Jumaat, 27 November 2009

SCORPENE



KD TUNKU ABDUL RAHMAN atau singkatannya, KD TAR adalah merupakan kapal selam pertama yang dimiliki oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Ia merupakan kapal yang dibina secara bersama oleh konsortium DCN International dari Perancis dan Izar dari Sepanyol setelah kontrak perolehan telah dipersetujui oleh Kerajaan Malaysia pada Jun 2002. Ini adalah merupakan kejayaan kedua pihak DCN dan Izar setelah pada April 1998 pihak kerajaan Chile telah bersetuju memesan dua buah kapal Scorpene untuk dibina setiap satu di Perancis dan Sepanyol.
Walaupun mungkin ramai yang mengetahui nama Scorpene, tidak ramai yang mengetahui latar belakang program dan kemampuan kapal selam tersebut secara agak terperinci. Malah bukan sedikit tanggapan yang mungkin mengelirukan kadang-kala terpapar dalam pelbagai media mengenai kapal selam yang telah diperolehi oleh pihak TLDM. Sememangnya juga adalah agak sukar untuk TEMPUR sendiri merungkai maklumat yang benar-benar sahih mahupun tepat mengenai ciri-ciri kapal KD TAR. Apa lagi bagi sebuah platform kapal selam yang mempunyai nilai strategik kepada pertahanan negara, semestinya maklumat mengenai kemampuan hakiki serta sistem penderia dan persenjataannya adalah suatu maklumat yang dirahsiakan.

Latar belakang
Program kapal selam ini mula dirancang apabila pihak tentera laut Perancis mencadangkan bahawa ia bakal menggantikan kapal selam kelas Daphne yang dibina oleh Perancis dari tahun 1958 hingga 1970. Ia adalah merupakan kapal selam jenis diesel-elektrik yang turut digunakan oleh beberapa negara seperti Portugal, Sepanyol, Afrika Selatan serta Pakistan. Walaupun pihak Perancis telah membina kapal selam S-70 Agosta sebagai platform yang dianggap sebagai reka bentuk yang bakal menggantikan kapal selam Daphne, namun ia dilihat sebagai masih mengekalkan ciri-ciri rekabentuk kapal selam terdahulu yang dianggap tidak mampu memenuhi kehendak operasi kapal selam bagi menghadapi ancaman mendatang. Bagi menampung keperluan tersebut pihak Perancis telah melancarkan satu program yang dinamakan sebagai F-80. Namun program F-80 dikatakan tidak mampu direalisasikan akibat kekangan bajet dan akhirnya keputusan dibuat untuk meneruskan pembangunan peningkatan kepada kapal S-70 Agosta yang kemudiannya diklasifikasikan sebagai S-90B. Malangnya program ini juga gagal mendapatkan dana dari pihak kerajaan, dan akhirnya tiga kapal selam jenis S-90B telah dieksport ke Pakistan.

Selain Perancis, pihak tentera laut Sepanyol juga mendapati bahawa kapal selam kelas Daphne yang digunakan bakal mencapai tahap maksima tempoh penggunaannya. Memandangkan tentera laut Sepanyol tidak berpuas hati dengan kertas cadangan mengenai jenis kapal selam baru yang akan menggantikan kapal selam Daphne, mereka kemudiannya mengambil keputusan untuk menetapkan ciri-ciri teknikal bersesuaian dengan kehendak mereka sendiri. Apabila menyedari bahawa sifat-sifat kapal selam yang mahu dibina mereka hampir menyerupai program S-80 Perancis yang tergendala, pihak industri maritim Sepanyol, Izar telah bersetuju untuk bekerjasama dengan firma Perancis DCNS bagi membangunkan program tersebut. Pada 1990 rekabentuk kapal selam baru ini telah dipamerkan kepada umum ketika pameran Le Bourget Navale di Perancis serta diklasifikasikan dengan nama Scorpene. Walaupun terdapat laporan yang menyatakan bahawa pihak tentera laut Perancis dan Sepanyol akan memperolehi kapal selam tersebut, namun ianya tidak menjadi kenyataan. Keadaan dilihat menjadi bertambah rumit apabila pada tahun 1995, tentera laut Perancis mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah memulakan program untuk menghasilkan kapal selam nuklear generasi baru yang bakal menggantikan kapal selam Kelas Amethyste yang menggunakan sistem nuklear. Kapal selam baru ini juga akan menggantikan kapal selam versi disel-elektrik kelas Agosta yang juga diguna pakai oleh negara tersebut. Pihak tentera laut Perancis menyatakan bahawa ia tidak akan lagi mengoperasikan kapal selam disel-elektrik dalam armadanya dan kenyataan ini disahkan kemudiannya apabila kerajaan Perancis dalam semakan semula polisi pertahanannya menegaskan bahawa kesemua pasukan kapal selam disel-elektrik akan dihentikan dari beroperasi tanpa sebarang penggantian.

Memandangkan pihak tentera laut Sepanyol juga pada ketika itu masih tidak menyatakan sebarang komitmen untuk memperolehi kapal Scorpene, masa hadapan program kapal selam tersebut dilihat agak malap. Mungkin harapan yang ada ialah kepada minat yang ditunjukkan oleh tentera laut Thailand terhadap kapal selam tersebut. Pada tahun 1995 juga, kabinet Thailand telah meluluskan usul mengenai perolehan sistem kapal selam dan mengarahkan tentera lautnya untuk mula melaksanakan proses pemilihan. Pada peringkat awal, Scorpene dilihat sebagai calon platform yang mempunyai potensi paling baik. Namun seperti yang biasanya berlaku kepada program kapal selam Thailand sejak dari tahun 1959 apabila ia dimulakan, pada bulan Mei 1996, ia ditangguhkan. Perancis kemudian mencadangkan agar kapal empat kapal selam Scorpene dibekalkan kepada Afrika Selatan dalam satu pakej perolehan aset ketenteraan yang lebih besar dalam usaha untuk membangun dan memodenkan semula angkatan laut negara tersebut. Namun pakej yang ditawarkan oleh Perancis ditolak oleh Afrika Selatan yang kemudiannya memilih pakej perolehan yang ditawarkan oleh Jerman yang menawarkan kapal selam Type 209 serta kapal permukaan Kelas Meko. Perhatian kemudiannya ditumpukan kepada Pakistan yang sememang telahpun mengoperasikan kapal selam buatan Perancis, iaitu dari kelas Daphne dan Agosta. Namun sekali lagi Scorpene ditolak, apabila Pakistan memilih untuk mendapatkan versi Agosta yang dipertingkatkan, iaitu Agosta 90B. Pemilihan ini mungkin kerana pakej yang ditawarkan bersama Agosta adalah lebih menarik yang termasuk pemindahan teknologi serta kebenaran Pakistan untuk membina dan mengeksport kapal selam tersebut kepada negara ketiga.

Penyelamat program Scorpene akhirnya muncul apabila pada tahun 1997 Chile telah menyatakan komitmen bahawa ia bakal memperolehi dua buah kapal selam Scorpene setelah menilai cadangan yang dikemukakan oleh sekurang-kurangnya empat pengeluar kapal selam yang lain. Antara yang turut membida bagi perolehan tersebut termasuklah Jerman (Type 209) dan juga Sweden (Gotland/Collins). Keputusan ini dianggap agak memeranjatkan ramai pemerhati kerana sebelum ini armada tentera laut Chile telahpun menggunakan kapal selam Jerman Type 209 dalam satu tempoh yang agak lama. Menurut Menteri Pertahanan Chile pemilihan akhir dibuat berdasarkan faktor kemampuan Scorpene uantuk beroperasi dengan lebih senyap di bawah permukaan air berbanding kapal selam lain disamping pakej pembayaran atau kewangan yang lebih baik yang ditawarkan kepada negara tersebut.

Pembahagian kerja antara DCNS dan Izar kemudian telah ditetapkan dengan firma Perancis akan bertanggungjawab terhadap 60% dari kerja pembuatan, manakala firma Sepanyol Izar akan melaksanakan baki 40%. Limbungan kapal DCNS di Cherbourg akan bertanggungjawab bagi pembinaan dinding kerangka kalis tekanan untuk kedua-dua kapal selam disamping pembinaan dan pemasangan bahagian hadapan kedua-dua kapal selam. Limbungan Cartegena milik Izar di Sepanyol pula akan dipertanggungjawabkan untuk membina dan memasang bahagian belakang kapal selam. Apabila kedua-dua pihak telah berjaya melaksanakan tugas pembinaan dan pemasangan, bahagian belakang di Sepanyol akan dibawa ke Perancis bagi tujuan penyambungan dan pemasangan akhir keseluruhan kapal selam. Perkara sama juga dilaksanakan kepada kapal kedua, perbezaannya ialah kali ini bahagian hadapan kapal akan dibawa ke Sepanyol bagi penyambungan dan persiapan akhir. Perlaksanaan kontrak perolehan ini juga turut mengalami beberapa halangan, terutamanya apabila seorang hakim dari mahkamah Sepanyol bertindak cuba campur tangan dalam proses ekstradisi bekas diktator Chile, Jeneral Pinochet untuk dibicarakan atas dakwaan jenayah kemanusiaan. Keadaan menjadi begitu kritikal sehinggakan Chile mengugut akan membatalkan kontrak tersebut jika kerajaan Sepanyol tidak berbuat apa-apa, malah kerajaan tersebut turut mendesak agar program tersebut dilaksanakan secara sendirian oleh DCNS dari Perancis tanpa sebarang campur tangan dari Izar. Keadaan ini walaubagaimanapun sukar dilaksanakan kerana kontrak bagi syarat-syarat pembinaan telahpun dipersetujui dan Chile akan terpaksa membayar gantirugi yang besar jika ia bertindak melanggar syarat-syarat perjanjian pembelian yang telah dipersetujui sebelum ini.

Pesanan yang diperolehi dari Chile ini dilihat sebagai satu perkembangan yang amat positif dan dilihat bakal menjadi katalis kepada perolehan empat kapal selam Scorpene untuk tentera laut Sepanyol yang sememangnya mahu menggantikan kapal selam Agostanya yang telah uzur. Namun episod penggantian kapal selam Sepanyol ini kemudiannya menjadi lebih rumit dan bakal mencalar hubungan antara kedua firma DCNS dan Izar dikemudian hari (bakal diterangkan berikutnya).

Pada bulan Jun 2002, Kementerian Pertahanan Malaysia telah mengumumkan bahawa firma DCNS International dan Izar sebagai sebuah konsortium telah dipilih untuk membekalkan TLDM dengan dua buah kapal selam Scorpene. Sepertimana pembinaan kapal selam-kapal selam tentera laut Chile, kedua-dua kapal selam TLDM akan dibina secara berasingan di dua limbungan di Perancis dan Sepanyol. Pengesahan perjanjian dilaksanakan pada Oktober tahun yang sama dan peroses pembinaan kapal pertama iaitu KD TAR bermula pada bulan tersebut.

Setahun sebelum Malaysia mengumumkan kemahuannya untuk memperolehi kapal selam Scorpene, India telahpun menandatangani satu perjanjian pemindahan dan penghasilan bersama beberapa platform dan sistem berkaitan pertahanan yang turut merangkumi sejumlah kapal selam Scorpene. Ia melibatkan pembinaan bersama kapal selam tersebut di limbungan Mazagon Shipyard di India. Kapal selam Scorpene yang dibina di India ini bakal menggantikan sejumlah kapal selam kelas Foxtrot atau Project 641 yang dibeli dari Soviet Union pada suatu masa dahulu selain dari kapal Type 1500 dan Kilo Project 877. Walaupun Kementerian Pertahanan India meluluskan perolehan tersebut pada 2002, namun kelulusan akhir perlu didapati dari kabinet India dan beberapa usul telah diketengahkan oleh kabinet untuk diperdebatkan. Antaranya ialah untuk pihak tentera laut India mendapatkan kapal selam terpakai yang mempunyai kos perolehan yang lebih murah. Usul ini ditolak, namun menjelang April 2003, kerajaan India bertegas bahawa keenam-enam kapal selam perlu dibina di India keseluruhannya, berbanding cadangan sebelum ini iaitu dua di Perancis dan empat lagi di India. Akhirnya pada Oktober 2005 India bersetuju untuk memesan enam buah kapal selam Scorpene, namun kelewatan perolehan dan karenah birokrasi telah menyebabkan kos pembinaan kapal telah meningkat sehingga USD100 juta bagi setiap satu kapal selam, dengan sebuah akan dibina di Perancis dan lima lagi di India. Pada masa yang sama India turut telah memesan sejumlah 36 peluru berpandu SM39 Exocet yang boleh dilancarkan dari kapal selam Scorpene. Kesemua kapal selam tersebut bakal diterima dalam tempoh antara tahun 2012 hingga 2017.

Pelanggan terkini kapal selam Scorpene adalah Brazil yang telah menandatangani perjanjian pada awal tahun ini yang akan melihat negara Amerika Selatan tersebut bakal memperolehi sehingga enam buah kapal selam Scorpene. Perancis juga dikatakan telah bersetuju untuk memindahkan sebahagian dari kepakaran dan teknologi bagi membantu Brazil untuk menghasilkan sebuah lagi kapal selam Scorpene (Scorpene yang kelima) yang bakal dijana kuasa pendorongannya oleh sistem nuklear. Perjanjian ini dianggap oleh kedua pihak sebagai satu kerjasama strategik yang akan menyaksikan pihak Perancis membantu Brazil mempertingkatkan kelengkapan ketenteraannya berasaskan kepada sistem persenjataan Perancis, manakala Brazil pula akan membantu Perancis dalam membangunkan program janakuasa modular nuklear yang kecil bakal dimuatkan ke dalam kapal selam nuklear Perancis yang baru, Barracuda yang merupakan sebuah kapal selam nuklear dengan panjang 100 meter. Kapal selam ini dianggap sebagai satu kesinambungan kepada peningkatan keupayaan dan rekabentuk dari kapal selam Scorpene.

Kesemua kapal selam Scorpene Brazil akan dibina di negara Amerika Selatan tersebut menggunakan komponen yang diimport dari Perancis, dengan beberapa komponen yang lain akan dikilangkan di Brazil sendiri. Bagi pihak Perancis pula mereka akan memberikan bantuan kepakaran dan teknologi untuk memasang sistem reaktor nuklear bagi kapal selam baru Brazil kelak. Kos bagi perjanjian komprehensif ini yang menyaksikan lima buah kapal selam Scorpene, 50 buah helikopter Cougar dan bantuan kepakaran serta teknologi dikatakan bakal menelan belanja sehingga USD10 billion.
Persefahaman dan perkongsian teknologi antara DCNS dari Perancis dan Izar dari Sepanyol untuk menghasilkan program kapal selam Scorpene turut berada dalam keadaan yang kurang selesa antara kedua-dua pihak. Walaupun kedua firma mempunyai komitmen yang tinggi dalam program Scorpene, namun harus diingat bahawa kedua-dua negara juga turut mempunyai program pembangunan kapal selam nasional masing-masing. Kemahuan untuk menjaga dan melindungi kepentingan industri serta ekonomi masing-masing bagi mengaut keuntungan yang bernilai berbillion USD tentunya adalah sesuatu yang diletakkan dihadapan dari mana-mana faktor lain. Ini adalah faktor yang kini mungkin dilihat dapat mengancam hubungan konsortium DCN/Izar dalam terus merealisasikan impian untuk melihat kapal selam Scorpene muncul sebagai kelas kapal selam disel elektrik yang berkemampuan tinggi. Kedua-dua pihak, Perancis dan Spanyol telah menuduh antara satu sama lain sebagai bertindak secara tidak profesional terhadap beberapa siri tender untuk membekalkan sistem kapal selam kepada pelanggan di Eropah.

Navantia yang merupakan firma induk kepada Izar mewakili Sepanyol dalam program Scorpene menyatakan bahawa konflik bermula apabila kerajaan Sepanyol telah memilih sistem pengurusan tempur yang dihasilkan oleh firma Lockheed Martin bagi dipasangkan pada kapal selam generasi barunya, iaitu S-80 bagi menggantikan kapal selam Agosta. Ini mengecewakan pihak industri pertahanan Eropah yang telah memberikan tekanan kepada Sepanyol untuk menggunakan sistem pengurusan tempur yang dikeluarkan oleh blok negara tersebut, terutamanya dari Perancis. Keadaan ini diburukkan lagi apabila Navantia turut melobi bagi memasuki tender program kapal selam global, terutamanya di Turki dengan mengetengahkan kapal selamnya sendiri iaitu S-80 yang juga bersaing dengan sistem kapal selam Marlin yang ditawarkan oleh pihak DCNS. DCNS telah menuduh Navantia menciplak atau mencuri rahsia komersial berkaitan program kapal selam Scorpene selain dari meniru spesifikasi teknologi yang terdapat pada Scorpene. Ia kemudian menggunakannya sebagai asas untuk membangunkan program kapal selam S-80 sendiri yang ditawarkan juga kepada tentera laut Sepanyol serta negara-negara yang mahu memperolehi sistem kapal selam. Sememangnya laporan-laporan dari sumber media di Sepanyol menyatakan bahawa kapal selam disel elektrik Scorpene bakal menelan belanja yang tinggi dan ‘terlalu sofistikated’ rekabentuknya untuk diguna pakai oleh tentera laut Sepanyol bagi tujuan operasinya. Laporan ini turut diperkuatkan lagi apabila Izar sendiri melaporkan bahawa kapal selam generasi baru bagi tentera laut Sepanyol adalah kapal S-80.

Perancis ‘bertindak balas’ dan dengan secara sendirian berjaya mendapatkan penjualan empat buah kapal selam Scorpene kepada Brazil yang tidak langsung melibatkan firma Navantia. Perkara ini terus berlarutan sehingga ia dibawa ke mahkamah oleh kedua-dua pihak. Walaupun dilihat bertelagah, namun kedua-dua firma Navantia dan DCNS mengetahui bahawa program kapal selam Scorpene adalah satu program yang mempunyai masa hadapan yang baik dalam persaingan perolehan kapal selam yang semakin sengit. Pihak Navantia sendiri mengakui bahawa ia risau jika tindakan undang-undang yang diambil oleh kedua pihak bakal menjejaskan kredibiliti serta penjualan kapal selam tersebut yang kini sejumlah 14 buah telah terjual iaitu kepada Brazil (4), Chile (2), India (6) dan Malaysia (2). Pada bulan Mei tahun ini kedua-dua firma telah mengadakan rundingan untuk cuba menyelesaikan masalah yang mungkin akan menghantui program Scorpene. Jika ia tidak diselesaikan secara baik, kedua-dua pihak dilihat bakal terpaksa menanggung kerugian yang besar, apa lagi sehingga kini tiga buah kapal selam berjaya beroperasi dengan baik, seterusnya membuktikan bahawa rekabentuk dan integrasi sistem di dalam Scorpene adalah berkesan.

Keberkesanan Scorpene
Salah satu isu yang kerap dibangkitkan oleh banyak pihak mengenai kapal selam Scorpene ialah memandangkan kedua-dua angkatan laut negara pembekal, Perancis dan Sepanyol tidak menggunakan kapal selam Scorpene, maka rekabentuk dan sistem yang terdapat pada kapal selam tersebut dianggap masih belum terbukti kemampuannya. Ini dikatakan adalah antara penyebab kenapa penjualan kapal selam sukar dilakukan pada peringkat awal ia diperkenalkan. Namun pada 2004 setelah kapal pertama dari dua buah kapal selam yang dipesan oleh Chile berjaya melaksanakan kesemua ujian penerimaan dan pengoperasian sistem arahan dan kawalan serta persenjataan, ia kini mula diberikan perhatian serius oleh banyak pihak. Malah jika dilihat kepada program kapal selam Scorpene yang berikutnya selepas Chile dan Malaysia membuat keputusan membeli dua buah bagi setiap negara, keputusan persetujuan hakiki mengenai perolehan dibuat oleh India dan Brazil selepas tahun 2004. Tahun 2004 menyaksikan bagaimana kapal selam Scorpene Chile pertama yang ditauliahkan sebagai O’Higgins telah berjaya melancarkan torpedo berat Black Shark dan SUT. Penembakan kedua-dua torpedo dilaksanakan selepas O’Higgins lulus dengan cemerlang dalam ujian penyelaman sehingga pada tahap melebihi 300 meter yang merupakan had selaman maksimanya pada awal November, 2004. Ini adalah sesuatu yang dianggap penting kepada firma DCNS dan Navantia dalam proses pengesahan atau ‘validation’ bahawa struktur, dan prinsip asas di sebalik rekabentuk dan pembinaan Scorpene adalah menepati piawaian dan kemampuan sepertimana yang telah dibuktikan secara teori dan melalui sistem penyelaku sebelum ini.

Ciri-ciri fizikal Scorpene
Secara amnya reka bentuk kerangka bahagian luar kapal selam Scorpene adalah merupakan kesinambungan dari rekabentuk kapal selam nuklear Amethyste milik Perancis. Reka bentuk baru bagi Scorpene adalah idea asal dari program bagi menghasilkan sistem kapal selam Amethyste versi disel-elektrik yang kemudiannya tidak dibangunkan. Ini kerana pihak tentera laut Perancis berpendapat kesemua kapal selamnya pada masa hadapan akan menggunakan kuasa nuklear. Ciri-ciri fizikal bahagian luar Scorpene turut memperlihatkan pengaruh reka bentuk kapal selam kelas Albacore yang mempunyai tahap keluncuran dalam air yang amat efisyen dan senyap. Bahagian tengah kapal yang panjang mempunyai diameter sama manakala bahagian hadapan berbentuk bulat. Bahagian ekor kapal mempunyai tahap kecerunan menirus dengan dua sirip atau hidroplan, manakala bahagian hujungnya mempunyai kemudi berbentuk ‘+’. Selain itu terdapat dua sirip utama atau hidroplan pada bahagian atas menara periskop.

Bahagian dalam kapal selam Scorpene tidak banyak berbeza dengan kapal selam moden yang lain. Ia mempunyai dua tahap dek atau tingkat dengan dek atas diperuntukkan bagi stesen kerja krew serta tempat aktiviti harian mereka. Bahagian dek bawah mempunyai ruang untuk enjin disel serta sistem sel bateri. Kompartmen torpedo dan persenjataan adalah di bahagian hadapan dan sistem torpedo mampu dilancarkan terus dari pembukaan khas yang terdapat pada bahagian muncung kapal selam. Bahagian kompartmen bilik arahan dan kawalan serta tempat rehat krew dipasang di dalam kerangka menggunakan sistem apungan yang unik agar gegaran dari pergerakan krew di dalam kapal selam mahupun bunyi dari kompartmen tersebut tidak akan sampai atau disalurkan secara langsung kepada bahagian luaran dinding utama kapal selam. Tebatan gegeran dan bunyi ini dicapai dengan membina kompartmen krew dalam keadaan ‘terapung’ dengan disokong oleh sistem pautan bersifat elastik manakala beberapa siri penebat bunyi turut menghalang sebarang gelombang bunyi dari terkena kepada bahagian dalam dinding utama kapal selam.

Sebahagian besar dari teknologi yang digunakan dalam kapal selam Scorpene diambil dari sistem yang kapal selam nuklear Amethyste dan Le Triomphant. Ini termasuklah sistem kawalan automasi bagi platform kapal selam itu sendiri serta sistem integrasi tempur yang dikenali sebagai SUBTICS atau ‘Submarine Tactical Integrated Combat System’. Sistem ini mengandungi enam konsol paparan pelbagai fungsi dan sebuah meja taktikal yang dipasangkan di tengah-tengah bilik arahan dan kawalan. Komponen sistem SUBTICS mengandungi sistem arahan dan data taktikal, sistem kawalan persenjataan serta sistem pelbagai penderia akuistik yang dipadankan juga dengan sistem penderia permukaan dan udara dalam sistem yang diintegrasikan bersama. Untuk menentukan kedudukannya dengan tepat relatif kepada sasaran atau lokasi tertentu ia mempunyai sistem pandu arah atau navigasi bersepadu yang mengumpulkan data dari sistem poisisi kedudukan global atau GPS, catatan log, ukuran kedalaman serta sistem pemantauan hidroplan atau sirip pada badan kapal selam. Selain itu sistem penderia kapal selam Scorpene turut memantau kawasan persekitaran di dalam air, termasuklah ketumpatan air, suhu serta bunyi yang dihasilkan oleh enjin serta faktor lain dari dalam kapal selam.

Bahagian perkakasan dan perisian yang digunakan dalam sistem arahan dan kawalan platform banyak menggunakan sistem komersial atau COTS (Commercial Off-The-Shelf) yang turut membolehkan kelengkapan yang dipasangkan bersifat modular yang membolehkan ia diganti atau dipertingkat jika perlu tanpa kerumitan. Antara komponen-komponen yang dimaksudkan adalah sistem pemproses data RISC, sistem protokol TCP/IP bagi tujuan komunikasi serta pengunaan sistem paparan antaramuka grafik X-Windows, selain dari sistem pengoperasian UNIX.

Bahagian kerangka luaran Scorpene diperbuat dari keluli berkekuatan tinggi jenis HLES 80 yang mempunyai mutu serta tahap ketahanan bahan HY 80 yang diguna pakai daklam pembinaan kapal selam nuklear. Bahan ini digunakan kerana ia mempunyai daya ketahanan yang amat baik apabila berada dibawah permukaan air yang mempunyai tekanan tinggi dengan nisbah berat yang minima. Ini amat penting jika sebuah kapal selam itu mahukan keupayaan untuk membawa lebih banyak sistem torpedo atau persenjataan relatif kepada saiznya yang kecil berbanding kapal selam konvensional. Ketahanan kerangka menggunakan bahan keluli HLES 80 memungkinkan kapal selam Scorpene membawa lebih banyak kelengkapan dan persenjataan dan masih mampu menyelam dengan lebih dalam.

Sistem persenjataan
Sistem persenjataan utama Scorpene adalah merupakan torpedo Black Shark atau terjemahannya ‘Jerung Hitam’. Ia adalah merupakan torpedo yang diklasifikasikan sebagai torpedo kategori berat yang dihasilkan oleh firma WASS, iaitu sebuah firma dibawah induk Finmeccanica, iaitu sebuah firma pertahanan terkemuka Itali. Pembangunan sistem Black Shark bermula pada tahun 1997 bagi memenuhi kehendak tentera laut Itali yang mahukan sistem torpedo generasi baru bagi kapal selam-kapal selam U212nya. Pada peringkat awal pembangunan, torpedo ini dikenali sebagai A184 Advanced yang mencerminkan bahawa ia adalah merupakan peningkatan kepada sistem torpedo A184 Mod3. Sebuah firma Perancis DCN St Tropaz bertanggungjawab untuk membangunkan sistem bateri dan motor elektrik torpedo tersebut. Sistem Black Shark dilengkapkan dengan sistem ASTRA yang merupakan akronim kepada ‘Advanced Sonar Transmitting and Receiving Architecture’, iaitu sistem arahan dan kawalan yang menggunakan sistem sonar pasif serta aktif untuk mengenal-pasti dan memacu torpedo ke sasarannya. Berbanding sistem torpedo yang terdahulu dihasilkan oleh WASS, sistem ini mempunyai seksyen kawalan dan panduan yang dipertingkatkan, sistem kabel panduan fiber optik, motor elektrik yang baru dan sistem kipas berlawanan arah. Sistem ASTRA boleh dianggap sebagai nadi kepada Black Shark. Ia mempunyai sistem sonar aktif dan pasif yang boleh dioperasikan secara serentak. Ini akan membolehkan torpedo mengenal pasti dan membezakan antara isyarat sebenar pantulan dari platform sasaran atau isyarat yang dihantar oleh sistem pengumpan atau ‘decoy’. Sistem gentian optik menggantikan kabel panduan biasa digunakan torpedo biasa kerana ianya mampu membawa lebih banyak data, arahan dan kawalan serta isyarat dengan lebih efisyen. Penggunaan sistem gentian fiber juga membenarkan pertukaran data yang lebih besar dilakukan antara torpedo dan sistem data serta penderia kapal selam. Ini sebenarnya mempunyai aplikasi yang bukan sahaja bagi penggunaan torpedo sahaja, tetapi turut membolehkan sistem platform bawah permukaan air tanpa pemandu atau UUV (Underwater Unmanned Vehicle) diguna pakai oleh TLDM pada masa hadapan yang boleh dilancarkan dari tiub torpedo Scorpenenya. UUV ini mampu melaksanakan operasi pengumpulan data mahupun menjadi peninjau kepada kapal selam, memandang sistem tersebut mempunyai keupayaan operasi yang tinggi.

Sistem Black Shark di dorong oleh sistem motor yang dijana kuasa pendorongannya menggunakan sistem bateri AlAgO yang dipasangkan dengan sistem pengurusan elektrolit. Bagi tujuan latihan, sistem bateri Lithium Ion cas semula diguna pakai yang mempunyai kos murah. Bahagian kipas torpedo mempunyau dua kipas yang bergerak secara berlawanan, kipas pertama mempunyai 13 bilah, manakala kipas kedua 10 bilah yang diperbuat dari gentian karbon. Kelajuan Black shark mampu mencapai sehingga 52 knots. Jika keseluruhan sistem persenjataan yang dibawa oleh Scorpene adalah peluru berpandu, ia mampu membawa sehingga 18 buah torpedo

Selain torpedo Scorpene juga berkemampuan untuk membawa sistem peluru berpandu Exocet MM39 serta periuk api maritim. Bagi operasi yang pelbagai, pegawai memerintah kapal Scorpene mampu membawa ketiga-tiga jenis sistem persenjataan iaitu torpedo, peluru berpandu dan juga periuk api. Jumlah yang boleh dibawa walau bagaimanapun harus di kompromi mengikut berat dan saiz sistem persenjataan tersebut. Umpamanya setiap satu torpedo Black Shark boleh digantikan dengan dua sistem periuk api dasar laut. Ini bermakna jika tugas kapal adalah untuk menyemai medan periuk api, ia mampu membawa sehingga 36 butir periuk api.

Sistem AIP MESMA untuk Scorpene
Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kapal selam Scorpene mampu dipasangkan dengan sistem pendorongan tanpa menggunakan udara dari persekitaran. Sistem pendorongan kapal selam ini datang dari dua buah enjin disel yang mampu menjana sehingga 1,250 kiloWatt tenaga, disamping itu pada bahagian atas kompartmen enjin disel, terdapat sebuah enjin elektronik yang dipasangkan pada pautan elestik yang mempunyai kekuatan 2,900 kiloWatt. Sistem penjanaan kuasa pendorongan ini memainkan peranan yang penting dalam operasi harian sebuah kapal selam tempur seperti Scorpene. Enjin diesel digunakan apabila kapal bergerak di atas permukaan air dan untuk mengecas sistem baterinya yang akan diaktifkan apabila kapal mahu menyelam dan bergerak di bawah permukaan air. Perancis menawarkan dua versi kapal selam Scorpene iaitu versi CM-2000 yang menggunakan sistem pendorongan konvensional iaitu dengan mengunakan disel dan juga versi AM-2000 yang menggunakan sistem AIP. Perbezaan yang paling nyata antara kedua sistem tersebut ialah dengan mempunyai sistem AIP, Scorpene AM-2000 mampu kekal di bawah permukaan air untuk tempoh jangkamasa tiga kali lebih lama berbanding sistem kapal selam CM-2000.

Sememangnya sebuah kapal selam moden boleh bergerak di bawah permukaan air untuk menjadikan ia sukar dikesan oleh platform musuh. Walaupun demikian ketika menyelam, kuasa pendorongan ditukarkan dari enjin disel kepada enjin elektrik yang dibekalkan kuasa melalui sistem bateri. Kuasa bateri ini walau bagaimanapun tidak dapat bertahan lama dan untuk mendapatkan semula kuasa, ia harus dicaskan semula menggunakan sistem enjin disel. Untuk berbuat demikian kapal selam harus timbul ke permukaan, menghidupkan enjin disel dan mengecas semula bateri yang telah kehausan kuasa. Masa yang diambil untuk timbul ke permukaan ini adalah kritikal kerana ia mendedahkan kapal selam kepada bahaya bahawa ia akan dikesan oleh pelbagai platform musuh menggunakan penderia optik dan elektronik mereka. Ini mudah dilakukan walaupun kapal selam hanya menerjahkan serombong periskopnya sahaja bagi tujuan mengambil bekalan udara. Ia juga mudah dikesan oleh kapal selam-kapal selam musuh yang mungkin berada di kawasan sama memandangkan bunyi yang dihasilkan dari mekanimsa fizikal enjin disel dapat dikesan oleh sistem sonar dari jarak yang jauh. Untuk mengurangkan tahap kemungkinan dapat dikesan oleh musuh, Scorpene boleh dipasangkan dengan sistem AIP yang diklasifikasikan sebagai MESMA (Module d’Energie Sous-Marine Autonome). Sistem anaerobik MESMA menghasilkan haba dengan membakar bahan ethanol dengan cecair oksigen (dibawa bersama kapal) dalam kebuk khas dan tidak memerlukan kapal selam untuk mengapung ke permukaan bagi mendapatkan bekalan oksigen.

Sistem fizikal MESMA ini boleh dipasangkan pada kapal selam Scorpene sama ada ketika ia mula dibina dari awalnya, atau jika satu peningkatan diperlukan oleh sebuah Scorpene sedia ada, ia boleh dipasangkan kemudian. Perbezaan antara kapal selam yang dipasangkan dengan sistem MESMA tidak mendatangkan sebarang kesan negatif terhadap kemampuan mahupun prestasi kapal tersebut. Perbezaan kapal selam yang memiliki sistem MESMA berbanding yang biasa adalah perubahan dari segi panjang dan berat. Kapal selam CM-2000 mempunyai panjang 61.7 meter dan beratnya adalah 1,700 tan, manakala AM-2000 yang mempunyai MESMA adalah 70 meter dengan beratnya pula kepada 1,900 tan.
Versi Scorpene

Walaupun mungkin mempunyai nama atau rekabentuk yang hampir sama, sebenarnya terdapat enam versi Scorpene yang ditawarkan. Versi AM-2000 seperti yang dinyatakan sebelum ini adalah merupakan platform yang ditambah panjang dan beratnya akibat dipasangkan dengan sistem 2.800 kiloWatt AIP MESMA. CA-2000 pula adalah merupakan kapal selam yang menyerupai kapal selam Scorpene namun mempunyai saiz yang lebih kecil. Beratnya adalah kira-kira 940 tan dengan panjang 60.26 meter dan ia mempunyai nisbah jumlah sistem persenjataan serta jarak operasi yang dikurangkan. CM-2000 adalah platform utama yang merupakan sistem kapal selam konvensional. Program S-80A pula dilihat adalah merupakan pecahan dari program Scorpene yang ditujukan penggunaannya kepada tentera laut Sepanyol. Ia mungkin kelihatan sama pada bahagian luarannya, namun dipercayai bahagian dalam kapal selam S-80A adalah berbeza dan menurut kehendak yang telah ditetapkan oleh tentera laut negara tersebut. Ia mempunyai panjang 71 meter dengan berat 2,300 tan. Pada mei 2007 DCN telah memperkenalkan satu lagi jenis kapal selam yang dibina berasaskan kepada sistem Scorpene. Sistem ini dikenali sebagai SMX-23 yang juga dikenal sebagai Andrasta. Program Andrasta dibina dengan memberikan penumpuan terhadap kehendak negara-negara litoral bagi mengawasi kawasan perairan pantai mereka. Oleh yang demikian sifat serta ciri-ciri fizikal kapal selam ini unik untuk persekitaran sedemikian. Panjang kapal selam ini hanyalah 49 meter dengan berat 855 tan. Ia mampu membawa sehingga enam torpedo berat dari jenis Black Shark.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan