Khamis, 24 Disember 2009

TUDM dapatkan bantuan China selenggara Sukhoi



Malaysia memperkukuhkan hubungan ketenteraan udaranya dengan China dan memohon bantuan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) negara itu untuk penyelenggaraan dan sokongan logistik jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis Sukhoi.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud berkata, Malaysia juga bercadang untuk membeli sesetengah barangan kelengkapan tentera China.

"China telah berkembang menjadi kuasa besar di rantau ini dan mempunyai teknologi lebih maju, dan hubungan kita dengan China kini semakin bertambah baik," katanya kepada Bernama di sini.

Rodzali adalah antara panglima tentera udara dari 34 negara yang berada di sini untuk menghadiri forum antarabangsa selama dua hari mulai hari ini sempena sambutan Ulang Tahun ke-60 Tentera Udara PLA (PLAF).

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan dari China, Jen Xu Qiliang, di ibu pejabat PLAF, malam tadi.

"Mereka boleh membantu kita dalam banyak bidang seperti untuk bahagian dan penyelenggaraan untuk jet pejuang SU-30. Sebenarnya, Malaysia juga sedang mencari sesetengah produk tentera China," kata Rodzal.

TUDM mempunyai 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 buatan Rusia manakala China juga memiliki banyak pesawat pejuang buatan Rusia termasuk Sukhoi SU-30.

Rodzali berkata, TUDM akan mengukuhkan kerjasama dengan PLAF.

Pada masa lalu ia telah menyertai program pertukaran pegawai dan perkongsian maklumat keselamatan serantau.

Terdapat enam anggota tentera Malaysia kini mengikuti pengajian di Universiti Pertahanan China dan Maktab Turus China dan negara itu bersetuju menghantar pelajarnya menuntut di Kolej Pertahanan Malaysia tahun depan.

Ia merupakan kumpulan pertama pelajar China.

Delegasi TUDM akan menghadiri pertunjukan udara PLAF dan menyaksikan pameran peralatan tentera udara di Shahe di sini esok selain melawat Muzium PLAF pada keesokannya.

Kumpulan itu juga akan melawat pangkalan udara Jining di Shandong pada Isnin untuk menyaksikan pameran jet pejuang buatan China sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan