Jumaat, 27 November 2009

SUKHOI TUNJUK TARING - Buat Kali Pertama Di ASAHAN


Buat pertama kalinya pada 9 Julai yang lalu, dua buah pesawat Su-30MKM telah melakar sejarah apabila mempertontonkan kemampuannya untuk melaksanakan pengeboman menggunakan bom biasa tanpa kawalan (dumb bomb) terhadap kawasan sasaran menggunakan bom hakiki. Selain dari mempamerkan kemahiran tersebut ia turut mencipta rekod pengguguran bom paling banyak dari sebuah pesawat udara dalam satu penerbangan lintas atau ‘sortie’.
Pada pertunjukan kuasa tempur udara oleh pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum ini, jumlah bom paling banyak yang digugurkan dari sebuah pesawat sekali gus adalah enam butir, lazimnya oleh pesawat F/A-18D. Kali ini dua buah pesawat Su-30MKM telah menggugurkan 16 butir bom setiap sebuah. Bom-bom berupa ‘dumb bomb’ yang tidak mempunyai keupayaan kawalan penderia elektronik mahupun optik ini disasarkan terhadap sasaran terbuka di kawasan di lapang sasar Gemas, Negeri Sembilan dan turut disaksikan oleh DYMM Sultan Kedah. Selain dari dua pesawat Sukhoi tersebut, empat pesawat Hawk turut mempamerkan aksi penembakan roket tanpa kawalan pada sasaran khusus. Sistem-sistem roket ini lazimnya akan dilepaskan terhadap sasaran seperti konvoi kenderaan armor dan kereta kebal musuh, memandangkan roket-roket yang digunakan adalah yang mempunyai kuasa robekan armor yang baik, selain dari kepelbagaian jenis kepala peledak yang mampu diguna pakai.

OFAB 100-120
OFAB adalah sejenis siri bom tanpa panduan yang boleh digugurkan dari pesawat udara sama ada pesawat pejuang yang bersaiz kecil pada bahagian sayap, mahupun pesawat pengebom yang lebih besar yang dibawa di bahagian dalam geladak bom. OFB adalah akronim kepada ‘oskolochno-fugasnaya aviatsionnaya bomba’ yang membawa maksud ‘bom pesawat udara serpihan/letupan tinggi’. Rekabentuknya dipercayai adalah merupakan kesinambungnan dari rekabentuk bom yang telah diguna pakai sejak dari era Perang Dunia Kedua dan bersesuaian dengan doktrin pihak Rusia, mana-mana sistem atau senjata yang dianggap telah mencapai tahap pengoperasian yang berkesan ia akan diguna pakai secara meluas sehinggalah tiba suatu masa apabila terbukti ia tidak lagi relevan atau sesuai untuk digunakan. Contoh sistem sedemikian adalah seperti bom OFAB dan juga raifal Avtomat Kalashnikova. Pada asalnya terdapat tujuh jenis bom siri OFAB, ini termasuklah OFAB-100M, OFAB-100MH, OFAB-100NV, OFAB-100-120, OFAB-250M. OFAB-250-270 dan OFAB-500U. Pada 1996 enam lagi siri bom telah diperkenalkan iaitu OFAB-500U dengan bentuk yang lebih aerodinamik, OFAB-250T, OFAB-250 ShN dan OFAB-250.

Nombor yang tertera selepas perkataan merujuk kepada kategori saiz bom-bom tersebut, manakala huruf berasingan selepas nombor pula membawa maksud jenis-jenis bom bagi tujuan atau kesan pemusnah tertentu. Secara amnya bom OFAB adalah sesuai untuk disasarkan kepada kenderaan armor ringan, posisi atau markas sementara musuh di medan serta anggota yang berada di kawasan terbuka. Pengaktifan bom di kawasan sasaran adalah secara impak, walaupun demikian bagi bom OFAB-250M terdapat kuar peledak yang panjang di hadapan muncung bom dan akan menyebabkan bom meletup pada kedudukan 1.5 meter di atas permukaan bumi, sebaik kuar terhentak pada objek atau tanah. Sistem fius peledak ini dipasang untuk memberikan impak letupan dan serpihan maksima terhadap sasaran dan kawasan yang mahu dimusnahkan. Ini penting kerana jika tanah di kawasan permukaan bumi sasaran bersifat agak tanah lembut, gambut atau berpasir, kemungkinan bom terperosok ke dalam tanah sebelum letupan berlaku akan mengurangkan kesan kemusnahan, baik akibat letupan kuat mahupun serpihan terhadap sasaran. Selain itu satu sistem payung terjun khusus juga boleh dipasangkan pada bahagian belakang bom untuk melewatkan kejatuhannya ke permukaan bumi sekiranya ciri ini diperlukan. Pengeboman menggunakan bom OFAB yang dilewatkan kejatuhannya ini lazimnya dikaitkan dengan pengeboman jarak amat rendah yang mementingkan ketepatan serta keselamatan pesawat. Pada jarak amat rendah jika bom tidak dilewatkan penghantarannya ke sasaran, ia mungkin akan impak ke sasaran sebelum sempat pesawat yang melancarkannya keluar atau terbang tinggi agar kesan letupan atau serpihan tidak membahayakannya.

Bom yang digugurkan oleh pesawat Su-30MKM adalah dari jenis OFAB-100-120. ia mempunyai diameter 273mm dengan panjang keseluruhan bom adalah 1,065mm manakala berat keseluuruhan bom pula adalah 123kg yang mana bahan letupan jenis XE yang dibawa bagi setiap bom adalah seberat 46kg. Secara amnya bom OFAB mempunyai bahagian kulit luaran yang lebih tebal untuk mempertingkatkan daya pemusnah yang diakibatkan oleh lebih banyak serpihan apabila ia meletup. Keseluruhan 18 butir bom OFAB-100-120 yang digugurkan di Lapang Sasar Gemas oleh hanya sebuah pesawat Su-30MKM pada hari tersebut merangkumi kawasan impak letupan dan serpihan seluas lima buah padang permainan bolasepak.

Pod Damocles
Selain mengugurkan bom, penonton pertunjukan kuasa udara juga telah buat pertama kalinya dapat melihat kedua-dua pesawat Su-30MKM dilengkapkan dengan pod penderia Damocles. Pod ini adalah merupakan pod penderia yang dipasangkan pada bahagian bawah badan atau sayap pesawat bagi tujuan penentuan sasaran yang mampu melaksanakan pelbagai jenis tugasan berkaitan dengan pengenalan, pengawasan dan panduan sistem penderia serta persenjataan terhadap sasaran yang mahu dimusnahkan dari sebuah pesawat udara.

Ia dihasilkan oleh firma Thales, Perancis dan merupakan kesinambungan dari sistem pod sebelumnya, iaitu sistem ATLIS II dan CLDP. Mula diuji pada tahun 2000, 15 pod sistem Damocles telahpun digunakan pada pesawat-pesawat Super Etendard Modernise atau SEM yang beroperasi dari kapal-kapal pengangkut pesawat Perancis sejak dari tahun 2002 manakala pesawat-pesawat Rafale F3nya pula dijangka akan mengoperasi sistem sama mulai tahun ini. Keunikan sistem Damocles ini ialah selain berfungsi sebaga isistem penentuan sasaran, ia juga boleh bertindak sebagai sistem navigasi pandangan hadapan infra-merah atau NAVFLIR. Apa yang dilakukan oleh Thales adalah memasang sistem NAVFLIR di dalam pod unit Damocles yang membolehkan kedua-dua sistem dipasangkan pada hanya satu pautan dibawah badan atau sayap pesawat, menjimatkan ruang disamping membolehkan pesawat untuk membawa lebuih banyak beban persenjataan dan sebagainya. Malaysia dan Emeriah Arab Bersatu adalah dua negara yang menggunakan sistem sedemikian, dengan Malaysia pada pesawat Su-30MKM dan Emeriah Arab bersatu pada pesawat Mirage 2000-9. Emeriah Arab Bersatu menamakan sistem Damocles sebagai Shehab, manakala sistem NAVFLIR sebagai Nahar.

Kejayaan mengasimilasikan pod Damocles kepada pesawat Su-30MKM milik TUDM telah membuka mata pihak tentera udara Rusia untuk mengikut jejak langkah yang sama memandangkan dalam ujian-ujian yang dilaksanakan oleh tentera udaranya, sistem tersebut dianggap lebih baik dari sistem Saspan dan Solux yang dihasilkan oleh firma UOMZ (Ural Optical & Mechanical Plant) yang merupakan pengeluar pod penderia terkemuka Rusia. Pada 2007 pihak Thales telah mencapai persetujuan dengan firma UOMZ untuk menghasilkan sistem versi khusus pod Damocles yang sesuai dengan kehendak pihak Rusia dengan menggunakan perisian yang dihasilkan sendiri oleh mereka. Ini juga bakal menjadikan sistem Damocles sebagai sistem berkaitan pesawat tempur buatan negara Barat yang pertama dipersetujui oleh pihak tentera udara Rusia sendiri untuk diintegrasikan ke dalam sistem pesawat-pesawat mereka.

Ciri-ciri utama sistem pod Damocles termasuklah kemampuan untuk menentukan sasaran secara pancaran laser, penunjuk sasaran laser, pengukur jarak laser, pengawasan ruang udara taktikal, pemantauan sasaran udara ke udara serta navigasi FLIR. Apa yang menyebabkan sistem ini dianggap berkeupayaan tinggi adalah kerana kemampuannya untuk beroperasi sehingga pada jarak jauh, sistem penstabilan imej yang amat baik serta sistem pancaran laser dua-julat yang berkuasa tinggi. Selain itu ia juga boleh diguna pakai dalam mod dwi-fungsi, iaitu untuk pemantauan sasaran udara ke udara dan juga udara ke bumi. Sistem pod tersebut boleh dipadankan dengan pelbagai jenis sistem persenjataan terkini yang menggunakan pelbagai jenis sistem penderia serta arahan dan kawalan. Ini termasuklah sistem-sistem peluru berpandu dan bom yang menggunakan sistem navigasi inertia (INS), sistem penentuan posisi global (GPS) dan juga sistem panduan pengimejan infra-merah (IR Imagery).

Penggunaan sistem laser dan pengimejan berkuasa tinggi adalah amat kritikal pada pod-pod penderia kerana dengan mempunyai unsur sedemikian ia mampu melaksanakan siri penentuan dan pelepasan sistem senjata ke arah sasaran dari jarak jauh (long range stand-off) tanpa perlu risau mengenai tindak-balas musuh. Ia juga dikatakan mempunyai sistem rekabentuk terbuka yang membolehkan sistem ini dipertingkatkan keupayaannya pada masa akan datang. Pada bulan Jun yang lalu, Thales telah mengumumkan bahawa ia kini dalam proses menghasilkan sistem pod terkini iaitu Damocles XF (XF bermaksud eXtended Features) atau yang mempunyai beberapa ciri terkini yang lebih berkemampuan dan sistem ini dijangka akan diperkenalkan pada 2012.

Hawk & CRV7
Sebelum pesawat Su-30MKM membuat pengeboman di lapang sasar, terlebih dahulu pesawat-pesawat Hawk telajh melaksanakan penembakan roket udara ke permukaan menggunakan sistem jenis CRV7 dari pod pelancar LAU-5003 yang dipadankan dengan muncung AFF. Setiap pesawat memebawa dua pod roket LAU 5003 yang merupakan sejenis pod tembak buang (disposable).

Riket CRV7 adalah sejenis roket bebas tanpa panduan yang dihasilkan oleh firma Bristol Aerospace yang beroperasi di Winnipeg, Manitoba, Kanada. Roket ini berkaliber 70mm dan telah mula diperkenalkan pada awal tahun 1970an. Pada masa itu ia adalah roket pelancaran bebas yang mempunyai kemampuan tinggi dan memiliki kuasa perobekan yang mampu menembusi hanger pesawat-pesawat udara Pakatan Warsaw di pangkalan udara mereka. Sehingga hari inipun ia masih dianggap sebagai rokert bebas terbaik dan menjadi sistem roket bebas paling banyak diguna pakai oleh pesawat-pesawat NATO.

Sistem roket CRV7 sebenarnya adalah merupakan hasil sampingan dari satu perogram yang dinamakan CARDE, iaitu satu program penyelidikan dan kajian mengenai peluru berpandu anti-balistik. Program tersebut menghasilkan apa yang dipanggil Black Brant Rocket yang dilancarkan buat pertama kalinya pada tahun 1959. Black Brant menggunakan sistem pendorongan bahan api pepejal yang sangat efisyen dengan kadar operasi 98% yang menjadikan ia sehingga hari ini sebagai roket kajian saitifik dan ketenteraan yang paling popular di dunia. Firma Bristol kemudiannya mengambil sistem bahan api dan kuasa enjin pendorongan yang sama dengan roket tersebut dan memasangnya pada roket 70mm yang dikenali hari ini sebagai roket CRV7.

Sistem roket CRV7 sememangnya adalah amat dikagumi pihak pengendali dan digeruni lawan. Apabila pihak tentera Perancis mahu menguji sistem tersebut bagi mencari sistem roket bebas untuk kegunaannya, mereka telah membuat ujian bilamana roket yang diuji mestilah menembak sebuah menara tinggi menggunakansistem roket latohan yang tidak mempunyai bahan peledak. Juruterbang Kanada yang mengendalikan pesawat telah berjaya menembak menara tersebut dengan roket pertamanya dan memusnahkan menara tersebut. Tim ujinilai dari Perancvis membatalkan terus penyertaan CRV7 kerana mereka menyangka pasukan Kanada telah melancarkan roket hisup yeng mempunyai bahan peledak! Ujian-ujian seterusnya mengejutkan tim ujinilai.

Umpamanya, peluru latihan yang tidak mempunyai bahan peledak masih mampu merobek dinding kapal perang dengan hanya menggunakan tenaga pendorongannya sahaja. Kajian dari kemampuan ini kemudiannya menghasilkan sejenis kepala peledak roket CRV7 yang dinamakan sebagai FAT atau ‘Flechette AntiTank’ atau peluru damak anti-kereta kebal. Kepala riket CRV7 FAT mengandungi lima damak diperbuat dari bajhan Tungsten yang diperkuat yang mampu menembusi armor kebanyakan kereta kebal moden hari ini.

Pesawat—pesawat TUDM membawa dua pod bagi setiap pesawat, dengan satu pod pada satu sayap. Pod LAU-5003 dengan sistem muncung AFF mempu membawa sehingga 19 tiub perlancar, menjadikan jumlah keseluruhan roket yang boleh dibawa oleh pesawat adalah 38 buah roket. Setiap pod pelancar tembak buang ini mempunyai berat 34.6kg apabila kosong. Sistem muncung AFF (Frangible Foward Fairing) dipasangkan pada pod untuk memberikan pesawat daya penerbangan yang lebih baik dalam semua keadaan cuaca, mengurangkan rintanganangin pada pesawat serta tidak menghasilkan bahan buangan yang mampu memrosakkan komponen atau dinding pesawat ketika pelancar melepaskan roketnya.

Jarak maksima sistem roket CRV-7 adalah kira-kira 3.6 kilometer dengan setiap kapala peledak jenis letupan tinggi membawa kira-kira 6.6kg bahan letupan. Sebaik roket telah dilancarkan, pod terpakai akan dibuang oleh pengendali dari sayap pesawatnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan