Jumaat, 27 November 2009

KD TUNKU ABDUL RAHMAN


Visi untuk menjadikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai sebuah angkatan laut yang kredibel dan disegani kawan serta digeruni lawan telahpun mempunyai tapak yang kukuh apabila Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melantik Thanabalasingam Karalasingam sebagai anak watan Malaysia pertama menjawat Panglima Tentera Laut pada tahun 1967. Jawatan tersebut sebelum ini hanya disandang oleh pegawai-pegawai berbangsa Inggeris sahaja. Dalam usia yang baru mencecah 32 tahun beliau telah menerima tanggungjawab tersebut dengan cekal. Panglima yang lebih senang dikenali sebagai ‘Bob Thana’ mempunyai visi yang jauh ke hadapan terhadap TLDM.
Malah sepanjang menerajui angkatan laut tersebut, Bob Thana telah membayangkan armada TLDM pada suatu masa nanti bakal menjadi sebuah angkatan tentera laut yang kredibel, profesional dan berkemampuan beroperasi sebagai sebuah angkatan laut perang konvensional. Dalam ucapan perpisahan sempena persaraannya pada 1976, beliau telah menjelaskan bahawa TLDM perlu mempunyai strategi untuk membangunkan kemampuan dalam ketiga-tiga dimensi mengikut turutan. Iaitu permukaan, udara dan bawah permukaan. TLDM sehingga hari ini dilihat terus memegang kemas azimat ‘blue print’ yang telah dinyatakan oleh Bob Thana. Ini jelas jika dilihat kepada bagaimana TLDM memantapkan kemampuan kapal-kapal permukaannya dengan perolehan kapal-kapal yang lebih moden seperti Kelas Laksamana, Lekiu dan juga kini NGPV. Ini dikuti dengan pembangunan KD RAJAWALI yang menyaksikan angkatan laut ini mempunyai aset pesawat helikopter yang lebih canggih berbanding TUDM sendiri. Ia memiliki helikopter Fennec dan juga Super Lynx 300 yang mampu melancarkan peluru berpandu dan juga torpedo. Kini pusingan pembangunan tiga dimensi telah lengkap dengan kehadiran dua kapal selam pertama negara, iaitu KD TUNKU ABDUL RAHMAN dan tidak lama lagi KD TUN ABDUL RAZAK (yang dijangka akan tiba di negara ini pada bulan Mac tahun 2010).

SCORPENE atau ‘Scorpion’ yang bermakna kala jengking adalah nama kepada sejenis ikan yang menghuni kawasan dasar laut seperti diatas batu karang, pasir dan rekahan semula jadi. Keseluruhan badan ikan ini mempunyai seakan duri atau permukaan berbonjol yang paling ketara di bahagian belakang dan kepala. Duri ini mempunyai racun yang sangat bisa. Ikan ini mempunyai kemampuan penyamaran yang baik kerana mampu bertukar warna mengikut latar belakang kawasan persekitarannya menjadikan ia sukar dilihat. Ia mencari makanan yang berupa ikan-ikan kecil dan udang dengan menanti di atas permukaan batu karang tanpa bergerak dan menyambar mangsanya secara tiba-tiba. Ciri-ciri halimunan, berbisa dan ‘menyerang hendap’ mangsanya ini digambarkan kepada kapal selam SCORPENE yang dianggap sebagai kapal selam yang amat sukar dikesan dan mempunyai kemampuan pemusnah yang tinggi.

Kapal selam Kelas PERDANA MENTERI milik TLDM dibina di dua limbungan berasingan di dua negara iaitu Perancis dan Sepanyol. Ini adalah kerana konsortium yang membina kapal Scorpene adalah merupakan gabungan firma DCNS di Perancis dan juga NAVANTIA di Sepanyol. Pembinaannya menyaksikan setiap limbungan, iaitu Cherbourg (Perancis) dan Cartagena (Sepanyol) menyiapkan separuh dari kapal pertama dan kedua mengikut bahagian masing-masing. Bahagian ini kemudian akan disambung agar menjadi sebuah kapal selam yang lengkap, dengan setiap limbungan melancarkan sebuah kapal selam. Ketika pembinaan dilaksanakan, krew TLDM yang terpilih telah menjalani latihan intensif bagi memahirkan diri dalam selok belok pengendalian kapal selam Scorpene.

Mereka dilatih di pusat EFSM (Ecole de Fomation Sous-marine) yang terletak di Pusat Pembelajaran Tentera Laut (CIN) di Brest, Perancis. Pusat EFSM yang dikhususkan khas bagi pelatih TLDM ini turut dilengkapi penyelaku kapal selam dan mula melatih krew TLDM pada Januari 2005. Setelah melepasi pembelajaran dan ujian teori, krew TLDM akan melaksanakan pembelajaran amali di kapal selam QUESSANT. Tahap kualiti pembelajaran di EFSM adalah tinggi dan mana-mana anggota atau pegawai yang gagal dalam ujian atau tidak mampu menyesuaikan diri akan digugurkan dari program kapal selam tersebut.

Piawaian sekolah latihan ini adalah mengikut tahap yang serupa dengan latihan yang dilaksanakan oleh Tentera Laut Perancis dan diluluskan oleh pegawai memerintah Angkatan Strategik Kapal Selam dan Laut Perancis atau ALFOST.

Pada 3 September yang baru lalu, SPB YDP Agong Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin telah berada di Pusat Hidrografi Nasional, Pulau Indah bagi menyambut ketibaan kapal selam pertama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD TUNKU ABDUL RAHMAN. Kapal selam ini telah memulakan pelayarannya dari pelabuhan Toulon, Perancis pada 11 Julai dan telah merentasi Laut Mediterranean, laut Merah, Teluk Aden, Laut Arab, Lautan Hindi, Laut Andaman dan akhirnya Selat Melaka sebelum tiba di Pelabuhan Kelang pada 3 September. Turut sama menyambut ketibaan kapal selam tersebut adalah DYMM Sultan Selangor, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Darat, Panglima Tentera Laut, Panglima Tentera Udara dan jemputan kenamaan yang lain. Kapal selam KD TUNKU ABDUL RAHMAN bakal mempunyai penugasan yang pelbagai dalam armada TLDM. Antaranya adalah untuk pengawasan perairan, mengumpulkan data perisikan, menyekat jalur perhubungan laut, melancarkan serangan serangan torpedo dan peluru berpandu, memyemai medan periuk api di kawasan maritim disamping membantu melaksanakan penyusupan pasukan khas anggota KD PANGLIMA HITAM dalam operasi-operasi sulit di kawasan litoral negara dan dimana sahaja yang difikirkan perlu demi keselamatan dan kedaulatan negara, disamping melindungi aset-aset serta keselamatan warganegara. Dua faktor kenapa kapal selam dilihat sebagai aset yang amat penting bagi sebuah angkatan laut ialah kerana pertama, ianya memberikan anjakan kuasa (force multiplier) yang padu dari segi kemampuan operasi dan juga kuasa tembakan dan kedua ia adalah platform yang mempunyai nilai deteren atau cegah rintang yang amat tinggi. Kedua-dua kapal selam pertama milik TLDM ini adalah merupakan versi CM-2000 yang merupakan kapal selam disel-elektrik konvensional dan tidak dipasangkan dengan sistem AIP. Namun ini tidak bermakna ianya akan kekal sedemikian memandangkan kapal selam SCORPENE tersebut boleh ditingkatkan keupayaannya dengan menyambungkan unit AIP yang bersifat modular di bahagian tengah kapal jika TLDM berpendapat sistem sedemikian diperlukan pada masa hadapan. Inilah yang juga telah dilaksanakan oleh sebuah negara jiran yang memiliki kapal selam, iaitu mengubahsuai kapal selam asal terpakai dengan memasang sistem AIP agar kapal selamnya dapat berfungsi lebih lama dan senyap di bawah permukaan air berbanding kapal selam biasa.

Sememangnya ketika keputusan untuk memperolehi kapal selam dibuat yang juga menelan kos tinggi, pelbagai komentar dilontarkan terhadap TLDM, termasuklah yang negatif serta memperlekehkannya. Namun ini adalah lumrah apabila sesuatu yang baru mahu diperkenalkan dan bak kata pepatah Melayu “hanya jauhari yang mengenal manikam”, maka demikianlah juga nilai kapal selam ini kepada kepimpinan TLDM dan mereka yang diamanahkan untuk mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara dari dicabuli sewenang-wenangnya oleh sesiapa sahaja.

Setelah berada di Pulau Indah selama dua hari, KD TUANKU ABDUL RAHMAN telah belayar ke pangkalan utama TLDM di Lumut , Perak dan tiba pada 5 September dengan di sambut oleh warga pengkalan, ahli keluarga krew kapal selam disamping DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Ia kemudiannya meneruskan pelayaran ke kota Kinabalu, Sabah untuk berlabuh di Pangkalan Kapal Selam TLDM Kota Kinabalu yang terletak di Teluk Sepanggar. Program kapal selam ini juga bakal memberikan manafaat kepada industri pertahanan tempatan untuk menimba ilmu dan kepakaran bagi memberikan perkhidmatan selenggaraan dan dikemudian hari nanti mungkin juga pembaikan dan alat ganti. Boustead Heavy Industries yang mempunyai limbungan di Lumut telah diberikan peluang untuk berganding dengan firma pembuat asal kapal selam, DCNS dari Perancis bagi membekalkan perkhidmatan selepas penerimaan yang bernilai RM600 juta.

Setelah lebih 50 tahun merdeka, TLDM kini telah benar-benar melaksanakan transformasinya dari sebuah angkatan laut ‘muara sungai ‘ kepada kemampuan untuk beroperasi di laut biru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan