Sabtu, 5 Disember 2009

Mekanisme Stabilkan Ekonomi Negara Islam





Salah satu dari alternatif ialah menyediakan platform sistem kewangan berteraskan dinar emas bagi mengantikan elemen konvensional ala-Barat yang bersifat kapitalis.
Saranan kajian semula penggunaan dinar emas dalam pasaran yang dicetuskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom adalah susulan kesedaran bahawa menerusi pengamalan sistem kewangan global masa kini yang berteraskan nilai berasaskan wang kertas serta paling penting ia berlandaskan riba yang pasti bercanggah dengan prinsip ajaran Islam adalah penghujahan asas betapa prihatinnya kerajaan Malaysia dalam ‘mendaulatkan’ sistem kewangan Islam secara optimum dan progresif.
Penggunaan nilai dinar emas dalam perdagangan antara negara-negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang dinyatakan perlu dikaji semula dan diteruskan seperti yang telah disarankan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak sedekat lalu ada kewajarannya.
Kesedaran bahawa menerusi penggunaan dinar emas sebagai alat menyimpan nilai dan perantara pertukaran yang mantap serta bebas dari ‘manipulasi nilai’ terutama dalam perdagangan antarabangsa adalah penyebab utama kepada gesaan supaya bukan sahaja Malaysia tetapi negara Islam lain untuk bersepakat menggunakan dinar emas sebagai perantara ‘nilai dagangan’.
Justeru, pandangan Datuk Jamil Khir Baharom adalah bertepatan dengan peranan yang telah sekian lama dimainkan Malaysia dalam mempromosi sistem kewangan Islam sebagai satu sistem alternatif kepada corak pengamalan kapitalisme yang diamalkan komuniti perdagangan sejagat.
Tidak dinafikan bahawa menerusi sistem konvensional masa kini, secara global ia telah membawa kepada banyak kerosakan seperti kemiskinan, kerosakan alam sekitar, monopoli pengeluaran dan pengedarannya serta masalah lain seperti pengangguran, jenayah, maksiat dan kejatuhan moral adalah tepat.
Bahkan juga kini mata wang turut dijadikan sebagai ‘komoditi’ yang boleh diperdagangkan. Inilah bahaya yang membawa berlakunya pelbagai krisis global termasuk krisis harga minyak, beras serta makanan ruji dan juga melibatkan krisis mata wang diperingkat global.
Justeru, menerusi komoditi emas dan dinar emas itu sendiri yang terkenal dengan sifatnya yang stabil terhadap aktiviti spekulasi dan manipulasi menambahkan ‘keselamatan nilai’ dalam sesuat urus niaga. Harus disendari bahawa dalam kegiatan pasaran antarabangsa masa kini, termasuklah penetapan harga sesuatu komoditi serta sistem kewangan global, aspek spekulasi dan manipulasi menjadi teras utama kepada penentuan ‘nilai’ dalam pasaran.
Secara jelas menurut Tun Dr Mahathir, tindakan membendung kegiatan spekulasi, termasuklah spekulasi dalam perdagangan mata wang ini menjadi penting dan strategic. Jika kegiatan tidak bermoral dalam sistem dan platform asas dalam perdagangan antarabangsa tidak selamat, maka negara akan terjebak terus ke kancah kemiskinan.
Komen Dr Mahathir adalah tepat dalam mengamati betapa keselamatan nilai dalam mata wang penting dapat dipaparkan menerusi bait ucapan beliau pada 1 September 1998 bahawa ‘apabila nilai ringgit diturunkan maka pendapatan kita akan berkurangan terutama apabila kita perlu membeli barangan dari luar negeri dan dengan keadaan ini maka kita menjadi miskin dan orang ramai menjadi miskin’.
Inilah hujah betapa perlunya keselamatan nilai dalam komponen perdagangan global dapat dicapai dan salah satu dari alternatifnya ialah menyediakan platform sejagat agar sistem kewangan berteraskan dinar emas dapat dijanakan menggantikan elemen konvensional ala-Barat yang kapitalis sifatnya.
Selain itu juga, mengimbau saranan Tun Dr Mahathir yang jelas membayangkan akan bahaya ketidak kukuhan nilai modal menerusi pengamalan sistem kapitalis sedia ada, di mana pastinya ia telah menunjukkan bahawa sistem tersebut telah mampu membawa kemusnahan dalam sistem perekonomian dan pembangunan sesebuah negara.
Selain itu, menerusi pengamalan sistem kapitalis antarabangsa kini, rekod prestasi sistem tersebut telah menunjukkan keburukannya yang nyata, terutama membabitkan krisis ekonomi yang melanda rantau Asia Pasifik seperti yang berlaku di Korea Selatan, Thailand, Indonesia, Filipina dan juga Malaysia pada 1997 yang pada masa telah mendorong kepada kejatuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sesebuah negara. Ini secara jelas pada 1997 sahaja, KDNK rantau Asia Timur telah jatuh menjunam dari kadar tujuh peratus kepada hanya 1.5 peratus. Seolah bahawa menerusi sistem yang wujud, kemakmuran dapat dicapai beserta pula risiko untuk miskin mendadak. Yang pasti tidak wujud kestabilan dalam praktikal ekonomi antarabangsa dan sistemnya telah mewujudkan monopoli sistem oleh mana-mana negara dan kumpulan yang berkemampuan berbuat demikian.
Buktinya, dalam konteks pasaran di Malaysia, semasa krisis mata wang yang disusuli krisis ekonomi, maka ia telah menyusutkan ketara yang bukan sahaja diakibatkan oleh nilai tukaran Ringgit Malaysia (RM) yang susut sebanyak 80 peratus, serta ditambah buruk oleh indeks dipasaran saham negara yang juga menyusut dengan secara kritikal dari 1200 mata kepada hanya 260 mata berpunca dari bukan sahaja nilai mata wang negara yang rendah, namun disebabkan oleh berlakunya pengaliran keluar modal dari pasaran domestic secara ketara dengan nilai anggaran US$300 bilion.
Disebabkan kegawatan ekonomi yang melanda pada 1997, berpunca dari berlakunya ketidaktentuan di pasaran mata wang antarabangsa sehingga nilai RM berubah-ubah dan menjadi rendah, maka Malaysia dianggarkan telah kehilangan lebih US$40 bilion dari segi kuasa beli sekaligus pasaran domestic negara terjebak dengan kemunduran nilai wang yang mendadak. Ia juga menjadi penyebab kepada terbantutnya usaha negara untuk mencapai status negara maju dengan lebih pantas.
Di Malaysia juga akibat krisis ekonomi yang melanda disebabkan oleh kegiatan spekulasi mata wang pada asasnya, telah menyebabkan bilangan isi rumah miskin tegar meningkat dari 294, 000 pada 1997 kepada 342, 500 pada 1998, di mana pada masa sama kadar inflasi yang hanya pada angka 2.7 peratus pada 1997 kepada 5.3 peratus pada 1998. Maka rakyat terpaksa berbelanja lebih untuk kos sara hidup berbanding tahun-tahun sebelum krisis ekonomi berlaku. Bahkan produk import juga pastinya telah meningkat naik harganya akibat dari susutan nilai mata wang Malaysia akibat spekulasi di pasaran mata wang antarabangsa.
Untuk itu, saranan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom yang mencadangkan supaya dinar emas atau emas itu sendiri dijadikan instrument atau alat menyimpan nilai dan perantara pertukaran terutama dalam perdagangan antarabangsa adalah tepat disebabkan oleh sifat bahan tersebut yang dikenali stabil terhadap aktiviti spekulasi dan manipulasi.
Menerusi inovasi dalam sistem pertukaran nilai ‘mata wang’ sedia ada diyakini akan membolehkan berlakunya kestabilan ekonomi bukan sahaja di negara-negara Islam bahkan ia akan memberikan imbalan alternatif kepada sistem kapitalis sedia ada sebagai wadah dunia membangun untuk menghindari punca asas kepada sesuatu krisis ekonomi yang sedia melanda dunia tanpa sebab yang jelas.
Yang pastinya kesetiaan kepada negara adalah menjaga kedaulatan yang dimiliki dan ekonomi adalah salah satu kerangka kedaulatan. Mendaulatkan kedudukan ekonomi negara serta memperbaiki sistem yang wujud adalah satu nilai patriotic yang penting bagi menjamin keutuhan dan kedaulatan sesebuah negara daripada terjebak ke kancah penjajahan baru yang bukan bentuk fizikal tetapi cenderung kepada berbentuk ekonomi, politik dan sosial. Tanpa nilai ekonomi dan pembangunan yang mampan, pastinya negara akan terjebak dengan bentuk penjajahan baru dibawa arus material era globalisasi semasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan