Khamis, 24 Disember 2009

Kedai Runcit Dihimpit Pasar Raya

Perniagaan runcit milik peniaga Melayu di pinggir Bandar besar semakin tenat dan bakal lenyap jika tiada usaha menyelamatkannya. Perniagaan runcit yang diusahakan peniaga Melayu terpaksa bersaing dengan pasar raya besar seperti Tesco, Giant, Carrefour dan lain-lain lagi yang menawarkan harga lebih rendah dan mempunyai pelbagai jenis barangan di bawah satu bumbung.
Sudah pasti orang ramai memilih membeli di pasar raya besar berbanding kedai runcit orang Melayu yang ada kalanya kekurangan stok barangan dan harganya lebih mahal.
Apa yang menyedihkan kebanyakan pasar raya besar dimonopoli oleh pelabur asing yang mempunyai premis besar dan boleh meraih pendapatan lebih RM 1 juta sehari! Apa yang terjadi kepada peniaga runcit Melayu? Mereka seakan-akan ‘dianaktirikan’ di bumi sendiri. Nak dapatkan keuntungan bersih RM 100 sehari pun terkial-kial!
Sepatutnya mereka harus dibela dan diberi bantuan untuk mengembangkan perniagaan. Kerajaan harus mengambil tindakan sewajarnya dengan membantu usahawan Melayu yang menghadapi masalah untuk menjana pendapatan dan mengembangkan perniagaan. Kerajaan seharusnya menyediakan peruntukan secukupnya termasuk membiayai kemudahan pembiayaan perniagaan, pihak bank dan agensi pembiayaan yang lain harus aktif dalam memberikan pinjaman perniagaan.
Keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini memerlukan usahawan Melayu bekerja dan berusaha gigih untuk memastikan objektif untuk menjadikan mereka lebih berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan serta lebih kompetitif. Inilah masa terbaik untuk semua usahawan Melayu bermuhasabah diri, mengenal pasti kelemahan dan kekuatan diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan