Jumaat, 27 November 2009

EVO-X Helang Lebuhraya Polis



Apabila PDRM mengumumkan bahawa sebahagian kecil dari pasukan perondanya bakal dilengkapkan dengan kenderaan Mitsubishi Lancer Evolution X (10), ia menimbulkan minat yang mendalam oleh pihak awam untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan kereta tersebut.
Sekali pandang sememangnya kenderaan ini mempunyai reka bentuk yang dilihat lebih sesuai untuk sebuah kenderaan lumba berbanding sebuah kereta peronda polis. Sememangnya klasifikasi penugasan kenderaan ini, walaupun secara amnya diguna pakai untuk memberikan satu petunjuk kepada samseng atau pelumba jalan/lebuhraya mengenai kemampuan kereta peronda PDRM untuk ‘mengejar’ dan menahan mereka yang suka memandu laju, sebenarnya belum pernah diperjelaskan secara keseluruhannya. Malah menurut beberapa pegawai PDRM yang ditemui namun tidak mahu mengesahkannya secara rasmi, kenderaan-kenderaan ini juga ada yang bakal diguna pakai untuk melaksanakan tugas kenderaan pengiring berkelajuan tinggi. Ini tentunya berpadanan dengan tugas yang harus dipikul mengiringi sesetengah pegawai tinggi kerajaan dan wakil asing yang menggunakan kenderaan-kenderaan mewah berkuasa tinggi seperti jenama Mercedes, Volvo, Audi dan sebagainya.

Pada pameran GPEC, pengunjung berkesempatan untuk melihat kenderaan Evo 10 dengan lebih dekat. Memandangkan tidak ada data petunjuk yang dipamerkan oleh PDRM mengenai kenderaan Evo 10 yang dipamerkan, adalah agak sukar untuk mendapatkan maklumat yang sebenarnya. Versi PDRM adalah dipercayai Evo 10 GSR yang mempunyai sistem giar manual lima kelajuan. Pada bahagian hadapan luar kenderaan, sistem rekabentuknya bukan sahaja mempunyai nilai estetika tinggi tetapi turut sama mempunyai fungsi yang berguna khususnya dalam menentukan bahawa aliran udara dapat bergerak secara optima di sekeliling kenderaan memberikan bukan sahaja kestabilan pergerakan, malah membantu proses kitaran udara ke dalam enjin untuk menghasilkan pembakaran bagi kuasa pendorongan yang jitu. Bahagian ‘spoiler’ dihadapan umpamanya mempunyai tugas untuk menolak udara di hadapan agar tidak menolak roda ke belakang, sebaliknya melorongkan udara di hadapan agar terpesong ke sisi kenderaan. Ini secara langsung memberikan kuasa cengkaman tayar ke atas jalan yang padu lagi stabil. Bahagian tengah spoiler pula membenarkan udara untuk memberikan sistem penyejukan dan radiator, bekalan angin sejuk yang berterusan. Lubang-lubang khas pada penutup enjin pula bertindak untuk mengeluarkan angin panas dari kompartmen enjin, memberikan ia keupayaan penyejukan efektif di samping mengurangkan kuasa tolakan udara ke atas yang boleh menyebabkan kenderaan tidak stabil serta kemungkinan bahagian hadapan kenderaan tertolak ke atas apabila kenderaan memecut pada kelajuan melampau. Ini memberikan gambaran seakan kenderaan Evo 10 benar-benar mendakap permukaan jalan apabila ia bergerak laju dan memberi keyakinan kepada pemandu untuk menangani selekoh tajam pada kelajuan tinggi.

Dengan enjin versi 2.0L MIVEC turbo berkekuatan 291 kuasa-kuda kenderaan ini mempunyai kelajuan makisma yang mencecah hingga 300km sejam! Ia menggunakan sistem rim ENKEI 18inci dengan sistem brek Brembo yang mencengkam. Brek ini berkemampuan untuk menghentikan kenderaan Evo 10 yang sedang bergerak pada kelajuan 96km/jam dalam jarak 34 meter sahaja. Bahagian dalam kenderaan mempunyai tempat duduk Recaro yang memberikan keselesaan yang lebih baik terutamanya apabila kenderaan bergerak pada kelajuan tinggi dan melalui selekoh tajam. Bahagian steringnya boleh diubah suai kedudukannya, namun hanya untuk ketinggian. Daya pecutan kenderaan ini adalah mengkagumkan dan ini dapat dicapai hasil dari sistem giar manual lima kelajuan dengan tempoh masa yang diambil untuk memecut dari 0km ke 120km adalah hanya 7.2 saat. Untuk kawalan yang lebih baik dalam permukaan yang berbeza kenderaan dilengkapkan dengan sistem ACD (Active Center Differential) yang membolehkan pemandu memilih tahap pemanduan kesemua roda mengikut tiga mod, iaitu pada jalan berturap, berbatu dan licin atau salji.

Bagi tujuan operasi, pihak PDRM telah memasang sistem komunikasi dua hala, sistem lampu kecemasan dan kini sedang dalam proses memasang sistem kamera serta lampu pencarian. Pada kenderaan yang dipamerkan sewaktu pameran GPEC 2009, kenderaan dipasangkan dengan satu sistem kamera dan lampu LED. Sistem kamera ini dipercayai mampu berputar 360 darjah di atas tenggekannya yang berada di atas bumbung kenderaan. Ia boleh digunakan dalam keadaan siang mahupun malam dan merekodkan video bagi tujuan analisa atau mengumpul bahan bukti. Sistem kamera yang diguna pakai dipercayai bakal mampu menghantar video serta data ke pusat kawalan bersepadu melalui sistem jaringan komunikasi bersepadu PDRM. Kesemua sistem arahan dan kawalan kamera boleh dioperasikan dari dalam kenderaan menggunakan sistem tombol dan tuas kawalan yang dioperasikan samada oleh pemandu mahupun pembantu beliau. Pada bahagian dalam kenderaan Evo 10, terdapat dua skrin paparan, satu bagi tujuan sistem kamera video yang dipasang pada bumbung kenderaan dan satu lagi dipercayai adalah skrin yang boleh disambungkan pada sistem komputer riba sama yang turut dipasangkan pada kenderaan-kenderaan peronda PDRM. Sistem komputer ini akan membolehkan anggota peronda untuk memeriksa data dan maklumat, mengesahkan data dan rekod berkemungkinan mampu disambungkan pada sistem posisi kedudukan global atau GPS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan