Khamis, 24 Disember 2009

NGPV 176 SELANGOR



Pada 23 Julai lalu bertempat di limbungan Boustead Naval Shipyard, Lumut, Perak, kapal terakhir dalam program NGPV telah dinama dan dilancarkan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj.

Kapal PV6 yang bakal mempunyai nombor penant 176 (SELANGOR) ini menandakan juga selesainya program pembinaan kapal NGPV yang terakhir, satu program yang membawa seribu satu pengalaman dan pembelajaran kepada bukan sahaja pihak Boustead Naval Shipyard, malah pihak Tentera Laut Diraja Malaysia, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan dan juga di kalangan pihak umum.


Latarbelakang


Kontrak untuk membina enam buah kapal NGPV telah ditandatangani pada 13 Oktober 1998 dengan konsortium German naval Group telah memenangi tender bagi membina kapal-kapal tersebut dengan kerjasama firma tempatan PSC-Naval Dockyard. Kapal-kapal NGPV yang juga dikenali sebagai program kapal ronda generasi baru TLDM adalah merupakan kapal yang mempunyai rekabentuk yang berasaskan kepada rekabentuk kapal Blohm+Voss MEKO 100. Mengikut perjanjian, dua dari kapal pertama akan dibina di limbungan Blohm + Voss yang terletak di Hamburg, Jerman. Empat kapal berikutnya pula akan dibina di limbungan PSC-Naval Dockyard di Lumut. Ke enam-enam kapal ini sebenarnya adalah merupakan fasa pertama dari sejumlah 27 buah kapal ronda yang diperlukan oleh TLDM untuk terus beroperasi secara efektif bagi mengawal keselamatan dan kedaulatan kawasan perairan negara. Ini kritikal kerana kapal-kapal PV atau ‘Petrol Vessel’ milik TLDM ketika itu telahpun mencapai umur lebih 40 tahun dan walaupun masih mampu memberikan khidmat dalam rondaan pesisir pantai, namun mungkin dalam bentuk rondaan jarak dekat dan bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang sahaja dan bukan bagi operasi bercorak ketenteraan. Ini adalah kerana saiz, rekabentuk dan sistem penderia serta persenjataannya sudah tidak lagi relevan kepada ancaman hari ini dan mendatang.

Pada permulaannya program tersebut dianggap oleh banyak pihak sebagai antara program yang bakal mempertingkatkan kemampuan teknologi maritim ketenteraan negara, khususnya kepada forma PSC-Naval Dockyard yang merupakan kontrak utama untuk kesemua kapal-kapal NGPV tersebut. Keseluruhan kontrak dianggarkan bernilai RM5.6 billion dengan wang pendahuluan sehingga 20% didahulukan oleh pihak Kerajaan, iaitu dalam jumlah RM1.07 billion. Kontrak juga berkehendak bahawa jaminan alat ganti dan komponen perlu wujud selama dua tahun pertama dari pihak Jerman. Selepas tempoh tersebut, komponen dan alat-ganti ini bakal dikeluarkan oleh PSC-Naval Dockyard sendiri di Lumut. Kontrak juga berkehendakkan bahawa komponen tempatan bagi membina kapal tersebut mestilah tidak kurang dari 30%. Dengan jumlah kontrak yang berbillion ringgit, PSC-Naval Dockyard yang berada dibawah penguasaan Amin Shah yang pernah satu ketika dahulu mendapat nama jolokan ‘Onasis Malaysia’ dilihat bakal meletakkan nama Malaysia sebagai salah sebuah negara pengeluar kapal-kapal perang yang berteknologi moden. Seterusnya memenuhi aspirasi negara untuk tidak terlalu bergantung kepada pihak luar dalam melengkapkan diri bagi pertahanan dan kedaulatan kawasan maritimnya.

Harapan ini walau bagaimanapun hampir berkecai apabila PSC-Naval Dockyard gagal memenuhi kontrak untuk membekalkan kapal-kapal NGPV sepertimana yang tertera pada perjanjian. Dua kapal pertama yang dibina di Jerman dan dihantar ke negara ini menggunakan kapal pengangkut khas telah dinama dan dilancarkan pada 2003 dan 2004, namun selepas dari pelancaran kedua kapal tersebut, proses penyerahannya kepada TLDM mula berhadapan dengan masalah. Ini termasuklah kegagalannya untuk memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan dari sudut teknikal dan operasi. Mengikut kontrak, kesemua kapal tersebut perlu dihantar sebelum bulan April 2007 dan penghantaran pertama perlu dilakukan pada bulan Mac 2004. Penalti akan dikenakan sebanyak 0.5% dari nilai kontrak bagi setiap bulan jika berlaku kelewatan penghantaran. Bagaimana pun, atas dasar membantu kontraktor tempatan , nilai maksimum penalti kerana gagal memenuhi tempoh syarat penghantaran itu dihadkan hanya kepasa RM53.5 juta. Hanya pada bulan Jun 2006, barulah penghantaran pertama dibuat dan bulan berikutnya untuk penghantaran kedua kapal tersebut kepada pihak TLDM. Namum begitu, terdapat 100 laporan kerja tidak lengkap pada kapal yang pertama dan 383 pada kapal yang kedua pada masa ianya diterima. Juga terdapat 298 aduan khusus mengenai operasi bagi kedua-dua kapal tersebut. Ini menjadikan kedua kapal tidak menepati syarat spesifikasi teknikal yang ditetapkan TLDM dan ianya tidak dapat beroperasi pada tahap maksima dan lebih membimbangkan ia mampu membahayakan keselamatan dan nyawa krew yang mengoperasikan kapal-kapal tersebut.

Pembinaan kapal-kapal berikutnya juga menghadapi pelbagai masalah. Pada pertengahan tahun 2007, satu laporan yang amat kritikal mengenai program tersebut telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam atau PAC. Jawatankuasa tersebut dibawah Datuk Shahrir Abdul Samad telah membuat kesimpulan bahawa program tersebut perlu dibatalkan segera kerana kelewatan dan kegagalan membekalkan kapal ronda generasi baru kepada TLDM bakal mempunyai kesan negatif kepada kemampuan TLDM untuk menjamin keselamatan kawasan maritim negara. Beliau dengan tegas menjelaskan bahawa kegagalan PSC-Naval Dockyard adalah ‘disebabkan sikap tamak pengurusan tertinggi syarikat tersebut’. Lebih mengecewakan pihak umum ialah didalam laporan menyebut, pada hujung tahun 2006, Kerajaan telah membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM4.26 Billion kepada kontraktor walaupun kerja yang baru disiapkan cuma bernilai RM2.87 Billion. PAC ‘merumuskan bahawa projek penswastaan limbungan dan kapal NGPV untuk TLDM oleh syarikat PSC-Naval Dockyard gagal.’ Kegagalan ini seakan mempunyai kesan yang teruk kepada Amin Shah dengan satu persatu firma yang dikaitkan dengan beliau mula mengalami perubahan yang menyaksikan kepentingannya diketepikan. Ini termasuklah dalam firma-firma seperti PSCI, Actacorp Holdings Bhd, Helmed Setron (Halifac Capital Bhd) serta Bolton. PSC- Naval Dockyard telah diberikan pengurusan dan nama baru, iaitu Boustead Naval Shipyard.

Lembaran baru

Semenjak PAC mengumumkan terdapat begitu banyak perlakuan dan tindakan pengurusan yang diragukan sehingga menyababkan program NGPV hampir terbengkalai sepenuhnya, keyakinan pihak umum terhadap firma tersebut, pihak Kerajaan dan TLDM sendiri dari segi ketelusan pengurusan telah terjejas dengan agak teruk. Tugas pengurusan baru yang mengambil-aleh limbungan serta diamanahkan untuk menyiapkan kapal-kapal NGPV, iaitu Boustead Naval Shipyard yang berada di bawah Pengarah Urusannya yang baru iaitu Laksamana Madya Tan Sri Dato’ Sri Ahmad Ramli Hj Mohd Noor (Bersara) dilihat bakal terpaksa melawan arus yang deras. Kepercayaan dan keyakinan umum kepada limbungan tersebut berada pada tahap paling rendah, manakala ketidak-tentuan mengenai pembatalan program yang boleh menyebabkan pemberhentian kerja dan tenaga profesional industri perkapalan ketenteraan merungsingkan masyarakat di Lumut, Manjung serta Setiawan di Perak yang bergantung kepada industri tersebut untuk menyara-hidup.Ura-ura pembatalan program pula akan menyaksikan pihak Kerajaan terpaksa menanggung rugi yang bukan sedikit, apa lagi sekiranya dikenakan tindakan oleh mahkamah akibat kegagalan melaksanakan perjanjian dan terpaksa membayar ganti-rugi kepada firma Bhlom + Voss. Episod ini juga telah mencemarkan prestasi industri maritim negara apabila dianggap tidak profesional mahupun telus dalam pengurusannya. Akhirnya Kerajaan mengambil keputusan untuk menyelamatkan program tersebut demi maruah, faktor ekonomi serta keperluan mendesak TLDM untuk memiliki lebih banyak kapal ronda bagi mengawasi kawasan maritimnya.

Langkah awal yang diambil oleh Boustead Naval Shipyard ialah mengemas-kinikan pengurusan serta melaksanakan beberapa langkah yang dikenal pasti dapat menjulang semula nama limbungan kapal di Lumut sebagai limbungan terkemuka jika tidak pada peringkat global, setidaknya di rantau ini. Antaranya adalah perlaksanaan Sistem Peningkatan Berterusan (CIS – Continous Improvement System) dan juga ‘Quality Environments’ atau Persekitaran Berkualiti. Nama dan warna limbungan utama PSC-Naval Dockyard yang boleh dikatakan turut ‘terpalit’ dengan masalah pengurusan telah digantikan dengan nama yang baru. Walaupun nampak kosmetik, namun ia sebenarnya memainkan peranan besar kepada persepsi moral tenaga kerja dan umum terhadap firma dan pengurusan barunya.

Menurut Tan Sri Ahmad Ramli, Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard, usaha bagi menyempurnakan kontrak pertama firma ini adalah sulit terutamanya dalam usaha untuk memulihkan syarikat. Tanggungjawab kepada Boustead sebenarnya adalah amat berat kerana ia diberi tugas untuk membina empat kapal NGPV dengan proses pembinaan hampir keseluruhannya dilaksanakan oleh tenaga kerja dan kepakaran tempatan. Pada peringkat awal terdapat kritikan dan mungkin juga cemuhan serta kurang kepercayaan untuk dapat memenuhi kontrak membina dan menyerahkan empat lagi baki kapal kepada TLDM dari sesetengah pihak. Namun Boustead meneruskan usahanya dan meniti jalan yang sepatutnya diambil oleh pihak PSC-Naval Dockyard terdahulu dengan meletakkan kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara serta tanggungjawab sosial disamping meneruskan usaha untuk membina kepakaran dalam bidang pembinaan kapal perang yang berteknologi tinggi. Bagi membuktikan perkara ini Boustead telah memberi peluang kepada lebih daripada seribu syarikat tempatan untuk terlibat secara langsung di bawah projek pembinaan NGPV dengan lebih dari 60% dari firma dan syarikat yang terlibat adalah merupakan milik Bumiputera. Hampir RM700 juta nilai kontrak telahpun diagihkan kepada syarikat-syarikat tersebut bagi pembinaan kapal ketiga hingga yang keenam.

Dari menjadi bahan sindiran sinis setelah mengalami kelewatan sehingga dua tahun, program NGPV dibawah pengurusan Boustead Naval Shipyard telah mengorak langkah dengan pantas. Pembinaan kapal-kapal yang sebelum ini mengalami masalah diteruskan walaupun tidak semua kepakaran oleh pembekal-pembekal asal atau utama (OEM – Original Equipment Manufacturer) diberikan seratus peratus. Dalam keadaan ini modal insan firma Boustead terpaksa mempercepatkan lengkuk pembelajaran mereka dan menimba sebanyak yang mungkin berkaitan teknologi platform ketenteraan maritim. Sebagai firma yang dianggap menjadi ‘payung’ kepada industri maritim negara, Boustead melalui program NGPVnya telah turut telah memberikan firma-firma pembekal peralatan lain pengalaman dan kepakaran yang sukar diperolehi untuk menguasai teknologi berkaitan pembuatan kapal perang yang moden. Hasilnya keempat-empat kapal iaitu PERAK, TERENGGANU, KELANTAN dan SELANGOR telah berjaya disiapkan pembinaannya kira-kira dalam tempoh masa kira-kira dua tahun iaitu dari November 2007 hingga Julai 2009.

Kapal-kapal NGPV ini dijangka akan menyertai armada TLDM menjelang pertengahan tahun 2010 setelah selesai menjalani pemasangan terakhir yang melibatkan kesemua sistem penderia elektronik yang pelbagai, ujian pelayaran dan juga ujian sistem persenjataan.

SELANGOR

Sejarah penamaan nama SELANGOR pada kapal tentera bermula apabila pihak British telah menyerahkan tujuh buah platform yang diklasifikasikan sebagai Seaward Defence Motor Launch atau SDML kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan salah sebuah kapal tersebut telah dinamakan sebagai HMMS (Her Majesty’s Malayan Ship) SRI SELANGOR dengan nombor penantnya P3509. Pada 1958, sempena menyambut ulang tahun pertama kemerdekaan Tanah Melayu, kapal ini telah diberikan nama Kapal Diraja atau KD SELANGOR dan menempa sejarah sebagai antara kapal yang telah mengambil bahagian dalam ‘The Royal Fleet Review’ yang pertama di Port Dickson yang disaksikan sendiri oleh DYMM Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad, yang merupakan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Pertama negara.

Kapal atau bot ronda HDML sebenarnya mempunyai tugasan untuk meronda kawasan tepi pesisir pantai serta muara sungai. Walaupun demikian oleh kerana sifatnya yang mampu belayar walaupun di laut lepas, ia digunakan secara meluas ketika Perangn Dunia Kedua. Kebanyakan platform SDML mempunyai sebuah meriam ‘2 Pounder’ di geladak hadapan dan di geladak belakang pula terdapat meriam ringan Oerlikon 20mm, manakala di kiri dan kanan anjungan pula dua laras mesingan Vickers .303. Walaupun demikian kebanyakan kapal tidak dipasangkan dengan meriam ‘2 Pounder’ kerana keadaan kapal yang kecil serang membuatkan ia dibuai alun gelombang dan ini menyukarkan krew untuk membuat penembakan yang tepat. Kebanyakan SDML telah menggantikan meriam tersebut dengan meriam Oerlikon 20mm sama seperti terdapat di geladak belakang. Selain Malaysia, kapal-kapal ini turut dihadiahkan atau dijual kepada negara-negara tertentu oleh pihak British, antaranya adalah Burma, Sri Lanka dan juga Filipina.

Pada 1961 nama KD SELANGOR telah ditauliahkan sekali lagi kepada kapal TLDM yang dibina oleh firma Vosper Thornycraft Limited di Portsmouth, England dengan nombor penant P3139. kapal-kapal ronda ini, berjumlah enam buah kesemuanya telah menjadi tulang belakang kepada Armada TLDM ketika Era Konfrontasi. Insiden yang mengharumkan nama KD SELANGOR ketika era konflik dengan Indonesia tersebut berlaku pada 24 Julai 1964, apabila kapal tersebut telah berjaya menenggelamkan sebuah bot kor komando penggempur Indonesia di Selat Singapura yang cuba menyelinap masuk melalui jalan laut. Dalam pertempuran tersebut, seorang anggota TLDM telah terbunuh, dan dua lagi cedera, manakala kesemua anggota komando Indonesia berjaya dibunuh dan bot mereka tenggelam akibat tembakan dari KD SELANGOR. Pada 30 September 1995, kapal KD SELANGOR telah dilucutkan tauliahnya setelah 32 tahun menabur jasa diperairan negara. Hari ini untuk meneruskan tradisi tentera laut, pihak TLDM akan sekali lagi mengabadikan nama ‘SELANGOR’ kepada kapal NGPV ke enam yang telah berjaya dibina oleh Boustead Naval Shipyard.

NGPV Fasa Kedua

Setelah kesemua enam kapal kini telah dilancarkan dan sedang giat dikemas-kinikan sebelum diserahkan kepada TLDM, timbul seribu satu persoalan mengenai nasib program NGPV Fasa Kedua atau ‘Second Batch’. Apa yang agak unik mengenai perkara ini ialah pembinaan kapal NGPV memakan masa yang panjang, iaitu dari penghujung 1998 hingga 2009, tempoh masa yang menyaksikan Malaysia mengalami perubahan tiga orang Perdana Menteri. Pada bulan November 2008, manta Perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyatakan hasrat Kerajaan untuk meneruskan progran NGPV Fasa kedua sebaik ke enam-enam kapal NGPV fasa pertama di tauliahkan dalam perkhidmatan TLDM menjelang awal tahun 2010. Beliau mengumumkan demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Wira Abu Seman Yusop ketika upacara pelancaran kapal NGPV kelima, KELANTAN di limbungan Boustead Naval Shipyard. Beliau juga menyatakan betapa pihak kerajaan melihat dengan positif perkembangan dan pendekatan yang dilaksanakan oleh pihak Boustead dalam mempersiapkan kapal-kapal NGPV setelah mengambil-aleh dari PSC-Naval Dockyard.

Pada temubual yang dilaksanakan selepas acara pelancaran kapal SELANGOR, Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz telah meluahkan harapan beliau agar program tersebut dapat diteruskan sepertimana yang disarankan oleh Tun Abdullah walaupun pucuk kepimpinan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan kini telah bertukar ganti. Menurut beliau TLDM telah ‘kehilangan’ 17 buah platform ronda apabila kesemuanya diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia beberapa tahun lalu untuk memperkasakan kemampuan rondaan agensi tersebut. Kapal-kapal ronda tersebut adalah merupakan kapal Ronda Kelas Sabah dan Kris yang dianggap tidak lagi begitu sesuai untuk diguna pakai bagi tujuan rondaan kawasan maritim termasuk juga kawasan Zon Ekonomi Eksklusif yang hari ini adalah termasuk kawasan perairan meliputi lebih 200 batu nautika, walhal ketika kapal-kapal kelas Sabah dan Kris diperkenalkan dahulu, ianya hanya bertujuan meronda kawasan pesisir pantai sahaja. Dengan pentauliahan kesemua kapal-kapal NGPV menjelang 2010, ia sedikit sebanyak dapat menampung keperluan yang mendesak, namun jumlah tersebut adalah jauh kurangnya dari jumlah yang diperlukan kerana hnaya enam dari sejumlah 17 kapal yang ‘hilang’ akan dapat digantikan dalam tempoh terdekat.

Laksamana Tan Sri Abdul Aziz juga menyatakan bahawa sekiranya kebenaran diluluskan oleh kerajaan untuk membina NGPV Fasa Kedua, beliau mengharapkan agar jumlah kapal yang bakal dibina pada program tersebut haruslah sekurang-kurangnya enam buah kapal. Ini menurut beliau lagi ialah kerana membina kurang dari jumlah tersebut tidak akan memberikan pulangan yang baik dari segi komersial kepada pihak Boustead Naval Shipyard, selian dari tidak praktikal dari sudut logistik kepada TLDM. Tentunya ini datang dari pengalaman TLDM, yang sejak merdeka telah memperolehi platform-platform utama dalam jumlah yang kecil, manakala bot atau platform ronda dalam jumlah yang agak banyak. Faktor kos adalah antara penyumbang kenapa TLDM berbuat demikian pada ketika itu, namun demikian hari ini perbezaan antara, misalnya korvet, frigat dan kapal ronda telah mula agak kabur, terutamanya dari segi saiz. Begitu juga dengan sistem penderia dan persenjataan yang dimiliki oleh kapal-kapal yang mempunyai klasifikasi berbeza ini. Teknologi juga telah memungkinkan pembinaan dan integrasi sistem yang lebih berkemampuan, walaupun saiz platform adalah lebih kecil atau kompak. Penggunaan sistem penderia, persenjataan dan kelengkapan yang modular turut membolehkan proses senggaraan dan baik pulih dilakukan dalam tempoh jangkamasa pendek dan mengurangkan masa kapal berada di dalam limbungan bagi tujuan pembaikan. Dengan mempunyai sejumlah kapal ronda dari kelas yang sama, ia akan menjimatkan penggunaan tenaga pakar, memudahkan proses pencarian dan penghasilan alat ganti, selain kemampuan untuk memudah dan menyeragamkan keseluruhan proses pembinaan dan integrasi yang mahu dibuat. Bagi pihak TLDM pula, mempunyai platform ronda dari kelas yang sama bermakna kurangnya rangkaian logistik, mudahnya mengadakan latihan selain melaksana perintah tetap bagi operasi kapal yang seragam untuk kesemua anak kapal. Ini sememangnya terbukti kerana walaupun dari platform berbeza, namun dari segi kelas kapal, ia adalah yang sama.

Keputusan sama ada meneruskan program NGPV atau sebaliknya kini berada semula di tangan pihak kerajaan. Apakah sekali lagi pihak Boustead Naval Shipbuilding akan ‘dipadankan’ dengan sistem reka bentuk MEKO sepertimana sebelumnya atau bakal terus menghasilkan platform yang sama dengan kapal-kapal Kelas KEDAH adalah sesuatu yang harus diputuskan tidak lama lagi.

Penulis tidak menolak, berkemungkinan besar keputusan ini bakal diumumkan pada ketika pameran LIMA 2009, memandangkan pentauliahan kesemua enam buah kapal NGPV baharu dijangka pada awal 2010. Perkara ini mungkin telahpun dihidu oleh firma-firma asing yang merasakan bahawa keadaan industri maritim berkaitan ketenteraan negara kini sudah pulih dan keyakinan terhadap Boustead untuk mengendalikan program NGPV seterusnya tidak lagi perlu dipertikaikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan