Ahad, 22 November 2009

Terokai Keindahan Cinta Misteri

“Ada kalanya cinta itu… indah dipenglihatan tapi derita diperasaan…”


Kekecewaan, kejujuran, memendam rasa dan kehilangan, antara fenomena yang sering berlaku disebabkan cinta. Cinta mempunyai pelbagai pengertian dan mengundang 1001 rasa. Lain orang, lain persepsinya. Walau bagaimanapun, pernahkah anda jatuh cinta dengan seseorang yang tidak mencintaimu atau sekadar mengagumi (admire) seseorang yang tidak mengenali anda? Tentunya timbul pelbagai konflik dalam diri anda bukan?


Perbezaan pertembungan cinta & cinta sejati


Pertembungan cinta selalunya terjadi apabila anda pertama kali bertemu dengan seseorang dan merasai sesuatu perasaan istimewa yang sukar untuk digambarkan. Selalunya lebih kepada tarikan seksual, ditambah pula dengan degup jantung yang bergetar apabila pertama kali bertentang mata. Kerap juga terjadi cinta pandang pertama walaupun kita tidak mengetahui tindak balas si dia. Adakah dia juga rasa apa yang anda rasa atau anda hanya bertepuk sebelah tangan? Kadangkala kita tidak tahu adakah si dia sudah berpunya ataupun masih solo. Perasaan ini sukar untuk dipadam andai benar-benar sudah jatuh cinta terhadap si dia. Puas menolak perasaan yang sudah bersarang di sanubari tetapi apakan daya, jika hati sudah terpaut, tiada siapa yang mampu menghalangnya. Inilah dinamakan pertembungan cinta. Cinta yang penuh konflik antara hati dan perasaan. Lebih-lebih lagi jika anda mempunyai saingan, contohnya si dia sudah dimiliki atau mempunyai peminat sendiri.

Manakala cinta sejati pula terjadi apabila dua hati telah terpaut antara satu sama lain dan sepakat untuk menjalinkan perhubungan yang serius. Cinta sejati mestilah lengkap dengan pakej tersendiri bagi menjamin keharmonian dalam percintaan. Pakej yang dimaksudkan antaranya ialah memahami, menerima seadanya, saling melengkapi, berkompromi, rasional, dan sebagainya yang relevan untuk dipraktikan dalam sesebuah perhubungan serius. Andai salah satu pakej yang terpenting ini tiada, kemungkinan besar percintaan sukar bertahan lama. Tetapi ini bergantung kepada anda dan si dia. Jika bijak menjaga perhubungan dan saling bertoleransi terutamanya ketika menghadapi sebarang masalah, pasti hubungan itu kekal lama.

Jujur + Setia + Saling Sayang –menyayangi + Kepercayaan + Keyakinan + Terima Seadanya = Cinta Sejati


Bolehkah anda jatuh cinta pada seseorang yang anda tidak kenali?


Dalam hal ini bermaksud jatuh cinta pada seseorang yang anda tidak kenali mungkin dari segi keperibadian atau tingkah lakunya. Mungkin anda tertarik kerana paras rupanya yang menambat hati anda. Bertemu pandang dengannya membuatkan hati anda girang dan jantung berdegup kencang. Hati mula berbicara irama gembira sekali gus membuahkan suatu perasaan yang nyata. Bak kata pepatah, dari mata turun ke hati. Waktu itu, pasti anda memasang angan-angan untuk mendekati dan mendampinginya. Anda ingin si dia menjadi milik anda. Apa langkah anda seterusnya? Jika setakat memendam rasa, perasaan anda memang tidak berbaloi.

Sebaliknya, jika anda mempunyai keyakinan dan keberanian, semua mimpi anda pasti menjadi kenyataan. Namun jika anda membuat keputusan untuk mengaguminya dalam diam, memendam perasaan biar pun membuak-buak dan tidak berani untuk berhadapan dengan kenyataan perasaan, maka sampai selamanya perasaan itu terperuk saja hingga ia berlalu menyepi. Tetapi mampukah anda memendam rasa sedangkan hati anda sudah jatuh suka padanya? Tepuk dada, tanya selera.

Patutkah anda mencintai seseorang yang tidak mencintai anda?

Ini mungkin boleh dikaitkan dengan cinta tak berbalas. Kebanyakkan individu yang berangan-angan untuk memiliki sesuatu yang mereka tidak ada. Itulah masalah bila menginginkan sesuatu yang tidak mungkin dapat dimiliki. Contohnya, anda meminati seorang jejaka/gadis tetapi si dia langsung tidak ada perasaan pada anda. Ini bermakna anda uma bertepuk sebelah tangan. Apakah si dia suka dirinya diminati ataupun mungkin rimas menjadi perhatian seseorang. Sukar untuk mengagak perasaan orang lain. Ada yang Nampak tenang dari riak wajah tetapi dalam hati, hanya dirinya dan Tuhan saja yang tahu.

Sebenarnya mencintai seseorang yang tidak mempunya perasaan terhadap anda amat sukar untuk diterima. Tetapi dari segi emosi, ia adalah satu cabaran yang terpaksa ditempuhi. Sama ada anda memilih untuk mengalah atau terus-menerus menyimpan perasaan terhadap si dia. Konflik yang berlaku dalam diri ada kalanya mampu ‘membunuh’ dan menyeksa perasaan anda sendiri. Mungkin sudah puas anda menangkis perasaan ini tetapi gagal. Ah! Betapa misterinya cinta! Datangnya tidak diundang, perginya tiada siapa yang merelakanya. Itulah hakikat yang terpaksa untuk ditempuhi biarpun perit untuk ditelan. Dalam situasi ini, elakkan nafsu menguasai diri. Sebaliknya berfikir dulu sebelum melakukan sesuatu perkara. Letakkan akal di hadapan perasaan bagi mengelakkan nafsu membinasakan diri. Jangan terlalu obsess terhadap sesuatu perkara yang tidak pasti kerana ia begitu menyakitkan malah menyeksakan jika apa yang diharap tidak menjadi kenyataan.

Perlukah meletakkan cinta di tempat pertama dalam hidup?

Ada individu yang sukar untuk menerima jikla putus cinta. Bagi mereka, hidup kurang meriah tanpa kehadiran cinta. Ada pula yang tidak kisah jika hidup mereka tidak disulami warna-warna cinta. Mereke berpendapat, kebahagiaan bukan saja berpunca dari cinta sebaliknya kekeluargaan, persahabatan, keadaan sekeliling termasuklah gaya hidup yang membuatkan hidup mereka bahagia.

Soal meletakkan cinta di tempat pertama dalam hidup sebenarnya bergantung kepada diri sendiri. Ada yang berkata YA! Dan juga tidak bersetuju dengan kenyataan ini. Pokok pangkalnya hati masing-masing untuk meletakkan cinta sebagai fokus utama ataupun hanya sampingan sebagai pelengkap dalam hidup.

Walaupun ada yang sentiasa memburu cinta, tidak semestinya berjaya mendapat cinta abadi. Sentiasa memburu cinta juga boleh membuatkan seseorang itu cepat berasa bosan dan pasti akan mencari cinta yang baru. Bagi yang sentiasa dikejar cinta, dipujuk rayu dengan janji-janji manis, pastinya akan berasakan ‘saham’ sedang naik mendadak. Sentiasa diekori untuk mendapatkan cintanya. Bila ini semua berlaku, ada yang senang untuk diraih cintanya dan ada juga yang tidak mahu menjadikan cinta sebagai objek yang murah harganya. Bagi mereka, cinta itu tinggi nilainya dan sukar untuk diperoleh sewenang-wenangnya.

Walau apa pun, cinta tetap misteri. Menjanjikan pelbagai keindahan yang sukar ditandingi tetapi ingat, cinta juga penuh dengan kepalsuan yang membuatkan seseorang itu rambang mata atau buta hati untuk memilih cinta yang benar-benar terbaik. Cinta juga boleh membuatkan seseorang itu lupa akan diri sendiri. Alpa berpijak di bumi yang nyata serta hidup penuh dengan imaginasi yang membebankan. Cinta juga mampu membuatkan seseorang itu sentiasa bersemangat untuk berjuang melawan arus kehidupan. Pelbagai pengertian tetang cinta yang sukar diungkapkan. Namun cinta tetap cinta, tiada penghujung dan tiada noktahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan