Jumaat, 25 Disember 2009

Henry muka baru Manchester City?


LONDON - Kapten Perancis, Thierry Henry mungkin kembali beraksi dalam kempen Liga Perdana England.

Bagaimanapun, Henry tidak akan kembali menyarung jersi Arsenal, sebaliknya penyerang Barcelona itu dilapor bakal menyertai Manchester City.

Media Sepanyol melaporkan bahawa Barcelona bersedia mendengar sebarang tawaran ke atas pemain berusia 32 tahun itu pada musim perpindahan Januari depan.

Pengurus baru City, Roberto Mancini dikatakan mahu seorang penyerang berpengalaman mengetuai jentera serangannya dalam misi menduduki empat kedudukan teratas liga.

Henry mempunyai kontrak bersama Barca sehingga 2011, namun dia juga dikatakan menjadi buruan kelab Amerika Syarikat, New York Red Bulls.

Barca sedar mereka akan mendapat wang penjualan yang tinggi ke atas penyerang Perancis itu sekiranya dijual pada Januari depan.

Henry jarang mendapat tempat dalam skuad utama Barca musim ini berikutan kemerosotan prestasi dan kecederaan yang dialaminya.

Kehadiran Zlatan Ibrahimovic juga dikatakan yang menipiskan lagi peluang Henry berada dalam kesebelasan utama Barca musim ini.

Sebelum ini, Henry telah dikritik hebat selepas sengaja menampan bola dengan tangan ketika membantu Perancis menewaskan Republik Ireland pada kempen kelayakan Piala Dunia 2010.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan