Sabtu, 5 Disember 2009

Benarkah TLDM bakal membeli Kumpulan Kedua Kapal Frigate Kelas Lekiu?




Apa itu frigate?
Frigate ialah Kapal perang. Ia sejenis kapal yang dimiliki oleh tentera laut yang mana ia boleh bergerak pantas. Di dalam ketenteraan moden, Frigate selalu digunakan untuk melindungi kapal perang dan kapal perdagangan yang membawa komoditi seperti minyak, kontena dan lain-lain lagi. Kapal frigate juga mempunyai keupayaan peperangan anti kapal selam (ASW), peperangan anti udara (AAW), peperangan elektronik (AEW).

rigat Kelas Lekiu merupakan aset moden utama di dalam armada Tentera Laut Diraja Malaysia. Terdapat dua buah frigat di dalam kelas ini iaitu F29 KD Jebat dan F30 KD Lekiu. Kelas ini dinamakan sempena nama kapal kedua di dalam kelas ini yang mana dilancarkan sebelum Jebat.

Frigat ini telah dibina oleh syarikat Yarrow Shipbuilders UK di Glasgow (kini BVT Surface Fleet) berdasarkan rekabentuk frigat ringan, FS 2000. Lekiu telah dilancarkan pada bulan Disember 1994 sementara Jebat pula dilancarkan pada bulan Mei 1995. Jebat memiliki nombor pennant yang lebih rendah (F 29) bagi melambangkan kekananan dalam kelas ini, yang mana menempatkan Laksamana Tentera Laut Diraja Malaysia (Hang Jebat mengantikan Hang Tuah sebagai Laksamana semasa pemerintahan Kesultanan Melaka, sementara Hang Lekiu tidak pernah menjadi Laksamana).

Kedua-dua frigat F29 KD Jebat dan F30 KD Lekiu berkhidmat di dalam Skuadron Frigat 23, Tentera Laut Diraja Malaysia. Kapal frigate merupakan aset permukaan terpenting bagi TLDM di mana ia akan diletakkan di barisan hadapan sekali jika berlakunya sesuatu konflik yang melibatkan keselamatan negara. Baru-baru ini di LIMA 2009, Kerajaan menyatakan ingin memperoleh sekurang-kurangnya 2 buah kapal frigate jenis yang sama bagi menjaga perairan Malaysia.

Jebat dan Lekiu

Kedua-dua kapal ini merupakan tunggak utama armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). KD Jebat ialah kapal induk (flagship) TLDM mula dibina di Glasgow, Scotland pada bulan November 1994 lima bulan selepas KD Lekiu. Pada mulanya kapal-kapal ini ingin ditaraf sebagai korvet sahaja, kemudiannya dinaiktaraf sebagai frigat dan kedua-duanya ditauliahkan pada bulan Ogos 1997. Ketika pembinaan, masalah timbul akibat kesukaran menyepadukan pelbagai sistem senjata dan deria untuk dimuatkan dalam kapal yang bersaiz agak kecil. Ini kerana biasanya kapal dalam saiz sebegini tidaklah dilengkapkan kelengkapan yang berat. Hanya pada tahun 2000 barulah kapal-kapal ini diserah kepada TLDM setelah segala kesulitan diatasi.

Flotila Serangan


ebat dan Lekiu ditugaskan dalam skuadron ke-23 (frigat) dalam unit flotila serangan TLDM.

Senjata utama terdiri dari peluru berpandu MBDA Exocet MM40 Block II anti kapal menjadikannya 'kayu pemukul' yang berbisa. Untuk memusnahkan sasaran Exocet dipandu oleh kepala pencari monopulse aktif dalam fasa tamatan. Lapan buah peluru berpandu ini diletak di bahagian tengah di antara dua tiang utama dalam kedudukan bersilang melintang. Pertahanan anti udara menggunakan sistem Sea Wolf yang telah terbukti keupayaannya ketika perang Falkland 1982. Sistem ini telah dipertingkatkan lagi dengan perisian termaju membolehkannya mengenalpasti dan membezakan sasaran-sasaran yang terbang terlalu rapat antara satu sama lain. Sea Wolf yang berkelajuan 2.5+ Mach mampu memintas sasaran sehingga 10km ke altitud 10000 kaki. Sebanyak 16 peluru berpandu ini dibawa dalam sistem lancaran tegak di kedudukan 'B' di belakang meriam Bofors 57mm.

Untuk tugas anti kapal selam Jebat dan Lekiu menggunakan kombinasi sonar Spherion, pengumpan Sea Siren dan sistem pelancar torpedo B515. Sebanyak dua pelancar torpedo dalam aturan ganda tiga, masing- masing di setiap sisi kapal, berupaya menembak torpedo Stingray 324mm.

Super Lynx
Hampir serentak dengan perolehan frigat-frigat ini, sejumlah 6 buah helikopter Agusta Westland Super Lynx 300 tiba menjadikan Jebat dan Lekiu padat dengan kecanggihan. Super Lynx merupakan peningkatan dari versi Lynx terdahulu yang mula diterbangkan pada Februari 1976, dibeli oleh kerajaan bagi menggantikan helikopter Wesland Wasp yang sudah berkhidmat begitu lama. Program British Experimental Rotor Programme (BERP) telah merekabentuk semula rotor pesawat untuk kawalan penerbangan yang lebih baik. Radar Sea Owl beserta pembayang bahang dan magnetic anomaly detector (MAD) juga dilengkapkan. Kebolehan Super Lynx yang memberikan anjakan kuasa kepada TLDM ialah keupayaannya melancarkan torpedo Whitehead dan peluru berpandu anti kapal Sea Skua. Peluru berpandu Sea Skua juga telah beraksi buat kali pertama ketika perang Falkland dan kini digunakan oleh angkatan laut United Kingdom, Brazil, Jerman, Korea Selatan dan Turki.

Kelas Lekiu Kumpulan II
Penganalisis pertahanan tempatan dan juga pihak TLDM dikatakan telah sepakat bahawa jumlah optimum kapal bagi sesebuah skuadron ialah enam buah. Ini membolehkan kapal-kapal diselenggara mengikut jadual tanpa mengenakan beban kerja yang lebih kepada kapal-kapal lain dalam skuadronnya. Justeru perancangan telah dibuat untuk memperolehi empat buah frigat lagi dalam kelas Lekiu yang dipertingkatkan dan dikenali sebagai Lekiu kumpulan II. Bagaimanapun kerajaan Malaysia dikatakan hanya bersedia membiayai dua buah kapal sahaja. Ura-ura Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, membayangkan kerjasama di antara BAE System dan Labuan Shipyard untuk membekalkan kapal- kapal tersebut, namun sehingga kini masih belum terlaksana. TLDM ketika ini hanya mempunyai satu lagi frigat iaitu KD Hang Tuah yang dijadikan sebagai kapal latihan.

Selaras dengan Dasar Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang menyatakan bahawa TLDM merupakan benteng pertahanan pertama negara. Oleh kerana Malaysia sebuah negara litoral (pesisir) maka wajarlah Kerajaan memperuntukkan belanjawan yang lebih besar kepada TLDM bagi memperoleh lebih banyak aset-aset yang baru serta canggih seperti korvet, Multipurpose Command and Support Ships dan tidak terkecuali frigate. Oleh kerana jumlah frigate agak sedikit, Kerajaan perlulah menambah lagi bilangan kapal jenis tersebut. Bukanlah untuk menggalakkan persaingan senjata tetapi lebih kepada memantapkan pertahanan negara.

Selain itu, Program Kapal Peronda Generasi Baru (NGPV) wajarlah diteruskan lagi kerana TLDM masih lagi mengalami kekurangan kapal disebabkan kebanyakkan kapal telah pun uzur (lebih 20 tahun) tidak sesuai untuk kegunaan doktrin pertahanan pada masa kini. Sebahagian kapal peronda TLDM juga telah diserahkan kepada APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) untuk membantu agensi tersebut untuk memgawal perairan negara dari diceroboh oleh musuh-musuh.

Akhir sekali tahniah kepada TLDM yang menyambut ulangtahun ke 75 penubuhannya disamping kehadiran Kapal Selam Pertama negara, iaitu KD Tunku Abdul Rahman. Dengan adanya kapal selam tersebut, diharapkan dapat mengukuhkan lagi pertahanan negara selari dengan congan kata TLDM, "Sedia Berkorban".

1 ulasan:

  1. Poker Room | Klahomacasinoe
    Poker Room: A 스포츠 사이트 room 하랑 도메인 for non-members. 바카라출목표 Players in Texas hold their own and compete at tournaments, tournaments, and mgm 바카라 작업 tournaments. Rooms in 토토 폴리스 California

    BalasPadam