dipanggil Black Brant Rocket yang dilancarkan buat pertama kalinya pada tahun 1959. Black Brant menggunakan sistem pendorongan bahan api pepejal yang sangat efisyen dengan kadar operasi 98% yang menjadikan ia sehingga hari ini sebagai roket kajian saitifik dan ketenteraan yang paling popular di dunia. Firma Bristol kemudiannya mengambil sistem bahan api dan kuasa enjin pendorongan yang sama dengan roket tersebut dan memasangnya pada roket 70mm yang dikenali hari ini sebagai roket CRV7.

Sistem roket CRV7 sememangnya adalah amat dikagumi pihak pengendali dan digeruni lawan. Apabila pihak tentera Perancis mahu menguji sistem tersebut bagi mencari sistem roket bebas untuk kegunaannya, mereka telah membuat ujian bilamana roket yang diuji mestilah menembak sebuah menara tinggi menggunakansistem roket latohan yang tidak mempunyai bahan peledak. Juruterbang Kanada yang mengendalikan pesawat telah berjaya menembak menara tersebut dengan roket pertamanya dan memusnahkan menara tersebut. Tim ujinilai dari Perancvis membatalkan terus penyertaan CRV7 kerana mereka menyangka pasukan Kanada telah melancarkan roket hisup yeng mempunyai bahan peledak! Ujian-ujian seterusnya mengejutkan tim ujinilai.

Umpamanya, peluru latihan yang tidak mempunyai bahan peledak masih mampu merobek dinding kapal perang dengan hanya menggunakan tenaga pendorongannya sahaja. Kajian dari kemampuan ini kemudiannya menghasilkan sejenis kepala peledak roket CRV7 yang dinamakan sebagai FAT atau ‘Flechette AntiTank’ atau peluru damak anti-kereta kebal. Kepala riket CRV7 FAT mengandungi lima damak diperbuat dari bajhan Tungsten yang diperkuat yang mampu menembusi armor kebanyakan kereta kebal moden hari ini.

Pesawat—pesawat TUDM membawa dua pod bagi setiap pesawat, dengan satu pod pada satu sayap. Pod LAU-5003 dengan sistem muncung AFF mempu membawa sehingga 19 tiub perlancar, menjadikan jumlah keseluruhan roket yang boleh dibawa oleh pesawat adalah 38 buah roket. Setiap pod pelancar tembak buang ini mempunyai berat 34.6kg apabila kosong. Sistem muncung AFF (Frangible Foward Fairing) dipasangkan pada pod untuk memberikan pesawat daya penerbangan yang lebih baik dalam semua keadaan cuaca, mengurangkan rintanganangin pada pesawat serta tidak menghasilkan bahan buangan yang mampu memrosakkan komponen atau dinding pesawat ketika pelancar melepaskan roketnya.

Jarak maksima sistem roket CRV-7 adalah kira-kira 3.6 kilometer dengan setiap kapala peledak jenis letupan tinggi membawa kira-kira 6.6kg bahan letupan. Sebaik roket telah dilancarkan, pod terpakai akan dibuang oleh pengendali dari sayap pesawatnya

EVO-X Helang Lebuhraya Polis



Apabila PDRM mengumumkan bahawa sebahagian kecil dari pasukan perondanya bakal dilengkapkan dengan kenderaan Mitsubishi Lancer Evolution X (10), ia menimbulkan minat yang mendalam oleh pihak awam untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan kereta tersebut.
Sekali pandang sememangnya kenderaan ini mempunyai reka bentuk yang dilihat lebih sesuai untuk sebuah kenderaan lumba berbanding sebuah kereta peronda polis. Sememangnya klasifikasi penugasan kenderaan ini, walaupun secara amnya diguna pakai untuk memberikan satu petunjuk kepada samseng atau pelumba jalan/lebuhraya mengenai kemampuan kereta peronda PDRM untuk ‘mengejar’ dan menahan mereka yang suka memandu laju, sebenarnya belum pernah diperjelaskan secara keseluruhannya. Malah menurut beberapa pegawai PDRM yang ditemui namun tidak mahu mengesahkannya secara rasmi, kenderaan-kenderaan ini juga ada yang bakal diguna pakai untuk melaksanakan tugas kenderaan pengiring berkelajuan tinggi. Ini tentunya berpadanan dengan tugas yang harus dipikul mengiringi sesetengah pegawai tinggi kerajaan dan wakil asing yang menggunakan kenderaan-kenderaan mewah berkuasa tinggi seperti jenama Mercedes, Volvo, Audi dan sebagainya.

Pada pameran GPEC, pengunjung berkesempatan untuk melihat kenderaan Evo 10 dengan lebih dekat. Memandangkan tidak ada data petunjuk yang dipamerkan oleh PDRM mengenai kenderaan Evo 10 yang dipamerkan, adalah agak sukar untuk mendapatkan maklumat yang sebenarnya. Versi PDRM adalah dipercayai Evo 10 GSR yang mempunyai sistem giar manual lima kelajuan. Pada bahagian hadapan luar kenderaan, sistem rekabentuknya bukan sahaja mempunyai nilai estetika tinggi tetapi turut sama mempunyai fungsi yang berguna khususnya dalam menentukan bahawa aliran udara dapat bergerak secara optima di sekeliling kenderaan memberikan bukan sahaja kestabilan pergerakan, malah membantu proses kitaran udara ke dalam enjin untuk menghasilkan pembakaran bagi kuasa pendorongan yang jitu. Bahagian ‘spoiler’ dihadapan umpamanya mempunyai tugas untuk menolak udara di hadapan agar tidak menolak roda ke belakang, sebaliknya melorongkan udara di hadapan agar terpesong ke sisi kenderaan. Ini secara langsung memberikan kuasa cengkaman tayar ke atas jalan yang padu lagi stabil. Bahagian tengah spoiler pula membenarkan udara untuk memberikan sistem penyejukan dan radiator, bekalan angin sejuk yang berterusan. Lubang-lubang khas pada penutup enjin pula bertindak untuk mengeluarkan angin panas dari kompartmen enjin, memberikan ia keupayaan penyejukan efektif di samping mengurangkan kuasa tolakan udara ke atas yang boleh menyebabkan kenderaan tidak stabil serta kemungkinan bahagian hadapan kenderaan tertolak ke atas apabila kenderaan memecut pada kelajuan melampau. Ini memberikan gambaran seakan kenderaan Evo 10 benar-benar mendakap permukaan jalan apabila ia bergerak laju dan memberi keyakinan kepada pemandu untuk menangani selekoh tajam pada kelajuan tinggi.

Dengan enjin versi 2.0L MIVEC turbo berkekuatan 291 kuasa-kuda kenderaan ini mempunyai kelajuan makisma yang mencecah hingga 300km sejam! Ia menggunakan sistem rim ENKEI 18inci dengan sistem brek Brembo yang mencengkam. Brek ini berkemampuan untuk menghentikan kenderaan Evo 10 yang sedang bergerak pada kelajuan 96km/jam dalam jarak 34 meter sahaja. Bahagian dalam kenderaan mempunyai tempat duduk Recaro yang memberikan keselesaan yang lebih baik terutamanya apabila kenderaan bergerak pada kelajuan tinggi dan melalui selekoh tajam. Bahagian steringnya boleh diubah suai kedudukannya, namun hanya untuk ketinggian. Daya pecutan kenderaan ini adalah mengkagumkan dan ini dapat dicapai hasil dari sistem giar manual lima kelajuan dengan tempoh masa yang diambil untuk memecut dari 0km ke 120km adalah hanya 7.2 saat. Untuk kawalan yang lebih baik dalam permukaan yang berbeza kenderaan dilengkapkan dengan sistem ACD (Active Center Differential) yang membolehkan pemandu memilih tahap pemanduan kesemua roda mengikut tiga mod, iaitu pada jalan berturap, berbatu dan licin atau salji.

Bagi tujuan operasi, pihak PDRM telah memasang sistem komunikasi dua hala, sistem lampu kecemasan dan kini sedang dalam proses memasang sistem kamera serta lampu pencarian. Pada kenderaan yang dipamerkan sewaktu pameran GPEC 2009, kenderaan dipasangkan dengan satu sistem kamera dan lampu LED. Sistem kamera ini dipercayai mampu berputar 360 darjah di atas tenggekannya yang berada di atas bumbung kenderaan. Ia boleh digunakan dalam keadaan siang mahupun malam dan merekodkan video bagi tujuan analisa atau mengumpul bahan bukti. Sistem kamera yang diguna pakai dipercayai bakal mampu menghantar video serta data ke pusat kawalan bersepadu melalui sistem jaringan komunikasi bersepadu PDRM. Kesemua sistem arahan dan kawalan kamera boleh dioperasikan dari dalam kenderaan menggunakan sistem tombol dan tuas kawalan yang dioperasikan samada oleh pemandu mahupun pembantu beliau. Pada bahagian dalam kenderaan Evo 10, terdapat dua skrin paparan, satu bagi tujuan sistem kamera video yang dipasang pada bumbung kenderaan dan satu lagi dipercayai adalah skrin yang boleh disambungkan pada sistem komputer riba sama yang turut dipasangkan pada kenderaan-kenderaan peronda PDRM. Sistem komputer ini akan membolehkan anggota peronda untuk memeriksa data dan maklumat, mengesahkan data dan rekod berkemungkinan mampu disambungkan pada sistem posisi kedudukan global atau GPS.

Subaru Impreza WRX STi vs Mitsubishi Lancer Evolution




The age long battle between JDM legends Subaru Impreza WRX STi and Mitsubishi Lancer Evolution is a constant discussion point amongst JDM enthusiasts. Both vehicles feature all-wheel drive, turbocharged, four cylinder engines. They are both four door sedans, however the test Subaru vehicle in the following footage is the wagon version. It is said that the wagon Impreza handles better than the sedan due to weight balancing. The handling advantage over the Lancer is offset by Mitsubishi's MIVEC technology that yields a power band where valve lift and duration is modified for optimal power gains. These two cars are comparable, but which one is better?
Drive train comparison
The Mitsubishi does not offer a symmetrical all-wheel drive system even though it is typically favored by JDM enthusiasts. The Mitsubishi does not have a true center differential! Subaru features a longitudinal drive train with true center differential, while the Mitsubishi features a front wheel drive based center differential. The EVO is basically a front wheel drive vehicle with the rear wheel drive axle branched from the front wheel drive line. This is where Subaru has the advantage because they have a true center differential and an authentic symmetrical all-wheel drive.
Engine balance
Beyond the drive train layout, the balancing of the engine is completely different. Subaru uses a flat four cylinder engine while Mitsubishi uses an upright, inline four cylinder setup. The top heavy front end of the Mitsubishi caused by a front biased drive train and tall heavy engine really reduce it's handling capabilities and induce nose plow. All of the weight is up front and very high, which produces unfavorable driving impressions. Subaru's flat four cylinder keeps the center of gravity low unlike the Mitsubishi engine. Combining this ultra low center of gravity plus a truly symmetrical all-wheel drive system leads the Impreza to track style domination.
Power comparison
That being said, the Mitsubishi has it's advantages over the Subaru as well. It is much easier to make high amounts of power with the inline four cylinder engine for much cheaper price. Basic bolt on modifications can push an EVO well over 400 awhp. Driving in straight lines such as drag strips, the EVO can dominate out of shear power and more bang for buck. As long as you keep it going straight, the EVO will win! Enter the corners, and Subaru's low center of gravity and true center differential all-wheel drive system will take control of the race. It's all about your driving style, and technically both vehicles are aimed to satisfy two completely different markets.
Summary
In the following video content, the Lancer and Impreza are tested against a gymkhana style course. This isn't the tire ripping Ken Block gymkhana, this is more like an autocross event where cones are setup and the vehicles must pass the course with the fastest time. Who will win? According to our research above, the Subaru Impreza should win on this curvy course. Pay special attention to how the Impreza handles compared against the Lancer through the corners and you will see how a well balanced vehicle with low center of gravity can dominate in the corners.

KD TUNKU ABDUL RAHMAN


Visi untuk menjadikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai sebuah angkatan laut yang kredibel dan disegani kawan serta digeruni lawan telahpun mempunyai tapak yang kukuh apabila Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melantik Thanabalasingam Karalasingam sebagai anak watan Malaysia pertama menjawat Panglima Tentera Laut pada tahun 1967. Jawatan tersebut sebelum ini hanya disandang oleh pegawai-pegawai berbangsa Inggeris sahaja. Dalam usia yang baru mencecah 32 tahun beliau telah menerima tanggungjawab tersebut dengan cekal. Panglima yang lebih senang dikenali sebagai ‘Bob Thana’ mempunyai visi yang jauh ke hadapan terhadap TLDM.
Malah sepanjang menerajui angkatan laut tersebut, Bob Thana telah membayangkan armada TLDM pada suatu masa nanti bakal menjadi sebuah angkatan tentera laut yang kredibel, profesional dan berkemampuan beroperasi sebagai sebuah angkatan laut perang konvensional. Dalam ucapan perpisahan sempena persaraannya pada 1976, beliau telah menjelaskan bahawa TLDM perlu mempunyai strategi untuk membangunkan kemampuan dalam ketiga-tiga dimensi mengikut turutan. Iaitu permukaan, udara dan bawah permukaan. TLDM sehingga hari ini dilihat terus memegang kemas azimat ‘blue print’ yang telah dinyatakan oleh Bob Thana. Ini jelas jika dilihat kepada bagaimana TLDM memantapkan kemampuan kapal-kapal permukaannya dengan perolehan kapal-kapal yang lebih moden seperti Kelas Laksamana, Lekiu dan juga kini NGPV. Ini dikuti dengan pembangunan KD RAJAWALI yang menyaksikan angkatan laut ini mempunyai aset pesawat helikopter yang lebih canggih berbanding TUDM sendiri. Ia memiliki helikopter Fennec dan juga Super Lynx 300 yang mampu melancarkan peluru berpandu dan juga torpedo. Kini pusingan pembangunan tiga dimensi telah lengkap dengan kehadiran dua kapal selam pertama negara, iaitu KD TUNKU ABDUL RAHMAN dan tidak lama lagi KD TUN ABDUL RAZAK (yang dijangka akan tiba di negara ini pada bulan Mac tahun 2010).

SCORPENE atau ‘Scorpion’ yang bermakna kala jengking adalah nama kepada sejenis ikan yang menghuni kawasan dasar laut seperti diatas batu karang, pasir dan rekahan semula jadi. Keseluruhan badan ikan ini mempunyai seakan duri atau permukaan berbonjol yang paling ketara di bahagian belakang dan kepala. Duri ini mempunyai racun yang sangat bisa. Ikan ini mempunyai kemampuan penyamaran yang baik kerana mampu bertukar warna mengikut latar belakang kawasan persekitarannya menjadikan ia sukar dilihat. Ia mencari makanan yang berupa ikan-ikan kecil dan udang dengan menanti di atas permukaan batu karang tanpa bergerak dan menyambar mangsanya secara tiba-tiba. Ciri-ciri halimunan, berbisa dan ‘menyerang hendap’ mangsanya ini digambarkan kepada kapal selam SCORPENE yang dianggap sebagai kapal selam yang amat sukar dikesan dan mempunyai kemampuan pemusnah yang tinggi.

Kapal selam Kelas PERDANA MENTERI milik TLDM dibina di dua limbungan berasingan di dua negara iaitu Perancis dan Sepanyol. Ini adalah kerana konsortium yang membina kapal Scorpene adalah merupakan gabungan firma DCNS di Perancis dan juga NAVANTIA di Sepanyol. Pembinaannya menyaksikan setiap limbungan, iaitu Cherbourg (Perancis) dan Cartagena (Sepanyol) menyiapkan separuh dari kapal pertama dan kedua mengikut bahagian masing-masing. Bahagian ini kemudian akan disambung agar menjadi sebuah kapal selam yang lengkap, dengan setiap limbungan melancarkan sebuah kapal selam. Ketika pembinaan dilaksanakan, krew TLDM yang terpilih telah menjalani latihan intensif bagi memahirkan diri dalam selok belok pengendalian kapal selam Scorpene.

Mereka dilatih di pusat EFSM (Ecole de Fomation Sous-marine) yang terletak di Pusat Pembelajaran Tentera Laut (CIN) di Brest, Perancis. Pusat EFSM yang dikhususkan khas bagi pelatih TLDM ini turut dilengkapi penyelaku kapal selam dan mula melatih krew TLDM pada Januari 2005. Setelah melepasi pembelajaran dan ujian teori, krew TLDM akan melaksanakan pembelajaran amali di kapal selam QUESSANT. Tahap kualiti pembelajaran di EFSM adalah tinggi dan mana-mana anggota atau pegawai yang gagal dalam ujian atau tidak mampu menyesuaikan diri akan digugurkan dari program kapal selam tersebut.

Piawaian sekolah latihan ini adalah mengikut tahap yang serupa dengan latihan yang dilaksanakan oleh Tentera Laut Perancis dan diluluskan oleh pegawai memerintah Angkatan Strategik Kapal Selam dan Laut Perancis atau ALFOST.

Pada 3 September yang baru lalu, SPB YDP Agong Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin telah berada di Pusat Hidrografi Nasional, Pulau Indah bagi menyambut ketibaan kapal selam pertama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD TUNKU ABDUL RAHMAN. Kapal selam ini telah memulakan pelayarannya dari pelabuhan Toulon, Perancis pada 11 Julai dan telah merentasi Laut Mediterranean, laut Merah, Teluk Aden, Laut Arab, Lautan Hindi, Laut Andaman dan akhirnya Selat Melaka sebelum tiba di Pelabuhan Kelang pada 3 September. Turut sama menyambut ketibaan kapal selam tersebut adalah DYMM Sultan Selangor, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Darat, Panglima Tentera Laut, Panglima Tentera Udara dan jemputan kenamaan yang lain. Kapal selam KD TUNKU ABDUL RAHMAN bakal mempunyai penugasan yang pelbagai dalam armada TLDM. Antaranya adalah untuk pengawasan perairan, mengumpulkan data perisikan, menyekat jalur perhubungan laut, melancarkan serangan serangan torpedo dan peluru berpandu, memyemai medan periuk api di kawasan maritim disamping membantu melaksanakan penyusupan pasukan khas anggota KD PANGLIMA HITAM dalam operasi-operasi sulit di kawasan litoral negara dan dimana sahaja yang difikirkan perlu demi keselamatan dan kedaulatan negara, disamping melindungi aset-aset serta keselamatan warganegara. Dua faktor kenapa kapal selam dilihat sebagai aset yang amat penting bagi sebuah angkatan laut ialah kerana pertama, ianya memberikan anjakan kuasa (force multiplier) yang padu dari segi kemampuan operasi dan juga kuasa tembakan dan kedua ia adalah platform yang mempunyai nilai deteren atau cegah rintang yang amat tinggi. Kedua-dua kapal selam pertama milik TLDM ini adalah merupakan versi CM-2000 yang merupakan kapal selam disel-elektrik konvensional dan tidak dipasangkan dengan sistem AIP. Namun ini tidak bermakna ianya akan kekal sedemikian memandangkan kapal selam SCORPENE tersebut boleh ditingkatkan keupayaannya dengan menyambungkan unit AIP yang bersifat modular di bahagian tengah kapal jika TLDM berpendapat sistem sedemikian diperlukan pada masa hadapan. Inilah yang juga telah dilaksanakan oleh sebuah negara jiran yang memiliki kapal selam, iaitu mengubahsuai kapal selam asal terpakai dengan memasang sistem AIP agar kapal selamnya dapat berfungsi lebih lama dan senyap di bawah permukaan air berbanding kapal selam biasa.

Sememangnya ketika keputusan untuk memperolehi kapal selam dibuat yang juga menelan kos tinggi, pelbagai komentar dilontarkan terhadap TLDM, termasuklah yang negatif serta memperlekehkannya. Namun ini adalah lumrah apabila sesuatu yang baru mahu diperkenalkan dan bak kata pepatah Melayu “hanya jauhari yang mengenal manikam”, maka demikianlah juga nilai kapal selam ini kepada kepimpinan TLDM dan mereka yang diamanahkan untuk mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara dari dicabuli sewenang-wenangnya oleh sesiapa sahaja.

Setelah berada di Pulau Indah selama dua hari, KD TUANKU ABDUL RAHMAN telah belayar ke pangkalan utama TLDM di Lumut , Perak dan tiba pada 5 September dengan di sambut oleh warga pengkalan, ahli keluarga krew kapal selam disamping DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Ia kemudiannya meneruskan pelayaran ke kota Kinabalu, Sabah untuk berlabuh di Pangkalan Kapal Selam TLDM Kota Kinabalu yang terletak di Teluk Sepanggar. Program kapal selam ini juga bakal memberikan manafaat kepada industri pertahanan tempatan untuk menimba ilmu dan kepakaran bagi memberikan perkhidmatan selenggaraan dan dikemudian hari nanti mungkin juga pembaikan dan alat ganti. Boustead Heavy Industries yang mempunyai limbungan di Lumut telah diberikan peluang untuk berganding dengan firma pembuat asal kapal selam, DCNS dari Perancis bagi membekalkan perkhidmatan selepas penerimaan yang bernilai RM600 juta.

Setelah lebih 50 tahun merdeka, TLDM kini telah benar-benar melaksanakan transformasinya dari sebuah angkatan laut ‘muara sungai ‘ kepada kemampuan untuk beroperasi di laut biru.

KAPAL SELAM MODEN - Dari Tong Kayu Kepada Kapal Nuklear




Kapal selam adalah satu platform peperangan maritim yang unik memandangkan ia harus beroperasi dalam persekitaran operasinya tersendiri yang masih dianggap sebagai penuh misteri. Ini kerana walaupun ia bebas mengharungi dari pesisir pantai sehinggalah ke laut luas, namun keadaan persekitaran serta tahap operasi yang amat mencabar yang lazimnya dilaksanakan jauh dari mata dan pengetahuan umum terus menyebabkan tidak ramai yang mengetahui mengenai ciri-ciri platform tersebut.
Sempena ketibaan kapal selam pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 3 September yang lalu, iaitu KD Tunku Abdul Rahman, TEMPUR dalam keluaran khas kali ini akan memaparkan secara agak terperinci mengenai evolusi kapal selam moden, kemampuan operasi dan bagaimana ianya telah mengubah ciri dan corak peperangan maritim sejak dari era pasca Perang Dunia Kedua hinggalah ke hari ini dan bagaimana kekuatan dan kekurangannya bakal turut mengubah doktrin peperangan maritim TLDM untuk tahun-tahun mendatang.

Sejarah awal
Sejak dari 2,000 tahun yang lampau, manusia telahpun cuba mencipta sejenis kenderaan atau ‘kapal’ yang akan membolehkan mereka untuk bergerak di dalam lautan. Mengikut sejarah percubaan pertama untuk menggunakan ‘kapal selam’ telahpun direkodkan pada kira-kira abad ke empat Sebelum Masehi apabila Iskandar Zulkarnain atau Alexander The Great telah menaiki sejenis platform yang berupa bekas kayu atau tong yang mempunyai tingkap diperbuat dari kaca ke dalam lautan. Hanya pada tahun 1620, barulah seorang jurutera dari Belanda yang berkhidmat dengan tentera laut British, Cornelius van Drebbel telah mencipta sejenis kapal yang diperbuat dari kayu dan disalut dengan kulit berminyak yang boleh dikategorikan sebagai sebuah kapal selam

Kapal ciptaan Cornelius ini mempunyai sistem kuasa pendorongan manusia dengan menggunakan pengayuh yang berada di dalam kapal. Kayu pengayuh ini mampu digerakkan oleh krew dari dalam platform kerana mempunyai sistem penebat air yang diperbuat dari kulit bersifat fleksibel. Bekalan udara pula disampaikan kepada krew melalui saluran atau tiub khas yang bersambung dan terapung di atas permukaan air. Kapal ini berjaya bergerak di bawah permukaan air iaitu di Sungai Thames di England pada kedalaman kira-kira antara empat ke lima meter selama beberapa jam. Walaupun dari tahun 1620 hingga 1624 Cornelius telah berjaya membuktikan bahawa kapal selamnya mampu beroperasi dengan baik, namun ia gagal menarik perhatian pihak tentera laut untuk mengeksploitasikan platform bagi tujuan ketenteraan.

Pada 1775 barulah idea untuk menjadikan kapal selam sebagai platform yang boleh digunakan dalam operasi ketenteraan dibuktikan kepada dunia. Platform yang digunakan adalah merupakan sejenis kapal yang mungkin mempunyai bentuk yang hampir sama dengan yang digunakan oleh Iskandar Zulkarnain, iaitu berupa sebuah tong dengan tingkap kaca yang dioperasikan oleh hanya seorang pengendali. Kapal ini direka oleh David Bushnell dan dinamakan ‘Turtle’ atau Kura-kura. Ia dianggap sebagai kapal selam pertama yang boleh dioperasikan secara autonomi oleh krewnya (seorang pengendali sahaja) menggunakan kuasa pendorongan yang merupakan kipas berbentuk skru. Pada 1776 ketika Peperangan Kemerdekaan Amerika Syarikat, kapal Turtle telah berjaya bergerak dan merapati armada British yang sedang mengepung pelabuhan New York. Kapal Turtle membawa bahan letupan dan mengikut perancangan akan memasang bahan letupan tersebut pada kapal induk armada British, HMS Eagle melalui sistem pautan khas selepas menggerudi bahagian dinding luar kapal tersebut yang diperbuat dari kayu. Sistem pengaktif letupan adalah menggunakan peranti jangkamasa. Operasi ini dilaksanakan pada malam hari untuk mengelakkan pengawal di atas kapal dapat mengesan kehadirannya. Walaupun berjaya merapati kapal HMS Eagle, percubaan untuk menebuk lubang pautan telah gagal kerana gerudi yang dioperasikan tidak berfungsi akibat bahagian luaran dinding kapal mempunyai salutan tembaga. Salutan tembaga ini sebenarnya adalah sistem perlindungan yang diguna bagi mengelakkan kayu dinding luaran kapal dari menjadi reput akibat serangan dari ulat dan cacing laut.

Kegagalan ini menyebabkan Turtle terpaksa berundur dan melepaskan bahan letupannya di bawa arus laut. Apabila bom jangka yang dilepaskan Turtle meletup dalam kegelapan malam, ia mengeliru dan menakutkan pihak British. Keputusan kemudian dibuat oleh pegawai memerintah armada tersebut untuk segera berundur dari perairan pelabuhan. Ini merupakan sesuatu yang kemudiannya akan terus menghantui kapal-kapal permukaan ketika bergerak di laut lepas dan kawasan litoral, iaitu kekeliruan dan ketakutan yang ditimbulkan akibat mengetahui akan kehadiran walau hanya sebuah kapal selam musuh di kawasan yang sama. Kemampuan kapal selam untuk bergerak atau beroperasi tanpa dapat disedari oleh kapal permukaan terus menjadi faktor kekuatan kepada pemilikan dan pengendaliannya oleh armada-armada tentera laut global sehingga ke hari ini dan tahun-tahun mendatang.

Pada tahun abad ke 18, dua perkembangan yang dianggap kritikal kepada pembangunan kapal selam sebagai platform ketenteraan berlaku. Ianya adalah pada tahun 1800, apabila Robert Fulton telah membina sebuah kapal selam yang dinamakan Nautilus. Ia merupakan kapal selam pertama dibina sepenuhnya menggunakan kerangka luar diperbuat dari bahan logam sepenuhnya. Ini disusuli 90 tahun kemudian, iaitu pada 1890 apabila John P Holland telah membina sebuah kapal selam yang dijana kuasa pendorongannya oleh sebuah enjin. Beliau telah menggunakan sebuah enjin kereta bagi menjana kuasa pendorongan kapal selamnya apabila berada di atas pemukaan, manakala ketika penyelaman dilakukan, kuasa dari sebuah motor elektrik pula diguna pakai. Kombinasi ini bakal merintis kepada pembuatan dan penciptaan kapal selam jarak jauh yang pertama di dunia dan membawa kapal selam ke dalam era yang lebih moden dan digunakan secara meluas sebagai salah satu platform bersenjata dalam peperangan maritim.

Apabila Perang Dunia Pertama tercetus pada 1914, ramai pemikir ketenteraan maritim tidak memberikan penumpuan terhadap kapal selam dan menganggap ianya sebagai satu platform yang lebih bersifat trend semasa atau sesuatu yang menarik minat pegawai-pegawai muda yang berimiginasi tinggi. Mereka menganggap ia tidak mempunyai kepentingan strategik mahupun dalam operasi ketenteraan. Segala-galanya berubah pada 17 September 1914 apabila sebuah kapal selam Jerman berjaya membuktikan kepada kuasa dunia bahawa kapal selam mampu memberikan satu dimensi peperangan maritim yang sebelum ini hanya didominasi oleh kapal-kapal permukaan sahaja. Pada hari tersebut sebuah kapal selam dengan klasifikasi U-9 telah dapat mengesan kepulan asap dan serombong kapal tentera laut British di garis ufuk. Otto Weddigen, kepten U-9 telah berjaya mengesan tiga buah kapal kruiser yang sedang belayar sebaris dengan kelajuan 10 knots dengan jarak antara satu kapal dengan yang lain adalah kira-kira lima kilometer. Beliau kemudiannya mengarahkan agar krew kapal menjunamkan kapal ke bawah permukaan dan melepaskan sebuah torpedo dilancarkan. Torpedo tersebut mengenai kapal HMS ABOUKIR yang menyebabkan ia meletup, rosak teruk dan dalam masa 25 minit mula tenggelam. Melihat ABOUKIR mula tenggelam, pegawai memerintah HMS CRESSY dan HOUGE berpendapat bahawa ia telah terlanggar periuk api dan mula merapati kapal malang tersebut untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat. Menyedari akan peluang ini, Weddigen melancarkan dua lagi torpedo yang tepat mengenai HMS ROUGE yang tenggelam dalam masa 10 minit. Letupan pada kapal kedua ini menyebabkan pegawai memerintah HMS CRESSY mengamati permukaan laut dan beliau akhirnya dapat melihat periskop U-9 di permukaan air. Menyedari akan apa yang telah berlaku, beliau mengarahkan krew untuk menggerakkan kapal melarikan diri dari kawasan bahaya. Namun kesemuanya telah terlambat apabila U-9 terus melancarkan dua lagi peluru berpandu yang juga tepat mengenai kapal tersebut dan dalam masa 15 minit, kapal ini juga tenggelam ke dasar laut.

Berita mengenai kemusnahan dan peneggelaman ketiga-tiga kapal British dalam masa yang singkat di Laut Utara ini oleh hanya sebuah kapal selam Jerman telah mengejutkan banyak pihak. Selepas peristiwa tersebut penggunaan kapal selam sebagai platform yang berkemampuan tinggi dan mempunyai nilai strategik mula diakui oleh pemikir ketenteraan. Trend ini jelas dapat dilihat terutamanya di pihak tentera laut Jerman. Pada permulaan Perang Dunia Pertama, mereka hanya memiliki 29 buah kapal selam, namun apabila perang tamat, mereka mempunyai sejumlah 369 buah kapal selam! Sepanjang tempoh peperangan tersebut kapal selam Jerman telah berjaya memusnahkan 13 juta tan pelbagai bekalan yang dibawa oleh kapal-kapal British dengan menenggelamkannya ke dasar laut, ini termasuklah sejumlah 349 buah kapal perang British. Keadaan ini menjadi kritikal kepada kerajaan London sehinggakan bekalan makanan kepada kuasa global tersebut terjejas dengan teruk. Malah menurut satu laporan sulit sebelum pihak Amerika Syarikat mengistiharkan perang terhadap Jerman, bekalan gandum Britain dianggarkan mencukupi hanya untuk tempoh tiga minggu sahaja lagi. Demikianlah betapa efektifnya pihak Jerman dalam melaksanakan operasi kapal selamnya dalam percubaan untuk memaksa Britain untuk menyerah diri dengan memutuskan pelbagai bekalan kritikal yang diperlukan oleh rakyat dan industrinya.
Ke arah kematangan teknologi
Era Perang Dunia Kedua yang berlangsung dari tahun 1939 hingga 1945 menyaksikan bagaimana kapal selam digunakan oleh pihak yang bersengketa dengan efektif. Pada ketika perang tersebut, penggunaan kapal selam kekal sepertimana yang telah dilakukan oleh pihak Jerman, iaitu cuba melaksanakan kepungan dan menidakkan bekalan logistik kepada musuh masing-masing yang menggunakan jalan laut. Sekali lagi kepentingan kapal selam dalam peperangan marotim tidak dapat dipertikaikan. Selain dari memutuskan bekalan, Perang Dunia Kedua juga menyaksikan kewujudan apa yang dipanggil sebagai kapal selam kerdil atau ‘midget submarine’ yang bersaiz kecil dikendalikan oleh dua atau tiga krew sahaja. Pada awalnya sebahagian besar dari kapal selam kerdil mempunyai tugas sama sepertimana kapal selam biasa, namun klasifikasi tugas tersebut telah bertukar bersesuaian dengan keadaan perang waktu itu. Salah satu tugasannya ialah untuk menyeludup masuk ke kawasan perairan yang dikuasai musuh dan melancarkan serangan bagi menenggelamkan sasaran tertentu yang dianggap mempunyai nilai tinggi. Jepun adalah antara kuasa yang banyak menghasil dan menggunakan kapal selam kerdil dan pada serangan ke atas Pearl Habour, sebuah kapal selam dari kelas Ko-hyoteki telah berjaya menembusi pertahanan pelabuhan tersebut dan melepaskan kedua-dua torpedonya, satu mengenai kapal USS West Virginia dan sebuah lagi mengenai kapal USS Oklahoma.

Dari segi nisbah penggunaannya dalam peperangan maritim, walaupun jumlah yang digunakan adalah kecil namun ia mempunyai kemampuan memusnah platform musuh yang amat tinggi berbanding lain-lain sstem atau platform. Contohnya bagi pihak tentera laut Amerika Syarikat, jumlah kapal selam dalam inventori mereka berbanding keseluruhan aset-aset lain seperti kapal permukaan dan kapal pengangkut pesawat adalah hanya dua peratus. Walaupun demikian ia berjaya memusnahkan 30% dari keseluruhan platform kapal permukaan angkatan laut Jepun. Ini termasuklah lapan kapal pengangkut pesawat. Apa yang mungkin lebih penting ialah mereka berjaya mengekalkan kepungan terhadap pelabuhan-pelabuhan Jepun dan menyekat bahan mentah mahupun bekalan dari dapat menyokong industri ketenteraan negara Matahari Terbit dari negara-negara yang ditaklukinya, terutamanya dari Asia Tenggara. Sejumlah lima juta tan bekalan yang dibawa oleh kapal komersial Jepun, atau 60% dari keseluruhan bekalan pelbagai barangan keperluan yang cuba dibawa masuk ke Jepun menggunakan kapal berjaya ditenggelamkan. Kejayaan ini walau bagaimanapun tidak dicapai dengan mudah. Armada kapal selam Amerika Syarikat kehilangan sehingga 52 buah kapal selam dan sejumlah 3,506 pegawai serta krew yang terbunuh atau tenggelam bersama-sama kapal selam mereka ke dasar laut.

Ketika Perang Dunia Kedua beberapa peningkatan teknologi kapal selam telah diperkenalkan. Ini termasuklah dalam bidang elektronik seperti sistem sonar yang membolehkan kapal selam dengan mudah dapat mengenal pasti kedudukan musuh mereka. Pada ketika itu pengoperasian kapal selam masih lagi bersifat seperti kapal permukaan dengan 90% dari masa mereka di kawasan operasi, kapal selam akan berada diatas permukaan. Enjin disel yang digunakan mampu memberikan kapal-kapal tersebut kelajuan yang tinggi dan jarak jangkauan operasi yang jauh, namun kedua-duanya bakal menjadi amat terhad apabila kapal beroperasi di bawah permukaan air. Dalam keadaan demikian kapal selam akan bergantung kepada bateri untuk membekalkan kuasa kepada sistem motor pendorongan. Keadaan teknologi bateri yang masih tidak sempurna menyebabkan ia mudah kehabisan kuasa dan kapal selam terpaksa kerap mengapungkan diri untuk mengecasnya semula. Inilah antara sebab kenapa sebahagian besar dari waktu kapal-kapal selam sewaktu Perang Dunia Kedua, walaupun di kawasan operasi, dihabiskan di atas permukaan laut.

Era Disel-elektrik, AIP dan Nuklear bagi kuasa pendorongan kapal selam
Pada awal penciptaannya hampir kesemua kapal selam menggunakan sistem pendorongan menggunakan kuasa enjin disel yang menjana sistem motor yang disambungkan secara terus kepada kipas untuk menggerakkan kapal ke hadapan. Apabila kapal bergerak dipermukaan, ia akan menggunakan enjinnya, manakala untuk bergerak di bawah permukaan laut, ia menggunakan kuasa yang dibekalkan dari bateri yang dibawa. Ini bermakna sebuah kapal selam akan hanya mampu bergerak di bawah permukaan air untuk tempoh masa dan jarak perjalanan yang terhad sebelum terpaksa mengapung kepermukaan bagi menghidupkan enjin disel bagi mengecas semula bateri atau bergerak dengan menggunakan enjin disel secara terus. Pengapungan mesti dilakukan kerana enjin disel mestilah mempunyai oksigen untuk dihidupkan dan ini hanya dapat dilakukan dengan sebahagian dari kapal selam berada di atas permukaan. Dalam keadaan ini kapal selam adalah amat terdedah kepada bahaya dikenal pasti oleh kapal perang atau dikesan oleh sistem radar musuh yang seterusnya akan menghantar kapal permukaan mahupun pesawat udara untuk memusnahkannya.

Pada penghujung Perang Dunia Kedua, satu lagi sistem berkaitan kuasa pendorongan telah digunakan. Ianya adalah sistem ‘snorkel’ yang dipelopori oleh jurutera kapal selam Belanda, namun diguna pakai oleh kapal selam Jerman apabila mereka berjaya merampas dua kapal selam Belanda setelah negara tersebut tewas kepada pihak Jerman. Kedua-dua kapal selam rampasan tersebut mempunyai sejenis sistem yang dipanggil Snorkel. Snorkel adalah merupakan satu tiub panjang khas yang dinaikkan melepasi permukaan air untuk menyedut udara dari atas permukaan dan membekalkannya kepada enjin disel. Dengan cara ini kapal selam tidak perlu lagi mengapung sebahagian badannya untuk mendapatkan bekalan udara, sebaliknya hanya perlu menaikkan tiub snorkel ke permukaan tetapi mengekalkan keseluruhan serombong utama (mast) di bawah air. Walaupun demikian, sistem ini mempunyai kelemahannya tersendiri. Yang paling utama ialah kapal hanya mampu bergerak secara perlahan ketika menggunakan snorkel kerana kelajuan yang berlebihan akan memecah atau merosakkan tiub sedutan udara. Kelemahan kedua ialah dalam keadaan laut yang agak bergelora, air laut yang masin kadang-kala akan memasuki tiub lalu terus ke dalam enjin yang mampu merosakkannya. Bagi menghindari berlakunya perkara sedemikian, satu sistem khas direka untuk menutup tiub secara serta-merta apabila air dikesan memasukinya. Malangnya sistem ini mewujudkan satu senario ketidak seimbangan tekanan kerana apabila snorkel ditutup secara tiba-tiba, enjin akan menyedut oksigen dari persekitaran dalam kapal selam sebelum dimatikan. Keadaan ini mengakibatkan berlakunya apa yang dipanggil vakum sementara di kompartmen krew kapal selam yang menyebabkan kesakitan telinga yang teruk, malah kadang-kala gegendang telinga krew kapal turut pecah.

Satu lagi sistem kuasa pendorongan ialah sistem disel-elektrik yang konsepnya telahpun mula diperkenalkan pada tahun 1929 di Amerika Syarikat. Dalam sistem ini enjin disel tidak diguna khusus menggerakkan kipas pendorongan secara langsung ketika kapal selam berada di atas permukaan, sebaliknya ia menjana sebuah motor elektrik yang boleh melakukan dua tugas, iaitu sama ada mengecas bateri atau mengoperasikan motor elektrik yang menggerakkan kipas pendorongan kapal. Ini bermakna kelajuan enjin disel adalah berbeza dengan kelajuan motor elektrik dan kuasa pendorongan kapal boleh terus dibekalkan menggunakan kuasa bateri walaupun sebahagian dari enjin disel terpaksa dimatikan bagi tugas pembaikan. Walaupun telah lama diperkenalkan, namun sehingga 1945, hanya Amerika Syarikat dan Britain sahaja yang menggunkan sistem tersebut pada kapal selamnya dalam jumlah yang terhad. Sistem ini dianggap lebih baik berbanding sistem disel kerana kapal selam masih boleh bergerak dengan kelajuan yang pelbagai, namun enjin diselnya boleh terus beroperasi pada tahap maksima untuk mengecas bateri dengan lebih pantas. Ini mengurangkan tempoh kapal selam dari terpaksa mendedahkan diri kepada bahaya apabila mengapung untuk jangkamasa yang lama bagi mengecas baterinya.

Sewaktu akhir Perang Dunia Kedua, pihak Jerman telah membangunkan sistem kapal selam Type XXI yang direka untuk membawa bahan hidrogen peroksida yang membolehkan bekalan oksigen dibekalkan kepada enjin disel, tanpa memerlukan oksigen disedut dari atas permukaan ke dalam enjin bagi tujuan pembakaran. Ini secara teori akan membenarkan kapal selam untuk beroperasi lebih lama di dalam air tanpa perlu mendapatkan bekalan oksigen. Sistem yang tidak menggunakan pembakaran melibatkan udara dalam kapal selam ini dinamakan sebagai AIP atau ‘Air Independant Propulsion’. Terdapat tiga cara yang diguna pakai bagi menjana sistem kuasa yang boleh dikategorikan sebagai sistem AIP. Ianya termasuklah sistem Stirling, MESMA dan sel bahan bakar hidrogen. Satu lagi kuasa pendorongan ialah dengan menggunakan sistem nuklear yang juga tidak langsung melibatkan sebarang pembakaran yang memerlukan bekalan oksigen.

Sistem enjin Stirling dibangunkan oleh Sweden berfungsi dengan membakar oksigen asli dan disel dalam satu kebuk pembakaran khas untuk memberikan kuasa . Tekanan pembakaran yang lebih tinggi dari tekanan air laut di sekitar kapal membolehkan bahan buangan dilepaskan melalui ekzos kapal dan larut di dalam air. Bagi sebuah kapal selam seberat 1,500 tan, enjin AIP Stirling akan membolehkan kapal selam untuk terus menerus berada di dalam air selama 14 hari secara berterusan dengan kelajuan purata selaju 9 knots. Bagi sistem MESMA pula yang dibangunkan oleh Perancis adalah merupakan sistem yang sama sepertimana yang diguna pakai dalam kapal selam nuklear. Jika kapal selam nuklear menggunakan kuasa nuklear untuk melakukan pembakaran untuk menghasilkan wap air, pembakaran sistem MESMA menggunakan bahan ethanol dan oksigen yang dikenakan tekanan pada tahap tertentu. Pembakaran secara tekanan ini membolehkan bahan buangan dan karbon dioksida di keluarkan dari ekzos kapal selam tanpa sebarang peralatan khusus. Satu lagi sistem AIP ialah yang dibangunkan oleh pihak Jerman dengan menggunakan sistem sel bateri khas yang dinamakan ‘hydrogen fuel cells’. Sistem ini adalah mengaplikasikan penghasilan tenaga elektrik secara kimia dengan menggunakan bahan pembawa tenaga seperti hidrogen dan methanol dan bahan pengoksida seperti oksigen cecair. Kedua-dua bahan ini akan dibawa di dalam kapal selam. Dalam sel-sel kuasa hidrogen dan oksigen akan digabungkan dengan air yang akan menghasilkan cas elektrik. Memandangkan sistem ini sangat efisyen dalam penghasilan elektrik, bahan buangan seperti haba yang dihasilkan adalah amat minima. Bekalan elektrik yang terhasil kemudiannya akan disalurkan kepada sistem penjanaan kuasa untuk memberikan kuasa pendorongan kepada kapal selam. Memandangkan penghasilan kuasa dihasilkan tanpa bahan buangan, maka ia tidak memerlukan sebarang bentuk pelepasan bahan buangan dari sistem ekzosnya. Ini menjadikan kapal selam yang menggunakan sistem sel bahanbakar hidrogen sebagai amat mesra alam.

Kuasa nuklear bagi sistem pendorongan kapal selam mula digunakan pada 1954 apabila sebuah kapal selam Amerika Syarikat USS Nautilus dilancarkan. Ini diikuti oleh pihak Soviet Union pada tahun 1958 apabila ia pula melancarkan kapal selam nuklear pertamanya. Perbezaan yang paling utama antara kapal-kapal selam yang menggunakan pelbagai jenis sistem pendorongan berbanding sistem kapal selam nuklear ialah kemampuannya untuk beroperasi dalam tempoh jangkamasa sehingga berbulan-bulan lamanya di dalam laut tanpa perlu timbul ke permukaan. Ini dapat dilakukan kerana sistem bahan api nuklear yang diguna pakai bagi menghasilkan wap air di dalam enjin kapal selam tidak langsung memerlukan oksigen, sebaliknya bergantung kepada haba melampau yang terhasil secara asli akibat dari tindak balas pergerakan atom. Wap air yang bersuhu amat tinggi akan menggerakkan sistem turbin utama yang kemudiannya menggerakkan kipas pendorongan, manakala turbin yang lebih kecil diguna bagi mengecas sistem bateri simpanan. Disamping itu kapal selam nuklear juga turut mempunyai sistem enjin disel sebagai enjin simpanan sekiranya berlaku kecemasan dan reaktor nuklear tidak dapat berfungsi. Ini adalah perbezaan utama antara kapal selam-kapal selam biasa yang menggunakan enjin disel-elektrik (klasifiaksi antarabangsa sebagai SSK) berbanding kapal selam nuklear (klasifikasi SSN).

Tidak seperti era sejurus selepas Perang Dunia Kedua, hari ini pemilikan kapal selam telah tersebar luas secara global dengan lebih 40 buah negara telahpun mempunyai kapal selam dalam invetori mereka. Sebahagian besar darinya walau bagaimanapun mengoperasikan kapal selam yang menggunakan sistem pendorongan disel-eleketrik atau SSK. Hanya terdapat enam negara yang memiliki dan mengoperasikan kapal selam nuklear. Ianya adalah Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, Britain, China dan India, manakala dua buah negara lain iaitu Argentina dan Brazil kini giat membangunkan program untuk cuba membina kapal selam berkuasa nuklearnya tersendiri. Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana memandangkan penyebaran pemilikan dan penggunaan kuasa nuklear adalah terhad, maka tentunya hanya negara-negara yang memiliki kuasa senjata nuklear berkemampuan untuk mengoperasikan sistem yang sedemikian dalam platform angkatan lautnya.

Rekabentuk
Sebuah kapal selam bagi tujuan peperangan maritim moden mempunyai rekabentuk fizikal yang menyerupai sebatang cerut. Ini agak berbeza dengan kapal selam terdahulu seperti yang digunakan pada Perang Dunia Pertama dan Kedua yang banyak mengekalkan sifat-sifat seperti sebuah kapal permukaan. Ini sebenarnya disebabkan sebahagian dari operasi yang dilaksanakan oleh kapal selam era Perang Dunia menyaksikan masa kapal selam dihabiskan lebih banyak di permukaan berbanding menyelam ke bawah permukaan air. Apabila ia menyelam, kelajuan kapal adalah pada tahap yang rendah iaitu kira-kira 10knots sejam. Seperti yang dinyatakan sebelum ini ketika Perang Dunia Kedua, kapal selam menghabiskan 90% masa operasinya dengan berada di atas permukaan. Menjelang tamatnya Perang Dunia Kedua dan apabila teknologi berkaitan kapal selam serta sistem anti-kapal selam menjadi lebih canggih yang memaksa kapal selam menghabiskan masa lebih lama di dalam air, reka bentuk kapal selam mula berubah. Rekabentuk mula meletakkan kepentingan untuk mendapatkan badan kapal selam yang lebih lancar pergerakannya di dalam air, kurang geseran dan juga bunyi. Selain itu sesetengah kapal selam mempunyai bahagian dinding luaran yang disalut dengan salutan atau plat khas yang diperbuat dari getah atau bahan anjal yang menyerap bunyi atau ‘plat anechoic’.

Tujuan plat anechoic adalah untuk menyerap bunyi sonar aktif lalu mengurangkan kekuatan pantulan atau memberikan pantulan yang tidak tepat kepada sistem hidrofon platform musuh. Ia juga menyerap bunyi yang dihasilkan oleh enjin kapal selam itu sendiri dan menghadkan gelombang bunyi yang terhasil lalu menyukar atau menghadkan bunyi yang boleh didengar oleh kapal selam musuh yang menggunakan sistem sonar pasif untuk mengesan kedudukan kapal-kapal lain. Plat ini mula digunakan oleh kapal selam Jerman pada tahun 1944. Pada tahun 1970 pihak Soviet Union mula menggunakan sistem plat sama kepada kapal-kapal selamnya dan ini memberikan kesukaran kepada pihak lain untuk mengenalpasti tanda akuistik kapal selam-kapal selam Soviet Union. Melihat kepada keberkesanan sistem tersebut, pada tahun 1988, tentera laut Amerika Syarikat mula memasang plat tersebut pada kapal selamnya. Teknologi sistem ini dikatakan terus melalui proses evolusinya dengan pelbagai rekabentuk pada permukaan plat serta bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan plat juga berbeza mengikut tahap kedalaman sesuatu jenis kapal selam lazimnya akan berfungsi di dasar laut.

Bahagian tengah kapal selam mempunyai menara yang mengandungi tiang-tiang teleskopik yang dipasangkan dengan pelbagai jenispenderia optik dan elektronik. Ini termasuklah sistem seperti antena radio, sistem radar, sistem antena peperangan dan sokongan elektronik, penderia optik dam pelbagai lagi. Pada kapal selam era Perang Dunia, menara ini juga menempatkan anjungan dari mana pegawai pemerintah dan sistem kawalan utama kapal selam berada. Dalam rekabentuk kapal selam moden bilik anjungan ini ditempatkan pada ruang di tengah-tengah badan kapal dan tidak lagi pada menara dan menara tersebut dijadikan platform untuk meninjau keadaan persekitaran apabila kapal mengapung dipermukaan.

Bahagian kerangka utama kapal selam moden mempunyai dua rekabentuk khusus, iaitu yang mempunyai hanya satu dinding atau dua dinding utama. Pada era Perang Dunia, kapal selam lazimnya mempunyai dua dinding utama dengan beberapa bahagian dinding luar diperbuat dari bahan logam yang lebih ringan untuk mendapatkan kesan rintangan yang paling minima di dalam air, manakala dinding kedua adalah diperbuat dari logam yang lebih kukuh untuk bertahan dari tekanan di dalam air yang kuat. Pihak Jerman kemudiannya mencipta kapal selam jenis XXI yang mempunyai dua dinding tetapi keseluruhan dinding luaran menutupi terus bahagian dinding dalaman yang lebih kukuh. Era pasca Perang Dunia menyaksikan pihak negara-negara Eropah Barat membina kapal selam dengan hanya satu dinding utama, namun pihak Soviet Union membina kapal selam mereka dengan menggunakan konsep kapal Jerman dengan menggunakan dua dinding berasingan.

Bahagian dinding utama kapal selam diperbuat dari keluli atau bahan logam yang amat kuat, mampu bertahan dari tekanan bawah permukaan laut pada kedalaman tertentu. Tahap kedalaman selaman sesebuah platform tidak oleh ditambah dengan hanya menambah ketebalan dinding utama kapal kerana penambahan ketebalan dinding akan menambahkan berat platform. Ini akan menjadikan ia kurang berkesan dalam kemampuan pergerakannya. Ini mungkin boleh diterima pada kapal selam komersial, namun bagi tujuan ketenteraan ia tidak praktikal. Kapal selam era Perang Dunia Pertama menggunakan sistem dinding yang diperbuat dari keluli karbon dengan kemampuan ketahanan menyelam sedalam 100 meter. Ketika Perang Dunia Kedua, kebanyakan kapal selam diperbuat dari bahan keluli aloi yang berkekuatan tinggi berkemampuan bertahan hingga pada kedalaman 200 meter.

Hari ini sistem keluli aloi berkekuatan tinggi yang merupakan campuran beberapa jenis logam terus digunakan bagi membina dinding utama kapal selam dengan kemampuan selaman kebanyakan kapal selam adalah antara 250 hingga 400 meter. Untuk mendapatkan kapal selam yang berkemampuan menyelam pada kedalaman yang lebih jauh, beberapa kapal selam telah dibina menggunakan bahan titanium. Pihak Soviet Union telah membina sejenis kapal selam tempurnya, iaitu kapal K-278 Kosomolets yang mampu beroperasi sehingga pada kedalaman 1000 meter. Sifat titanium yang mempunyai kemampuan ketahanan dari tekanan bawah air yang tinggi disamping tidak bersifat magnetik yang amat penting bagi menjadikan kapal tersebut bersifat halimunan adalah antara dua sebab utama kenapa mereka membina kapal yang sedemikian. Namun sifat keras yang terlampau dan tidak manganjal menyebabkan ia mudah rapuh setelah melakukan selaman berulang kali disamping kos titanium yang tinggi menyebabkan kapal tersebut tidak lagi dibina.

Pembinaan kapal selam memerlukan tahap kekemasan kerja yang amat tinggi dengan tidak ada kompromi langsung terhadap apa jua proses yang dilaksanakan. Ini bukanlah sesuatu yang mudah terutamanya dalam membina kapal selam yang berbentuk silinder bulat yang memanjang. Kerja-kerja kimpalan harus dilakukan tanpa sebarang kecacatan dan diperiksa kesempurnaannya menggunakan beberapa ujian yang berasingan. Ini menjadikan pembuatan kapal selam memerlukan kepakaran dan pengetahuan serta kos pembinaan yang amat tinggi.

Memahami bagaimana kapal selam berfungsi
Sebuah kapal selam apabila berada dipermukaan laut akan mempunyai kemampuan yang sama sepertimana kapal perang permukaan yang lain, namun sebaik sahaja ia menenggelamkan dirinya ke bawah permukaan air, maka fungsi dan cara operasinya akan menjadi berbeza sama sekali dengan platform-platform ketenteraan maritim yang lain. Apabila kapal selam berada hampir dengan permukaan laut, ia akan menggunakan sistem periskop untuk melihat kawasan persekitarannya sejauh pandangan garis ufuk. Selain itu ia juga mempunyai sistem radar permukaan dan udara untuk mengenalpasti sama ada wujudnya pesawat udara mahupun objek lain di permukaan laut yang tidak dapat dikesan melalui periskopnya. Terdapat juga tiang khusus bagi tujuan menghantar dan menerima isyarat radio mahupun data kepada platform lain atau markas. Kesemua penderia ini dipasangkan pada penghujung tiang pada menara yang wujud pada tengah-tengah badan kapal selam. Apabila mahu digunakan, tiang-tiang teleskopik yang dipasangkan dengan pelbagai sustem penderia optik dan elektronik ini akan dinaikkan. Lazimnya ini dilakukan apabila kapal selam mahu timbul kepermukaan atau mahu meninjau keadaan sekeliling untuk mengesan kehadiran platform permukaan musuh. Dengan hanya meninggikan tiang-tiang penderia ini tanpa menyerlahkan mana-mana bahagian menara utamanya, sebuah kapal selam mampu ‘menyembunyikan’ diri dari pandangan fizikal mahupun dari pengesanan sistem radar kapal permukaan sambil mengumpul pelbagai maklumat mengenai keadaan persekitaran permukaan laut di mana ia beroperasi. Dari kedudukan sedemikian ia boleh menentukan jarak dan sasaran platform musuh serta melancarkan torpedo untuk memusnahkannya.

Apabila kapal selam mula bergerak ke bawah permukaan laut, maka kemampuan sistem penderia teleskopik dan radarnya akan semakin tidak efektif. Semakin dalam ia menyelam iaitu pada kedalaman 18 meter atau lebih maka kedua-dua sistem tidak lagi mampu diguna pakai dan akan diturunkan ke dalam menara. Lebih dalam ia bergerak, maka satu lagi sistem penderia akan digunakan untuk memberikan krew kapal selam ‘mata dan telinga’ bagi bergerak di dalam air. Ia menggunakan apa yang dipanggil sebagai sonar. Sonar adalah akronim kepada ‘Sonar Navigation and Ranging’. Seperti juga sistem radar, sonar turut memancarkan sejenis pancaran atau isyarat yang apabila terkena objek akan dipantulkan semula ke arah kapal selam. Jika sistem radar menggunakan isyarat radio di udara, sistem sonar pula menggunakan denyutan atau ledakan pendek gelombang bunyi. Terdapat dua jenis sistem sonar yang digunakan oleh sebuah kapal selam. Ianya adalah sistem sonar aktif dan pasif. Apabila menggunakan sonar aktif, kapal selam akan memancarkan denyutan bunyi ke dalam air dan pengendali sistem akan mendengar selama manakah bunyi pantulan akan dapat didengar semula setelah denyutan tersebut mengenai sesuatu objek atau bentuk permukaan dasar laut. Pembalikan bunyi ini yang akan diserap oleh mikrofon khas pada badan kapal selam yang dinamakan hidrofon bakal memberikan maklumat mengenai arah halatuju, kewujudan objek asing di kawasan berhampiran dan juga jauh kapal selam dari lokasi tujuannya. Untuk memberikan tahap pengesanan pembalikan bunyi yang baik, sistem hidrofon dipasangkan pada beberapa lokasi di badan kapal selam.

Dalam memberikan maklumat berguna kepada krew kapal selam, sistem sonar aktif turut bertindak sebagai pedang dua mata kerana dengan mengaktifkannya, mana-mana kapal selam atau kapal permukaan yang mempunyai sistem sonar yang berada di kawasan sekitar akan turut dapat mengesan kewujudan kapal selam tersebut. Ini tentu sekali sesuatu yang kurang bijak untuk mengiklankan dirinya sendiri, apa lagi kekuatan kapal selam dalam peperangan maritim banyak bergantung kepada sifat halimunannya. Oleh yang demikian, kapal selam hari ini lebih banyak menggunakan sistem sonar pasif. Sonar pasif bertindak hanya dalam mod mengumpul dan mendengar bunyi yang dihasilkan oleh kapal selam atau kapal permukaan lain. Dengan hanya menggunakan sonar pasif, pengendali yang cekap mampu mengenalpasti beberapa perkara seperti kelajuan kapal, jumlah bilah kipasnya malah jenis kapal yang sedang bergerak. Pada masa sama memandangkan ia tidak memancarkan sebarang denyutan bunyi, kedudukan malah kehadiran kapal selam mungkin tidak diketahui mahupun disedari oleh kapal permukaan dan kapal selam musuh. Sonar pasif lazimnya dipasangkan pada bahagian badan kapal selam atau mungkin juga ditunda oleh kapal selam tersebut dalam bentuk kabel khas berpuluh meter panjangnya yang menjadikan kedudukannya lebih sukar dikesan oleh musuh. Namun sonar tundaan ini tidak akan digunakan sekiranya terdapat kemungkinan bahawa ia bakal tersangkut atau terbelit pada objek asing didasar laut. Dalam keadaan ini sonar pada badan kapal akan diguna pakai.

Menyelam dan pergerakan
Seperti sebuah mana-mana kapal, kapal selam juga akan timbul apabila berada di permukaan air. Untuk membolehkan kapal selam menyelam ke bawah permukaan, ia mestilah dijadikan lebih berat dari air yang berada di sekelilingnya. Untuk melaksanakan perkara ini terdapat beberapa injap yang dibina di badan kapal selam yang boleh dibuka untuk membenarkan air laut memasuki ke dalam tangki khas yang dipanggil ‘ballast tanks’ yang terletak diantara dinding luar dan dalam kapal selam. Sewaktu air laut memasuki injap dan memasuki tangki ballast, ia menolak keluar udara yang berada di dalam tangki tersebut keluar dari injap yang berada di bahagian atas tangki. Memandangkan air adalah lebih berat dari udara yang digantikannya, maka berat kapal selam akan bertambah dan kapal akan tenggelam ke dalam air. Dengan mengawal jumlah air dan udara yang masuk dan keluar dari tangki ballast, pegawai pemerintah kapal selam akan dapat menentukan sejauh manakah kedalaman atau tahap apungan kapal di dalam laut. Untuk menimbulkan kembali kapal ke permukaan, udara akan dipamkan semula ke dalam tangki ballast dan injap air keluar akan dibuka semula untuk menolak air keluar. Memandangkan tekanan udara yang kuat ke dalam tangki tersebut, ia akan memaksa air ditolak keluar lalu badan kapal selam kini menjadi lebih ringan dari air disekelilingnya dan ia kapal akan mula timbul.

Sejauh mana kapal selam boleh menyelam juga sebenarnya bergantung kepada ciri-ciri pembuatan seperti bahan logam yang diguna dan rekabentuk dinding kapal selam itu sendiri. Bagi mengimbangkan agar kapal selam berada pada kedudukan yang mendatar apabila berada di dalam laut, ia mengimbangkan jumlah air yang terdapat pada tangki-tangki khas yang dipanggil ‘trim tanks’ atau tangki trim yang berada dibeberapa lokasi di bahagian dalam dinding utama. Umpamanya jika kapal selam berada dalam keadaan menjunam, maka bahagian tangki trim yang terletak di bahagian ekor kapal akan disalurkan air ke dalamnya dari tangki trim hadapan. Ini menyebabkan tangki di belakang dipenuhi air, manakala tangki hadapan mula kosong. Keadaan ini secara langsung menyebabkan bahagian ekor kapal selam menjadi bertabah berat, manakala bahagian tangki trim hadapan pula agak kosong. Keadaan ini akan menyebabkan bahagian hadapan kapal selam terjungkit atau terapung kerana ringan, manakala bahagian ekor tenggelam ke bawah akibat berat. Air juga boleh dipam antara dua tangki trim di bahagaian sisi kapal selam untuk mengimbangi bahagian kiri atau kanan platform untuk mengelakkan ia dari terbuai ke kiri dan kanan apabila ia berada dalam keadaan statik.

Seperti juga sebuah kapal permukaan, kapal selam mempunyai bahagian kemudi belakang yang akan membolehkan ia untuk membelok ke kiri mahupun kanan. Namun tidak seperti kapal permukaan, apabila berada sepenuhnya di dalam air, kapal selam bakal memerlukan sistem kawalan yang akan membolehkan ia untuk bergerak ke atas dan kebawah. Ini berbeza dengan aktiviti pengapungan dan penyelaman yang menggunakan sistem injap yang mengeluarkan dan memasukkan air serta udara. Untuk bergerak dengan efisyen bagi tujuan ke atas dan bawah apabila kapal tenggelam sepenuhnya di bawah permukaan air, kapal selam menggunakan sistem sirip dibahagian kiri dan kanan kerangka utama yang dinamakan hidroplan (hydroplane). Jika bahagian hadapan hidroplan dijunamkan ke bawah manakala bahagian belakangnya dijungkitkan ke atas maka kapal selam akan bergerak dengan bahagian hadapannya menjunam ke bawah manakala jika hidroplan hadapan di dongakkan ke atas dan sirip belakang di turunkan ke bawah maka bahagian muncung kapal selam akan mendongak ke atas. Keadaan ini juga bergantung kepada pergerakan kapal selam dan akan hanya berlaku apabila kapal selam sedang bergerak ke arah hadapan. Ia mempunyai konsep kerja yang sama seperti sirip pesawat udara yang akan hanya berfungsi mengubah laluan pesawat sekiranya ia sedang bergerak di udara.

Bagi menentukan arah perjalanan yang sahih, kapal selam moden mempunyai pelbagai kelengkapan dan sistem yang boleh diguna pakai. Antaranya adalah sistem panduan inersia yang menggunakan sistem komputer dan penderia pengesan pergerakan atau giroskop bagi mempastikan bahawa kedudukan platform adalah pada arah halatuju yang sebenar. Namun kesilapan seperti sudut yang tidak begitu tepat dan lari dua atau tiga darjah kadang-kala akan berlaku. Walaupun sedikit pada permulaannya, dalam satu tempoh masa tertentu, kesilapan arah ini akan bertambah. Oleh yang demikian kapal selam moden juga turut menggunakan sistem penentuan posisi global atau GPS (Global Positionong System).

Komunikasi
Untuk berkomunikasi dengan platform lain kapal selam boleh menggunakan beberapa cara dengan menggunakan sistem radionya. Salah satunya ialah dengan menggunakan sistem frekuensi yang amat rendah atau VLF (Very Low Frequency) yang mampu didengar apabila kapal selam sedang berada terapung di permukaan atau yang sedang bergerak pada kedalaman sehingga kira-kira 75 meter dari permukaan. Sistem frekuensi ELF pula mampu menghubungi kapal selam pada jarak yang lebih dalam tetapi ia mempunyai pilihan jalurlebar yang amat terhad. Kebiasaannya ia digunakan bagi memanggil kapal selam agar bergerak lebih tnggi ke permukaan sehingga pada tahap sistem VLF boleh di dengar dengan jelas. Sistem VLF dan ELF menggunakan satu sistem antena tetap yang dipasangkan pada menara mahupun di bahagian atas badan utama. Antena juga turut terdapat pada tiang teleskopik yang boleh dinaikkan dari menara utama dalam bentuk batang halus yang fleksibel atau rod. Ada pihak berpendapat penggunaan sistem antena teleskopik atau rod yang memerlukan kapal selam timbul ke permukaan yang akan menyerlahkan menara sebagai satu tindakan yang memberikan tekanan terhadap krew kapal selam akibat bimbang platform tersebut akan mudah dikenal pasti kedudukannya oleh sistem penderia elektronik dan radar musuh. Selain itu pemancaran isyarat dari antena batang fleksibel dikatakan lebih mudah untuk dikenal pasti kedudukannya oleh sistem penderia peperangan elektronik hari ini. Untuk mengelakkan dari bahaya dikenal pasti, cara penghantara isyarat dilaksanakan secara pancaran ledakan pendek (burst transmission) yang hanya mengambil masa kurang dari sesaat untuk menghantar sesuatu isyarat.

Kapal selam juga mempunyai pilihan untuk melepaskan satu kabel khas yang boleh terapung ke permukaan laut yang bersambung dengannya. Sistem ini adalah merupakan antena terapung yang akan membolehkan kapal selam yang berada dalam di bawah permukaan air untuk berkomunikasi dengan platform sahabat atau markas utama, mahupun pesawat udara. Sistem antena kabel komunikasi ini dikenali sebagai BWA atau ‘Buoyant Wire Antenna’ dan sesetengahnya mampu menerima frekuensi dalam bentuk isyarat VLF,LF,MF dan HF namun masih mengekalkan keseluruhan kapal selam di dalam laut dalam kedalaman yang selamat. Sistem kabel komunikasi seperti yang dihasilkan oleh firma Lockheed Martin dari Amerika Syarikat mempunyai panjang antara 610 ke 730 meter dan di operasikan sama ada secara kawalan autonomi menggunakan sistem elektronik atau secara insani dengan menggunakan winc oleh pengendali dari dalam kapal selam.

Sekiranya dua kapal selam beroperasi berhampiran antara satu dengan yang lain komunikasi antara keduanya boleh dibuat dengan cara yang dipanggil ‘Getrude’. Secara amnya, Getrude adalah merupakan sistem telefon sonar. Percaapan dari telefon di dalam kapal akan dipancar melalui satu sistem pembesar suara berkuasa rendah ke dalam air. Gelombang bunyi yang dihasilkan ini akan dapat didengar oleh sistem sonar pasif kapal selam sahabat. Jarak komuniaksi sistem ini adalah dianggap mempunyai jarak amat dekat. Kelemahan sistem Getrude ialah ia bakal menghasilkan gelombang bunyi di dalam air dan ini bermakna ia juga boleh didengar oleh mana-mana kapal selam pasukan musuh yang mungkin berada dio kawasanm operasi tidak jauh dari kedudukan kedua kapal yang sedang berkomunikasi antara satu dengan yang lain.

Persenjataan
Tentunya sebuah kapal selam yang dibina untuk sebuah angkatan laut sejak dari awal penciptaannya bakal dikaitkan dengan sistem torpedo sebagai senjata utamanya. Ini sememangnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan atau terkini kerana torpedo pertama yang telah dicipta telahpun mula dihasilkan oleh Robert Whitehead sejak dari tahun 1866 lagi. Apa yang berbeza mengenai torpedo yang dihasilkan pada era pre perang Dunia berbanding pasca Perang Dunia ialah sifat torpedo awal hanya berkemampuan untuk dilancarkan secara lurus tanpa sebarang kemampuan untuk mengubah haluan atau memperbetulkan sudut hentamannya terhadap sasaran permukaan setelah ia dilancarkan. Pada ketika itu sistem meriam yang dipasang di atas geladak utama di luar kapal selam turut diguna pakai. Penggunaan kapal selam yang dipasang dengan meriam ini mempunyai persamaan dengan kapal permukaan dengan perbezaannya ialah kapal selam akan menggunakan kemampuan untuk menyelam di dalam air atau ‘hilang’ secara tiba-tiba untuk membuat dan selepas serangan terhadap kapal-kapal logistik yang tidak bersenjata dilancarkan. Dengan pengenalan sistem pesawat udara anti-kapal selam, penggunaan sistem meriam geladak mula bertukar kepada sistem untuk mempertahankan kapal dari serangan udara ketika ia mengapung ke permukaan.

Bagi sistem kapal perang moden sistem persenjataan utama mereka adalah merupakan torpedo yang berkemampuan tinggi yang mempunyai sistem sonarnya tersendiri yang dapat berfungsi secara pintar untuk mencari dan memusnahkan sasarannya. Sistem torpedo seperti Black Shark, Seahake dan Spearfish mampunyai kemampuan tinggi dengan jarah jangkauan operasinya mencecah sehingga antara 30 hingga 90km. Memandangkan kapal selam mempunyai kemampuan penyusupan ke kawasan perairan musuh secara halimunan, maka tentunya ia juga ditugaskan untuk menyemai medan periuk api maritim di kawasan-kawasan tertentu seperti terusan, selat dan kawasan pelabuhan. Sistem periuk api ditempatkan di dalam tiub pelancar torpedo dan disemai secara automatik di kawasan yang kawasan yang telah dikenal pasti menjadi laluan utama kapal-kapal musuh.

Selepas Perang Dunia Kedua, pihak Amerika Syarikat dan Soviet Union telah membangunkan sistem pelancaran peluru berpandu kruis dari kapal selam maisng-masing. Pada permulaannya kapal selam terpaksa mengapung ke permukaan sebelum peluru berpandu dapat dilancarkan. Tidak lama kemudian teknologi sistem peluru berpandu mejadi lebih moden dan mampu dilancarkan darti tiub torpedo kapal selam yang berada di bawah permukaan air tanpa perlu timbul ke permukaan. Antara sistem yang mampu dilancarkan adalah sistem BGM-109 Tomahawk (Amerika Syarikat) dan juga RPK-2 Beluga (Soviet Union). Hasil dari kejayaan melancarkan sistem peluru berpandu kruis dari bawah permukaan air, sistem peluru berpandu lain seperti anti-kapal permukaan dan SUBROC atau roket anti kapal selam berkuasa nuklear dengan mudah dapat diintegrasikan dalam sistem tempur kapal selam moden. SUBROC adalah merupakan sistem roket nuklear yang dilancarkan dari bawah air dan roket tersebut akan meluncr ke udara sebelum menjunam kembali ke laut pada koordinant tertentu dan menyerang kapal selam musuh dari atas. Bagi kapal selam berkuasa nuklear ia juga turut membawa sistem peluru berpandu balistik antara benua yang dilancarkan secara menegak dari bahagian atas geladak utamanya.

Selain itu sistem seperti peluru berpandu Harpoon dan Exocet mampu dilancarkan dari kapal selam secara khas. Ia diluncurkan keluar dari kapal selam dalam kontena khusus seperti tiub silinder apabila berada di dalam air. Sebaik ia mencecah permukaan dan naik ke udara, sistem bahan bakar utama roket akan diaktifkan dan tiub atau kelongsong akan tertanggal, peluru berpandu akan keluar dan terus menuju sasarannya. Kini satu lagi peningkatan teknologi telah diperkenalkan dalam bentuk sistem persenjataan kapal selam. Ianya adalah sistem peluru berpandu anti-pesawat udara anti-kapal selam yang mampu memusnahkan pesawat helikopter yang ditugaskan untuk mencari dan memusnah kapal selam. Sistem yang kini dalam peringkat akhir proses pembangunannya oleh pihak Jerman ini dikenali sebagai sistem IDAS.

Satu era baru bagi TLDM
Evolusi kapal selam dijangka bakal terus berlaku, terutamanya dari segi teknologi pembuatan dan bahan halimunan selain dari sistem persenjataan yang lebih efektif dan efisyen. Pada suatu masa dahulu pemilikan kapal selam adalah monopoli negara-negara kuasa besar yang memiliki kapal selam nuklear. Tamatnya Perang Dingin menyaksikan jumlah kapal selam nuklear dikurangkan jumlahnya dengan drastik akibat tahap ancaman penggunaan senjata nuklear yang rendah disamping kos senggaraan yang tinggi. Dengan terurainya kongkongan pakatan serta blok tradisional seperti Pakatan Warsaw, negara-negara global teruatama dari negara membangun dilihat mula meletakkan kepentingan nasional lebih utama berbanding sebelumnya. Salah satu aspek ialah berkaitan dengan keselamatan yang sebelum ini mungkin dijamin oleh perjanjian atau persefahaman mengikut blok politik dan ideologi. Dengan ketiadaan tekanan blok, negara-negara membangun kini bebas untuk memilih pakatan mahupun melaksanakan perolehan dari ,mana-mana negara global. Saah satu sistem atau platform yang dianggap mempunyai nilai tinggi dari aspek kemampuan kuasa tembak dan juga deteran adalah kapal selam. Peningkatan dalam teknologi pembuatan kapal selam disel-elektrik oleh firma-firma pertahanan terkemuka dunia yang mula menawarkan sistem kapal selam yang dianggap kos efektif pengoperasiannya bagi mengawal kawasan perairan sesebuah negara turut menyumbang kepada trend penyebaran eksport kapal selam disel-elektrik yang semakin bertambah pada beberapa tahun kebelakangan ini.

Dengan wujudnya kapal selam dalam inventori TLDM maka angkatan samudera negara kini telah memasuki fasa baru yang dijangka akan menjadi lebih mencabar. Ia adalah satu anjakan yang dianggap amat besar kepada kekuatan kuasa tempur armada TLDM disamping sebagai faktor deteren yang efektif dalam apa jua konflik maritim pada masa akan datang. Walaupun dianggap sebagai antara kuasa maritim yang merintis penggunaan sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan, kelewatan memperkenalkan perkhidmatan kapal selam bagi sebuah negara litoral seperti Malaysia berbanding Indonesia dan Singapura bermakna krew kapal selamTLDM akan terpaksa menimba pengalaman dengan pantas untuk mempastikan bahawa kemampuan mereka bakal menjadi setara atau lebih baik berbanding krew kapal selam kedua negara jiran tersebut. Memandangkan kapal selam negara adalah sebuah kapal selam yang baru dan bukan terpakai, sistem dan kelengkapan yang dimilikinya adalah antara yang paling terkini. Ini mungkin memberikan kelebihan kepada krew KD Tunku Abdul Rahman dalam usaha mereka untuk menjadi krew yang berkemampuan tinggi dan mampu mengeksploitasikan kelebihan teknologi baru dan terkini dalam kapal selam tersebut bagi menjaga kedaulatan kawasan maritim negara yang luas.

SCORPENE



KD TUNKU ABDUL RAHMAN atau singkatannya, KD TAR adalah merupakan kapal selam pertama yang dimiliki oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Ia merupakan kapal yang dibina secara bersama oleh konsortium DCN International dari Perancis dan Izar dari Sepanyol setelah kontrak perolehan telah dipersetujui oleh Kerajaan Malaysia pada Jun 2002. Ini adalah merupakan kejayaan kedua pihak DCN dan Izar setelah pada April 1998 pihak kerajaan Chile telah bersetuju memesan dua buah kapal Scorpene untuk dibina setiap satu di Perancis dan Sepanyol.
Walaupun mungkin ramai yang mengetahui nama Scorpene, tidak ramai yang mengetahui latar belakang program dan kemampuan kapal selam tersebut secara agak terperinci. Malah bukan sedikit tanggapan yang mungkin mengelirukan kadang-kala terpapar dalam pelbagai media mengenai kapal selam yang telah diperolehi oleh pihak TLDM. Sememangnya juga adalah agak sukar untuk TEMPUR sendiri merungkai maklumat yang benar-benar sahih mahupun tepat mengenai ciri-ciri kapal KD TAR. Apa lagi bagi sebuah platform kapal selam yang mempunyai nilai strategik kepada pertahanan negara, semestinya maklumat mengenai kemampuan hakiki serta sistem penderia dan persenjataannya adalah suatu maklumat yang dirahsiakan.

Latar belakang
Program kapal selam ini mula dirancang apabila pihak tentera laut Perancis mencadangkan bahawa ia bakal menggantikan kapal selam kelas Daphne yang dibina oleh Perancis dari tahun 1958 hingga 1970. Ia adalah merupakan kapal selam jenis diesel-elektrik yang turut digunakan oleh beberapa negara seperti Portugal, Sepanyol, Afrika Selatan serta Pakistan. Walaupun pihak Perancis telah membina kapal selam S-70 Agosta sebagai platform yang dianggap sebagai reka bentuk yang bakal menggantikan kapal selam Daphne, namun ia dilihat sebagai masih mengekalkan ciri-ciri rekabentuk kapal selam terdahulu yang dianggap tidak mampu memenuhi kehendak operasi kapal selam bagi menghadapi ancaman mendatang. Bagi menampung keperluan tersebut pihak Perancis telah melancarkan satu program yang dinamakan sebagai F-80. Namun program F-80 dikatakan tidak mampu direalisasikan akibat kekangan bajet dan akhirnya keputusan dibuat untuk meneruskan pembangunan peningkatan kepada kapal S-70 Agosta yang kemudiannya diklasifikasikan sebagai S-90B. Malangnya program ini juga gagal mendapatkan dana dari pihak kerajaan, dan akhirnya tiga kapal selam jenis S-90B telah dieksport ke Pakistan.

Selain Perancis, pihak tentera laut Sepanyol juga mendapati bahawa kapal selam kelas Daphne yang digunakan bakal mencapai tahap maksima tempoh penggunaannya. Memandangkan tentera laut Sepanyol tidak berpuas hati dengan kertas cadangan mengenai jenis kapal selam baru yang akan menggantikan kapal selam Daphne, mereka kemudiannya mengambil keputusan untuk menetapkan ciri-ciri teknikal bersesuaian dengan kehendak mereka sendiri. Apabila menyedari bahawa sifat-sifat kapal selam yang mahu dibina mereka hampir menyerupai program S-80 Perancis yang tergendala, pihak industri maritim Sepanyol, Izar telah bersetuju untuk bekerjasama dengan firma Perancis DCNS bagi membangunkan program tersebut. Pada 1990 rekabentuk kapal selam baru ini telah dipamerkan kepada umum ketika pameran Le Bourget Navale di Perancis serta diklasifikasikan dengan nama Scorpene. Walaupun terdapat laporan yang menyatakan bahawa pihak tentera laut Perancis dan Sepanyol akan memperolehi kapal selam tersebut, namun ianya tidak menjadi kenyataan. Keadaan dilihat menjadi bertambah rumit apabila pada tahun 1995, tentera laut Perancis mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah memulakan program untuk menghasilkan kapal selam nuklear generasi baru yang bakal menggantikan kapal selam Kelas Amethyste yang menggunakan sistem nuklear. Kapal selam baru ini juga akan menggantikan kapal selam versi disel-elektrik kelas Agosta yang juga diguna pakai oleh negara tersebut. Pihak tentera laut Perancis menyatakan bahawa ia tidak akan lagi mengoperasikan kapal selam disel-elektrik dalam armadanya dan kenyataan ini disahkan kemudiannya apabila kerajaan Perancis dalam semakan semula polisi pertahanannya menegaskan bahawa kesemua pasukan kapal selam disel-elektrik akan dihentikan dari beroperasi tanpa sebarang penggantian.

Memandangkan pihak tentera laut Sepanyol juga pada ketika itu masih tidak menyatakan sebarang komitmen untuk memperolehi kapal Scorpene, masa hadapan program kapal selam tersebut dilihat agak malap. Mungkin harapan yang ada ialah kepada minat yang ditunjukkan oleh tentera laut Thailand terhadap kapal selam tersebut. Pada tahun 1995 juga, kabinet Thailand telah meluluskan usul mengenai perolehan sistem kapal selam dan mengarahkan tentera lautnya untuk mula melaksanakan proses pemilihan. Pada peringkat awal, Scorpene dilihat sebagai calon platform yang mempunyai potensi paling baik. Namun seperti yang biasanya berlaku kepada program kapal selam Thailand sejak dari tahun 1959 apabila ia dimulakan, pada bulan Mei 1996, ia ditangguhkan. Perancis kemudian mencadangkan agar kapal empat kapal selam Scorpene dibekalkan kepada Afrika Selatan dalam satu pakej perolehan aset ketenteraan yang lebih besar dalam usaha untuk membangun dan memodenkan semula angkatan laut negara tersebut. Namun pakej yang ditawarkan oleh Perancis ditolak oleh Afrika Selatan yang kemudiannya memilih pakej perolehan yang ditawarkan oleh Jerman yang menawarkan kapal selam Type 209 serta kapal permukaan Kelas Meko. Perhatian kemudiannya ditumpukan kepada Pakistan yang sememang telahpun mengoperasikan kapal selam buatan Perancis, iaitu dari kelas Daphne dan Agosta. Namun sekali lagi Scorpene ditolak, apabila Pakistan memilih untuk mendapatkan versi Agosta yang dipertingkatkan, iaitu Agosta 90B. Pemilihan ini mungkin kerana pakej yang ditawarkan bersama Agosta adalah lebih menarik yang termasuk pemindahan teknologi serta kebenaran Pakistan untuk membina dan mengeksport kapal selam tersebut kepada negara ketiga.

Penyelamat program Scorpene akhirnya muncul apabila pada tahun 1997 Chile telah menyatakan komitmen bahawa ia bakal memperolehi dua buah kapal selam Scorpene setelah menilai cadangan yang dikemukakan oleh sekurang-kurangnya empat pengeluar kapal selam yang lain. Antara yang turut membida bagi perolehan tersebut termasuklah Jerman (Type 209) dan juga Sweden (Gotland/Collins). Keputusan ini dianggap agak memeranjatkan ramai pemerhati kerana sebelum ini armada tentera laut Chile telahpun menggunakan kapal selam Jerman Type 209 dalam satu tempoh yang agak lama. Menurut Menteri Pertahanan Chile pemilihan akhir dibuat berdasarkan faktor kemampuan Scorpene uantuk beroperasi dengan lebih senyap di bawah permukaan air berbanding kapal selam lain disamping pakej pembayaran atau kewangan yang lebih baik yang ditawarkan kepada negara tersebut.

Pembahagian kerja antara DCNS dan Izar kemudian telah ditetapkan dengan firma Perancis akan bertanggungjawab terhadap 60% dari kerja pembuatan, manakala firma Sepanyol Izar akan melaksanakan baki 40%. Limbungan kapal DCNS di Cherbourg akan bertanggungjawab bagi pembinaan dinding kerangka kalis tekanan untuk kedua-dua kapal selam disamping pembinaan dan pemasangan bahagian hadapan kedua-dua kapal selam. Limbungan Cartegena milik Izar di Sepanyol pula akan dipertanggungjawabkan untuk membina dan memasang bahagian belakang kapal selam. Apabila kedua-dua pihak telah berjaya melaksanakan tugas pembinaan dan pemasangan, bahagian belakang di Sepanyol akan dibawa ke Perancis bagi tujuan penyambungan dan pemasangan akhir keseluruhan kapal selam. Perkara sama juga dilaksanakan kepada kapal kedua, perbezaannya ialah kali ini bahagian hadapan kapal akan dibawa ke Sepanyol bagi penyambungan dan persiapan akhir. Perlaksanaan kontrak perolehan ini juga turut mengalami beberapa halangan, terutamanya apabila seorang hakim dari mahkamah Sepanyol bertindak cuba campur tangan dalam proses ekstradisi bekas diktator Chile, Jeneral Pinochet untuk dibicarakan atas dakwaan jenayah kemanusiaan. Keadaan menjadi begitu kritikal sehinggakan Chile mengugut akan membatalkan kontrak tersebut jika kerajaan Sepanyol tidak berbuat apa-apa, malah kerajaan tersebut turut mendesak agar program tersebut dilaksanakan secara sendirian oleh DCNS dari Perancis tanpa sebarang campur tangan dari Izar. Keadaan ini walaubagaimanapun sukar dilaksanakan kerana kontrak bagi syarat-syarat pembinaan telahpun dipersetujui dan Chile akan terpaksa membayar gantirugi yang besar jika ia bertindak melanggar syarat-syarat perjanjian pembelian yang telah dipersetujui sebelum ini.

Pesanan yang diperolehi dari Chile ini dilihat sebagai satu perkembangan yang amat positif dan dilihat bakal menjadi katalis kepada perolehan empat kapal selam Scorpene untuk tentera laut Sepanyol yang sememangnya mahu menggantikan kapal selam Agostanya yang telah uzur. Namun episod penggantian kapal selam Sepanyol ini kemudiannya menjadi lebih rumit dan bakal mencalar hubungan antara kedua firma DCNS dan Izar dikemudian hari (bakal diterangkan berikutnya).

Pada bulan Jun 2002, Kementerian Pertahanan Malaysia telah mengumumkan bahawa firma DCNS International dan Izar sebagai sebuah konsortium telah dipilih untuk membekalkan TLDM dengan dua buah kapal selam Scorpene. Sepertimana pembinaan kapal selam-kapal selam tentera laut Chile, kedua-dua kapal selam TLDM akan dibina secara berasingan di dua limbungan di Perancis dan Sepanyol. Pengesahan perjanjian dilaksanakan pada Oktober tahun yang sama dan peroses pembinaan kapal pertama iaitu KD TAR bermula pada bulan tersebut.

Setahun sebelum Malaysia mengumumkan kemahuannya untuk memperolehi kapal selam Scorpene, India telahpun menandatangani satu perjanjian pemindahan dan penghasilan bersama beberapa platform dan sistem berkaitan pertahanan yang turut merangkumi sejumlah kapal selam Scorpene. Ia melibatkan pembinaan bersama kapal selam tersebut di limbungan Mazagon Shipyard di India. Kapal selam Scorpene yang dibina di India ini bakal menggantikan sejumlah kapal selam kelas Foxtrot atau Project 641 yang dibeli dari Soviet Union pada suatu masa dahulu selain dari kapal Type 1500 dan Kilo Project 877. Walaupun Kementerian Pertahanan India meluluskan perolehan tersebut pada 2002, namun kelulusan akhir perlu didapati dari kabinet India dan beberapa usul telah diketengahkan oleh kabinet untuk diperdebatkan. Antaranya ialah untuk pihak tentera laut India mendapatkan kapal selam terpakai yang mempunyai kos perolehan yang lebih murah. Usul ini ditolak, namun menjelang April 2003, kerajaan India bertegas bahawa keenam-enam kapal selam perlu dibina di India keseluruhannya, berbanding cadangan sebelum ini iaitu dua di Perancis dan empat lagi di India. Akhirnya pada Oktober 2005 India bersetuju untuk memesan enam buah kapal selam Scorpene, namun kelewatan perolehan dan karenah birokrasi telah menyebabkan kos pembinaan kapal telah meningkat sehingga USD100 juta bagi setiap satu kapal selam, dengan sebuah akan dibina di Perancis dan lima lagi di India. Pada masa yang sama India turut telah memesan sejumlah 36 peluru berpandu SM39 Exocet yang boleh dilancarkan dari kapal selam Scorpene. Kesemua kapal selam tersebut bakal diterima dalam tempoh antara tahun 2012 hingga 2017.

Pelanggan terkini kapal selam Scorpene adalah Brazil yang telah menandatangani perjanjian pada awal tahun ini yang akan melihat negara Amerika Selatan tersebut bakal memperolehi sehingga enam buah kapal selam Scorpene. Perancis juga dikatakan telah bersetuju untuk memindahkan sebahagian dari kepakaran dan teknologi bagi membantu Brazil untuk menghasilkan sebuah lagi kapal selam Scorpene (Scorpene yang kelima) yang bakal dijana kuasa pendorongannya oleh sistem nuklear. Perjanjian ini dianggap oleh kedua pihak sebagai satu kerjasama strategik yang akan menyaksikan pihak Perancis membantu Brazil mempertingkatkan kelengkapan ketenteraannya berasaskan kepada sistem persenjataan Perancis, manakala Brazil pula akan membantu Perancis dalam membangunkan program janakuasa modular nuklear yang kecil bakal dimuatkan ke dalam kapal selam nuklear Perancis yang baru, Barracuda yang merupakan sebuah kapal selam nuklear dengan panjang 100 meter. Kapal selam ini dianggap sebagai satu kesinambungan kepada peningkatan keupayaan dan rekabentuk dari kapal selam Scorpene.

Kesemua kapal selam Scorpene Brazil akan dibina di negara Amerika Selatan tersebut menggunakan komponen yang diimport dari Perancis, dengan beberapa komponen yang lain akan dikilangkan di Brazil sendiri. Bagi pihak Perancis pula mereka akan memberikan bantuan kepakaran dan teknologi untuk memasang sistem reaktor nuklear bagi kapal selam baru Brazil kelak. Kos bagi perjanjian komprehensif ini yang menyaksikan lima buah kapal selam Scorpene, 50 buah helikopter Cougar dan bantuan kepakaran serta teknologi dikatakan bakal menelan belanja sehingga USD10 billion.
Persefahaman dan perkongsian teknologi antara DCNS dari Perancis dan Izar dari Sepanyol untuk menghasilkan program kapal selam Scorpene turut berada dalam keadaan yang kurang selesa antara kedua-dua pihak. Walaupun kedua firma mempunyai komitmen yang tinggi dalam program Scorpene, namun harus diingat bahawa kedua-dua negara juga turut mempunyai program pembangunan kapal selam nasional masing-masing. Kemahuan untuk menjaga dan melindungi kepentingan industri serta ekonomi masing-masing bagi mengaut keuntungan yang bernilai berbillion USD tentunya adalah sesuatu yang diletakkan dihadapan dari mana-mana faktor lain. Ini adalah faktor yang kini mungkin dilihat dapat mengancam hubungan konsortium DCN/Izar dalam terus merealisasikan impian untuk melihat kapal selam Scorpene muncul sebagai kelas kapal selam disel elektrik yang berkemampuan tinggi. Kedua-dua pihak, Perancis dan Spanyol telah menuduh antara satu sama lain sebagai bertindak secara tidak profesional terhadap beberapa siri tender untuk membekalkan sistem kapal selam kepada pelanggan di Eropah.

Navantia yang merupakan firma induk kepada Izar mewakili Sepanyol dalam program Scorpene menyatakan bahawa konflik bermula apabila kerajaan Sepanyol telah memilih sistem pengurusan tempur yang dihasilkan oleh firma Lockheed Martin bagi dipasangkan pada kapal selam generasi barunya, iaitu S-80 bagi menggantikan kapal selam Agosta. Ini mengecewakan pihak industri pertahanan Eropah yang telah memberikan tekanan kepada Sepanyol untuk menggunakan sistem pengurusan tempur yang dikeluarkan oleh blok negara tersebut, terutamanya dari Perancis. Keadaan ini diburukkan lagi apabila Navantia turut melobi bagi memasuki tender program kapal selam global, terutamanya di Turki dengan mengetengahkan kapal selamnya sendiri iaitu S-80 yang juga bersaing dengan sistem kapal selam Marlin yang ditawarkan oleh pihak DCNS. DCNS telah menuduh Navantia menciplak atau mencuri rahsia komersial berkaitan program kapal selam Scorpene selain dari meniru spesifikasi teknologi yang terdapat pada Scorpene. Ia kemudian menggunakannya sebagai asas untuk membangunkan program kapal selam S-80 sendiri yang ditawarkan juga kepada tentera laut Sepanyol serta negara-negara yang mahu memperolehi sistem kapal selam. Sememangnya laporan-laporan dari sumber media di Sepanyol menyatakan bahawa kapal selam disel elektrik Scorpene bakal menelan belanja yang tinggi dan ‘terlalu sofistikated’ rekabentuknya untuk diguna pakai oleh tentera laut Sepanyol bagi tujuan operasinya. Laporan ini turut diperkuatkan lagi apabila Izar sendiri melaporkan bahawa kapal selam generasi baru bagi tentera laut Sepanyol adalah kapal S-80.

Perancis ‘bertindak balas’ dan dengan secara sendirian berjaya mendapatkan penjualan empat buah kapal selam Scorpene kepada Brazil yang tidak langsung melibatkan firma Navantia. Perkara ini terus berlarutan sehingga ia dibawa ke mahkamah oleh kedua-dua pihak. Walaupun dilihat bertelagah, namun kedua-dua firma Navantia dan DCNS mengetahui bahawa program kapal selam Scorpene adalah satu program yang mempunyai masa hadapan yang baik dalam persaingan perolehan kapal selam yang semakin sengit. Pihak Navantia sendiri mengakui bahawa ia risau jika tindakan undang-undang yang diambil oleh kedua pihak bakal menjejaskan kredibiliti serta penjualan kapal selam tersebut yang kini sejumlah 14 buah telah terjual iaitu kepada Brazil (4), Chile (2), India (6) dan Malaysia (2). Pada bulan Mei tahun ini kedua-dua firma telah mengadakan rundingan untuk cuba menyelesaikan masalah yang mungkin akan menghantui program Scorpene. Jika ia tidak diselesaikan secara baik, kedua-dua pihak dilihat bakal terpaksa menanggung kerugian yang besar, apa lagi sehingga kini tiga buah kapal selam berjaya beroperasi dengan baik, seterusnya membuktikan bahawa rekabentuk dan integrasi sistem di dalam Scorpene adalah berkesan.

Keberkesanan Scorpene
Salah satu isu yang kerap dibangkitkan oleh banyak pihak mengenai kapal selam Scorpene ialah memandangkan kedua-dua angkatan laut negara pembekal, Perancis dan Sepanyol tidak menggunakan kapal selam Scorpene, maka rekabentuk dan sistem yang terdapat pada kapal selam tersebut dianggap masih belum terbukti kemampuannya. Ini dikatakan adalah antara penyebab kenapa penjualan kapal selam sukar dilakukan pada peringkat awal ia diperkenalkan. Namun pada 2004 setelah kapal pertama dari dua buah kapal selam yang dipesan oleh Chile berjaya melaksanakan kesemua ujian penerimaan dan pengoperasian sistem arahan dan kawalan serta persenjataan, ia kini mula diberikan perhatian serius oleh banyak pihak. Malah jika dilihat kepada program kapal selam Scorpene yang berikutnya selepas Chile dan Malaysia membuat keputusan membeli dua buah bagi setiap negara, keputusan persetujuan hakiki mengenai perolehan dibuat oleh India dan Brazil selepas tahun 2004. Tahun 2004 menyaksikan bagaimana kapal selam Scorpene Chile pertama yang ditauliahkan sebagai O’Higgins telah berjaya melancarkan torpedo berat Black Shark dan SUT. Penembakan kedua-dua torpedo dilaksanakan selepas O’Higgins lulus dengan cemerlang dalam ujian penyelaman sehingga pada tahap melebihi 300 meter yang merupakan had selaman maksimanya pada awal November, 2004. Ini adalah sesuatu yang dianggap penting kepada firma DCNS dan Navantia dalam proses pengesahan atau ‘validation’ bahawa struktur, dan prinsip asas di sebalik rekabentuk dan pembinaan Scorpene adalah menepati piawaian dan kemampuan sepertimana yang telah dibuktikan secara teori dan melalui sistem penyelaku sebelum ini.

Ciri-ciri fizikal Scorpene
Secara amnya reka bentuk kerangka bahagian luar kapal selam Scorpene adalah merupakan kesinambungan dari rekabentuk kapal selam nuklear Amethyste milik Perancis. Reka bentuk baru bagi Scorpene adalah idea asal dari program bagi menghasilkan sistem kapal selam Amethyste versi disel-elektrik yang kemudiannya tidak dibangunkan. Ini kerana pihak tentera laut Perancis berpendapat kesemua kapal selamnya pada masa hadapan akan menggunakan kuasa nuklear. Ciri-ciri fizikal bahagian luar Scorpene turut memperlihatkan pengaruh reka bentuk kapal selam kelas Albacore yang mempunyai tahap keluncuran dalam air yang amat efisyen dan senyap. Bahagian tengah kapal yang panjang mempunyai diameter sama manakala bahagian hadapan berbentuk bulat. Bahagian ekor kapal mempunyai tahap kecerunan menirus dengan dua sirip atau hidroplan, manakala bahagian hujungnya mempunyai kemudi berbentuk ‘+’. Selain itu terdapat dua sirip utama atau hidroplan pada bahagian atas menara periskop.

Bahagian dalam kapal selam Scorpene tidak banyak berbeza dengan kapal selam moden yang lain. Ia mempunyai dua tahap dek atau tingkat dengan dek atas diperuntukkan bagi stesen kerja krew serta tempat aktiviti harian mereka. Bahagian dek bawah mempunyai ruang untuk enjin disel serta sistem sel bateri. Kompartmen torpedo dan persenjataan adalah di bahagian hadapan dan sistem torpedo mampu dilancarkan terus dari pembukaan khas yang terdapat pada bahagian muncung kapal selam. Bahagian kompartmen bilik arahan dan kawalan serta tempat rehat krew dipasang di dalam kerangka menggunakan sistem apungan yang unik agar gegaran dari pergerakan krew di dalam kapal selam mahupun bunyi dari kompartmen tersebut tidak akan sampai atau disalurkan secara langsung kepada bahagian luaran dinding utama kapal selam. Tebatan gegeran dan bunyi ini dicapai dengan membina kompartmen krew dalam keadaan ‘terapung’ dengan disokong oleh sistem pautan bersifat elastik manakala beberapa siri penebat bunyi turut menghalang sebarang gelombang bunyi dari terkena kepada bahagian dalam dinding utama kapal selam.

Sebahagian besar dari teknologi yang digunakan dalam kapal selam Scorpene diambil dari sistem yang kapal selam nuklear Amethyste dan Le Triomphant. Ini termasuklah sistem kawalan automasi bagi platform kapal selam itu sendiri serta sistem integrasi tempur yang dikenali sebagai SUBTICS atau ‘Submarine Tactical Integrated Combat System’. Sistem ini mengandungi enam konsol paparan pelbagai fungsi dan sebuah meja taktikal yang dipasangkan di tengah-tengah bilik arahan dan kawalan. Komponen sistem SUBTICS mengandungi sistem arahan dan data taktikal, sistem kawalan persenjataan serta sistem pelbagai penderia akuistik yang dipadankan juga dengan sistem penderia permukaan dan udara dalam sistem yang diintegrasikan bersama. Untuk menentukan kedudukannya dengan tepat relatif kepada sasaran atau lokasi tertentu ia mempunyai sistem pandu arah atau navigasi bersepadu yang mengumpulkan data dari sistem poisisi kedudukan global atau GPS, catatan log, ukuran kedalaman serta sistem pemantauan hidroplan atau sirip pada badan kapal selam. Selain itu sistem penderia kapal selam Scorpene turut memantau kawasan persekitaran di dalam air, termasuklah ketumpatan air, suhu serta bunyi yang dihasilkan oleh enjin serta faktor lain dari dalam kapal selam.

Bahagian perkakasan dan perisian yang digunakan dalam sistem arahan dan kawalan platform banyak menggunakan sistem komersial atau COTS (Commercial Off-The-Shelf) yang turut membolehkan kelengkapan yang dipasangkan bersifat modular yang membolehkan ia diganti atau dipertingkat jika perlu tanpa kerumitan. Antara komponen-komponen yang dimaksudkan adalah sistem pemproses data RISC, sistem protokol TCP/IP bagi tujuan komunikasi serta pengunaan sistem paparan antaramuka grafik X-Windows, selain dari sistem pengoperasian UNIX.

Bahagian kerangka luaran Scorpene diperbuat dari keluli berkekuatan tinggi jenis HLES 80 yang mempunyai mutu serta tahap ketahanan bahan HY 80 yang diguna pakai daklam pembinaan kapal selam nuklear. Bahan ini digunakan kerana ia mempunyai daya ketahanan yang amat baik apabila berada dibawah permukaan air yang mempunyai tekanan tinggi dengan nisbah berat yang minima. Ini amat penting jika sebuah kapal selam itu mahukan keupayaan untuk membawa lebih banyak sistem torpedo atau persenjataan relatif kepada saiznya yang kecil berbanding kapal selam konvensional. Ketahanan kerangka menggunakan bahan keluli HLES 80 memungkinkan kapal selam Scorpene membawa lebih banyak kelengkapan dan persenjataan dan masih mampu menyelam dengan lebih dalam.

Sistem persenjataan
Sistem persenjataan utama Scorpene adalah merupakan torpedo Black Shark atau terjemahannya ‘Jerung Hitam’. Ia adalah merupakan torpedo yang diklasifikasikan sebagai torpedo kategori berat yang dihasilkan oleh firma WASS, iaitu sebuah firma dibawah induk Finmeccanica, iaitu sebuah firma pertahanan terkemuka Itali. Pembangunan sistem Black Shark bermula pada tahun 1997 bagi memenuhi kehendak tentera laut Itali yang mahukan sistem torpedo generasi baru bagi kapal selam-kapal selam U212nya. Pada peringkat awal pembangunan, torpedo ini dikenali sebagai A184 Advanced yang mencerminkan bahawa ia adalah merupakan peningkatan kepada sistem torpedo A184 Mod3. Sebuah firma Perancis DCN St Tropaz bertanggungjawab untuk membangunkan sistem bateri dan motor elektrik torpedo tersebut. Sistem Black Shark dilengkapkan dengan sistem ASTRA yang merupakan akronim kepada ‘Advanced Sonar Transmitting and Receiving Architecture’, iaitu sistem arahan dan kawalan yang menggunakan sistem sonar pasif serta aktif untuk mengenal-pasti dan memacu torpedo ke sasarannya. Berbanding sistem torpedo yang terdahulu dihasilkan oleh WASS, sistem ini mempunyai seksyen kawalan dan panduan yang dipertingkatkan, sistem kabel panduan fiber optik, motor elektrik yang baru dan sistem kipas berlawanan arah. Sistem ASTRA boleh dianggap sebagai nadi kepada Black Shark. Ia mempunyai sistem sonar aktif dan pasif yang boleh dioperasikan secara serentak. Ini akan membolehkan torpedo mengenal pasti dan membezakan antara isyarat sebenar pantulan dari platform sasaran atau isyarat yang dihantar oleh sistem pengumpan atau ‘decoy’. Sistem gentian optik menggantikan kabel panduan biasa digunakan torpedo biasa kerana ianya mampu membawa lebih banyak data, arahan dan kawalan serta isyarat dengan lebih efisyen. Penggunaan sistem gentian fiber juga membenarkan pertukaran data yang lebih besar dilakukan antara torpedo dan sistem data serta penderia kapal selam. Ini sebenarnya mempunyai aplikasi yang bukan sahaja bagi penggunaan torpedo sahaja, tetapi turut membolehkan sistem platform bawah permukaan air tanpa pemandu atau UUV (Underwater Unmanned Vehicle) diguna pakai oleh TLDM pada masa hadapan yang boleh dilancarkan dari tiub torpedo Scorpenenya. UUV ini mampu melaksanakan operasi pengumpulan data mahupun menjadi peninjau kepada kapal selam, memandang sistem tersebut mempunyai keupayaan operasi yang tinggi.

Sistem Black Shark di dorong oleh sistem motor yang dijana kuasa pendorongannya menggunakan sistem bateri AlAgO yang dipasangkan dengan sistem pengurusan elektrolit. Bagi tujuan latihan, sistem bateri Lithium Ion cas semula diguna pakai yang mempunyai kos murah. Bahagian kipas torpedo mempunyau dua kipas yang bergerak secara berlawanan, kipas pertama mempunyai 13 bilah, manakala kipas kedua 10 bilah yang diperbuat dari gentian karbon. Kelajuan Black shark mampu mencapai sehingga 52 knots. Jika keseluruhan sistem persenjataan yang dibawa oleh Scorpene adalah peluru berpandu, ia mampu membawa sehingga 18 buah torpedo

Selain torpedo Scorpene juga berkemampuan untuk membawa sistem peluru berpandu Exocet MM39 serta periuk api maritim. Bagi operasi yang pelbagai, pegawai memerintah kapal Scorpene mampu membawa ketiga-tiga jenis sistem persenjataan iaitu torpedo, peluru berpandu dan juga periuk api. Jumlah yang boleh dibawa walau bagaimanapun harus di kompromi mengikut berat dan saiz sistem persenjataan tersebut. Umpamanya setiap satu torpedo Black Shark boleh digantikan dengan dua sistem periuk api dasar laut. Ini bermakna jika tugas kapal adalah untuk menyemai medan periuk api, ia mampu membawa sehingga 36 butir periuk api.

Sistem AIP MESMA untuk Scorpene
Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kapal selam Scorpene mampu dipasangkan dengan sistem pendorongan tanpa menggunakan udara dari persekitaran. Sistem pendorongan kapal selam ini datang dari dua buah enjin disel yang mampu menjana sehingga 1,250 kiloWatt tenaga, disamping itu pada bahagian atas kompartmen enjin disel, terdapat sebuah enjin elektronik yang dipasangkan pada pautan elestik yang mempunyai kekuatan 2,900 kiloWatt. Sistem penjanaan kuasa pendorongan ini memainkan peranan yang penting dalam operasi harian sebuah kapal selam tempur seperti Scorpene. Enjin diesel digunakan apabila kapal bergerak di atas permukaan air dan untuk mengecas sistem baterinya yang akan diaktifkan apabila kapal mahu menyelam dan bergerak di bawah permukaan air. Perancis menawarkan dua versi kapal selam Scorpene iaitu versi CM-2000 yang menggunakan sistem pendorongan konvensional iaitu dengan mengunakan disel dan juga versi AM-2000 yang menggunakan sistem AIP. Perbezaan yang paling nyata antara kedua sistem tersebut ialah dengan mempunyai sistem AIP, Scorpene AM-2000 mampu kekal di bawah permukaan air untuk tempoh jangkamasa tiga kali lebih lama berbanding sistem kapal selam CM-2000.

Sememangnya sebuah kapal selam moden boleh bergerak di bawah permukaan air untuk menjadikan ia sukar dikesan oleh platform musuh. Walaupun demikian ketika menyelam, kuasa pendorongan ditukarkan dari enjin disel kepada enjin elektrik yang dibekalkan kuasa melalui sistem bateri. Kuasa bateri ini walau bagaimanapun tidak dapat bertahan lama dan untuk mendapatkan semula kuasa, ia harus dicaskan semula menggunakan sistem enjin disel. Untuk berbuat demikian kapal selam harus timbul ke permukaan, menghidupkan enjin disel dan mengecas semula bateri yang telah kehausan kuasa. Masa yang diambil untuk timbul ke permukaan ini adalah kritikal kerana ia mendedahkan kapal selam kepada bahaya bahawa ia akan dikesan oleh pelbagai platform musuh menggunakan penderia optik dan elektronik mereka. Ini mudah dilakukan walaupun kapal selam hanya menerjahkan serombong periskopnya sahaja bagi tujuan mengambil bekalan udara. Ia juga mudah dikesan oleh kapal selam-kapal selam musuh yang mungkin berada di kawasan sama memandangkan bunyi yang dihasilkan dari mekanimsa fizikal enjin disel dapat dikesan oleh sistem sonar dari jarak yang jauh. Untuk mengurangkan tahap kemungkinan dapat dikesan oleh musuh, Scorpene boleh dipasangkan dengan sistem AIP yang diklasifikasikan sebagai MESMA (Module d’Energie Sous-Marine Autonome). Sistem anaerobik MESMA menghasilkan haba dengan membakar bahan ethanol dengan cecair oksigen (dibawa bersama kapal) dalam kebuk khas dan tidak memerlukan kapal selam untuk mengapung ke permukaan bagi mendapatkan bekalan oksigen.

Sistem fizikal MESMA ini boleh dipasangkan pada kapal selam Scorpene sama ada ketika ia mula dibina dari awalnya, atau jika satu peningkatan diperlukan oleh sebuah Scorpene sedia ada, ia boleh dipasangkan kemudian. Perbezaan antara kapal selam yang dipasangkan dengan sistem MESMA tidak mendatangkan sebarang kesan negatif terhadap kemampuan mahupun prestasi kapal tersebut. Perbezaan kapal selam yang memiliki sistem MESMA berbanding yang biasa adalah perubahan dari segi panjang dan berat. Kapal selam CM-2000 mempunyai panjang 61.7 meter dan beratnya adalah 1,700 tan, manakala AM-2000 yang mempunyai MESMA adalah 70 meter dengan beratnya pula kepada 1,900 tan.
Versi Scorpene

Walaupun mungkin mempunyai nama atau rekabentuk yang hampir sama, sebenarnya terdapat enam versi Scorpene yang ditawarkan. Versi AM-2000 seperti yang dinyatakan sebelum ini adalah merupakan platform yang ditambah panjang dan beratnya akibat dipasangkan dengan sistem 2.800 kiloWatt AIP MESMA. CA-2000 pula adalah merupakan kapal selam yang menyerupai kapal selam Scorpene namun mempunyai saiz yang lebih kecil. Beratnya adalah kira-kira 940 tan dengan panjang 60.26 meter dan ia mempunyai nisbah jumlah sistem persenjataan serta jarak operasi yang dikurangkan. CM-2000 adalah platform utama yang merupakan sistem kapal selam konvensional. Program S-80A pula dilihat adalah merupakan pecahan dari program Scorpene yang ditujukan penggunaannya kepada tentera laut Sepanyol. Ia mungkin kelihatan sama pada bahagian luarannya, namun dipercayai bahagian dalam kapal selam S-80A adalah berbeza dan menurut kehendak yang telah ditetapkan oleh tentera laut negara tersebut. Ia mempunyai panjang 71 meter dengan berat 2,300 tan. Pada mei 2007 DCN telah memperkenalkan satu lagi jenis kapal selam yang dibina berasaskan kepada sistem Scorpene. Sistem ini dikenali sebagai SMX-23 yang juga dikenal sebagai Andrasta. Program Andrasta dibina dengan memberikan penumpuan terhadap kehendak negara-negara litoral bagi mengawasi kawasan perairan pantai mereka. Oleh yang demikian sifat serta ciri-ciri fizikal kapal selam ini unik untuk persekitaran sedemikian. Panjang kapal selam ini hanyalah 49 meter dengan berat 855 tan. Ia mampu membawa sehingga enam torpedo berat dari jenis Black Shark.