Selasa, 29 Disember 2009

OPV KELAS FLOREAL - Kapal Ronda Samudera Tentera Laut Perancis


Setiap kapal perang permukaan dari sebesar-sebesar kapal penjajap (cruiser) dan pembinasa kepada sekecil-kecil kapal ronda laju melaksanakan peranannya dengan meronda di kawasan perairan dalam satu tempoh masa yang ditetapkan agar dapat bertindak sekiranya tercetus peperangan di laut. Namun begitu kemungkinan pertempuran antara kapal dengan kapal semenjak selepas Perang Dunia Kedua khasnya dan lebih-lebih lagi dengan berakhirnya zaman Perang Dingin menyaksikan lebih banyak kapal tentera laut moden ini melaksanakan peranan lain seperti operasi ketenteraan selain peperangan (MOOTW), menentang keganasan dan juga bantuan kemanusiaan. Malah di banyak negara di mana kemungkinan berlakunya konflik bersenjata di perairan adalah kecil atau tiada langsung, peranan ini sering disebut sebagai “tugasan yang lebih mirip kepada pengawal pantai”.
Ungkapan tadi tentunya kurang tepat bagi negara-negara yang turut memiliki pasukan pengawal pantai kerana peranan pengawal pantai adalah lebih kepada penguatkuasaan di laut. Kehadiran kapal-kapal tentera laut di perairan negara masing-masing dalam suasana bukan peperangan sebenarnya lebih sesuai dikategorikan sebagai kawalan waktu aman. Kapal ronda luar pantai atau offshore patrol vessel (OPV) merupakan jenis kapal yang paling sesuai dan praktikal berbanding kapal-kapal tempur konvensional seperti pembinasa dan friget kerana kos pengoperasiannya yang tinggi untuk tugas dalam konflik intensiti rendah dan bantuan kemanusiaan memandangkan ia menggunakan banyak peralatan berat dan memerlukan anak kapal yang ramai. Jika Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerimapakai konsep kapal khusus untuk rondaan luar pesisir waktu aman seumpama ini bermula dengan OPV Kelas Marikh (kini telah diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia - APMM) sekitar 1980an yang kini diteruskan dengan kapal-kapal peronda generasi baru (NGPV) Kelas Kedah, tentera laut Perancis (Marine Nationale) turut melakukan perkara yang sama menerusi khidmat kapal kelas Floréal.

Kesinambungan A69 Aviso
Percaya atau tidak, konsep OPV boleh dianggap masih muda dalam doktrin operasi tentera laut negara maju seperti Marine Nationale. Kelas kapal yang memulakan konsep ini, walaupun bukan secara sepenuhnya adalah friget ringan yang pada mulanya dibina khas untuk peranan pertahanan anti kapal selam pinggir pantai (coastal) iaitu kelas D’Estienne d’Orves yang juga turut dikenali sebagai A69 Aviso (untuk pengetahuan pembaca, aviso secara amnya adalah kapal yang saiznya tergolong ke dalam kategori kapal korvet). Friget yang ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Marine Nationale dari tahun 1976 hingga 1984 ini bagaimanapun turut berkemampuan menjalankan tugas iringan laut lepas khasnya bagi menyokong pasukan kelautan strategik atau FOST, unit kapal selam peluru berpandu balistik berkuasa nuklear (SSBN) Marine Nationale. Dibina dengan rekabentuk yang ringkas dan teguh, kapal kelas ini dilengkapi dengan sistem pendorongan yang boleh diharap dan ekonomik, yang membolehkan kapal-kapal tersebut digunakan untuk misi kehadiran di seberang laut.

Kapal dengan berat pemindahan 950 tan ini dikendalikan oleh tujuh pegawai dan 83 kelasi dan mampu beroperasi sejauh 7200 kilometer pada kelajuan 15 knot. Ia dilengkapi peluru berpandu anti-kapal MM 40 Exocet, satu meriam 100mm dua kegunaan (DP), dua meriam anti-pesawat 20mm, 4 tiub torpedo dan satu unit mortar anti-kapal selam 6 tiub 375mm Creusot Loire Mk54 yang boleh dipusing dan dihalakan ke pelbagai arah. Kesemuanya tidak mempunyai kemudahan geladak untuk pendaratan helikopte

Tiada ulasan:

Catat Ulasan