Jumaat, 27 November 2009

KAPAL SELAM - Platform Deteren Paling Baik Untuk Malaysia



Apabila Malaysia mengumumkan bahawa ia akan memperolehi kapal selam bagi perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), ia menandakan bermulanya satu era baru bagi armada lautnya. Idea untuk mendapatkan sebuah kapal selam bukanlah sesuatu yang baru, malah ianya tercetus sejak dari tahun 1970an lagi ketika TLDM berada dibawah Laksamana Thanabalasingam, yang merupakan anak watan negara pertama yang menjawat Panglima Tentera Laut pada umur yang paling muda, iaitu 31 tahun! Namun, idea untuk memperolehi kapal selam terpaksa dipendamkan oleh beberapa sebab, antaranya ialah kerana ketiadaan kepakaran selain dari kos perolehan kapal selam yang dianggap terlalu tinggi bagi TLDM.
Pemantapan platform permukaan dilihat sebagai lebih kritikal untuk disempurnakan terlebih dahulu, memandangkan ancaman utama yang mungkin dihadapi oleh negara ketika era tahun 70an dan 80an dilihat lebih menjurus kepada yang bersifat sedemikian. Kawalan kawasan persempadanan dari pelarian peperangan Indochina, kegiatan lanun, pencerobohan nelayan negara asing, kemasukan PATI dan kawalan perairan negara yang begitu sibuk dengan aktiviti kapal komersial, terutamanya di Selat Melaka menjadi tugas utama TLDM. Tugas yang bersifat pengawasan dan keselamatan ini sebenarnya mungkin menyumbang kepada kenapa perolehan kapal selam dianggap sebagai sesuatu yang tidak perlu disegerakan.

Era tahun 90an menyaksikan beberapa perubahan yang ketara kepada TLDM sendiri terutamanya dalam pembangunan platform damn sistem persenjataan permukaan. Lewat tahun 1980an dan awal 90an TLDM telah melaksanakan dua perolehan yang dianggap banyak pihak sebagai satu anjakan kuasa tembakan dan kemampuan operasi kepada TLDM. Ianya adalah perolehan empat kapal Kelas LAKSAMANA dari Itali dan dua buah kapal kelas LEKIU yang bukan sahaja dilengkapkan dengan sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan, tetapi juga sistem peluru berpandu pertahanan dari pesawat udara. Dengan peningkatan platform dan sistem persenjataan TLDM, ia secara beransur-ansur mula mengorak langkah untuk menjadi sebuah angkatan laut yang lebih kredibel di rantau ini. Kemampuan organisasi ini dilihat semakin mantap apabila pasukan udaranya atau lebih dikenali dengan nama KD RAJAWALI telah memperolehi sistem pesawat helikopter dalam bentuk pesawat Fennec dari Perancis dan juga pesawat Super Lynx dari Britain. Ini secara langsung terus mempamerkan bagaimana arah halatuju memperkasakan TLDM berada di landasan yang positif, apa lagi apabila pesawat Super Lynx dilengkapkan dengan peluru berpandu Sea Skua bagi memusnahkan kapal permukaan serta berkemampuan untuk melancarkan torpedo A244S terhadap sasaran kapal selam. Jika dari sejak merdeka hinggalah tahun 90an, sebahagian besar dari penugasan TLDM lebih tertumpu kepada yang bersifat keselamatan dan ketenteraman kawasan pesisir pantai, apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ditubuhkan, ia dilihat secara rasminya telah mengambil-aleh tugasan tersebut secara rasmi dan komprehensif dari cabang angkatan laut tersebut. Ini terbukti kerana walaupun baru ditubuhkan, agensi Maritim Malaysia kini bukan sahaja memiliki platform prrmukaan sahaja tetapi turut sama dilengkapkan dengan pesawat helikopter dan kapal terbang bagi unit udaranya agar dapat melaksanakan rondaan di kawasan pesisir pantai negara di samping menjalankan operasi-operasi khusus seperti mencari dan menyelamat di laut yang pada suatu masa dahulu adalah antara tugas utama TLDM.

Sememangnya setelah sebahagian besar dari tugasan kawalan keselamatan pesisir pantai dipertanggungjawabkan kepada maritim Malaysia selain pembangunan dan pemodenan kapal permukaan dan cabang udara TLDM berjaya dilaksanakan, maka tentunya perhatian sekali lagi ditumpukan kepada pembangunan keupayaan peperangan bawah permukaan. Penangguhan yang sekian lama akhirnya terurai, apabila pada 2002, Kerajaan bersetuju untuk memperolehi dua buah kapal selam pertamanya. Pelbagai reaksi dicetuskan sebaik sahaja berita mengenai perolehan tersebut disebarkan oleh media global. Seperti lazimnya di negara ini berbagai pendapat dan ulasan dari yang positif sehingga kepada yang negatif dilontarkan. Ada yang berpendapat bahawa kos yang diperuntukkan oleh program kapal selam TLDM pada RM3.4 billion adalah terlalu tinggi dan tidak bersesuaian dengan keadaan kawasan litoral negara. Terdapat pihak yang menyatakan bahawa TLDM tidak memerlukan aset yang sedemikian kerana Malaysia adalah sebuah negara yang tidak menghadapi ancaman ketenteraan yang serius, disamping mekanisma seperti ASEAN dan perjanjian FPDA bakal mampu menjadi benteng pertahanan negara sekiranya diancam oleh sebuah kuasa luar. Sehingga kinipun terdapat pandangan dan kenyataan dari pihak-pihak tertentu yang terus menegaskan bahawa idea untuk memperolehi kapal selam adalah satu kesilapan dan tidak membawa manafaat yang besar kepada negara. TEMPUR ingin membawa pembaca untuk melihat apakah wujudnya keperluan untuk memiliki kapal selam bagi sebuah negara litoral seperti Malaysia dan bagaimana perkembangan serantau mungkin membawa implikasi terhadap perkara tersebut.

Kapal selam di rantau Asia Tenggara
Pemilikan dan pengoperasian kapal selam sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing bagi beberapa buah negara di Asia Tenggara. Malah sejak dari tahun 1962, tentera laut Indonesia telahpun memiliki dan mengoperasikan kapal selam Kelas Wiskey yang diperolehi dari Rusia. Ia memulakan perkhidmatan dalam Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL) sejak bulan Januari dan terus memberikan khidmat sehingga dilucutkan tauliahnya pada 1990. Kapal selam tersebut yang dibina di Vladivostok pada tahun 1952 dinamakan KRI Pasopati. Tindakan Indonesia untuk memberikan angkatan lautnya agar mempunyai kemampuan dalam operasi bawah permukaan sedemikian awal sememangnya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Sebagai sebuah negara yang merangkumi sejumlah 17,508 pulau, darinya kira-kira 6,000 di huni oleh penduduk, semestinya kemampuan pengawasan dan peninjauan bukan sahaja secara terbuka menggunakan pesawat udara mahupun kapal permukaan, namun secara sulit, seperti menggunakan kapal selam seharusnya dimiliki. Apa lagi ketika berlakunya konflik atau pencerobohan oleh kapal-kapal tentera asing dilaluan-laluan atau perairan antara kepulauan miliknya. Selain itu hubungan antara negara tersebut denngan jiran-jirannya yang pada suatu masa dahulu agak kurang baik, seperti dengan Malaysia dan juga Australia berkemungkinan besar menyumbang kepada kenapa keputusan untuk memiliki kapal selam dibuat sebegitu awal berbanding negara-negara serantau yang lain. Kapal Selam juga terlibat secara langsung dalam Operasi Trikora yang menyaksikan bagaimana TNI telah melancarkan serangan amfibia dan lintas udara untuk menawan kembali Irian Barat yang kemudiannya dinamakan sebagai Irian Jaya dari tangan Belanda pada 1961. Sememangnya mempunyai kemampuan menyusup hampir ke kawasan pesisir pantai dengan menggunakan kapal selam adalah satu kelebihan. Ini kritikal untuk mengesan serta kemudiannya menghantar tim pendahulu yang bertindak contohnya untuk mencari atau ‘membuka laluan’ pendaratan amfibia dengan mematikan atau memusnahkan ranjau serta periuk api yang telah dipasang oleh pihak musuh yang mempertahankan kawasan pesisir pantainya. Tugas ini akan dipermudahkan jika pasukan khas pembuka laluan ini di bawa dengan kapal selam kerana ia mustahil dapat dikesan dengan sistem pengawasan radar udara dan permukaan serta mata kasar sekiranya kapal selam tersebut merapati kawasan pantai secara di bawah permukaan air sepenuhnya, apa lagi sekiranya dilakukan pada waktu malam.

Pada tahun 1977, Indonesia mengambil keputusan untuk terus mempertingkatkan kemampuan pasukan kapal selamnya dengan persetujuan untuk memperolehi dua buah kapal selam disel-elektrik jenis 209 Kelas 1300 buatan firma HDW dari Jerman. Pembinaan dilaksanakan pada tahun yang sama bagi kapal pertama, manakala kapal kedua pada tahun berikutnya dan kedua-dua kapal dilancarkan pada hari dan tahun yang sama pada September 1980. Kedua kapal selam yang mempunyai nombor penant 401 dan 402 ini dinamakan CAKRA dan NANGGALA, mempunyai panjang hampir 60 meter serta berat terapung 1,285 tan dengan kelajuan 21.5 knots apabila bergerak dibawah permukaan air. Mula digunakan pada 1981, ia kemudiannya menjalani proses peningkatan diantara tahun 1986 hingga 1989, satu proses yang mengambil masa kira-kira tiga tahun. Ia dianggap oleh banyak pihak sebagai terlalu lama serta menelan kos yang tinggi. Peningkatan kedua kemudiannya dilakukan sekali lagi pada kapal selam CAKRA pada 1993 hinggalah 1997, manakala kapal NANGGALA melaksanakan perkara sama dari tahun 1997 hinggalah 1999. Walaupun sebagai sebuah kapal selam baru namun dalam tempoh 18 tahun pertama khidmatnya dalam TNI, tujuh tahun darinya atau lebih dari 35% masa perkhidmatan platform tersebut dihabiskan di limbungan bagi tujuan pengubahsuaian dan peningkatan kemampuan. Apakah ini bermakna bahawa kapal selam 209 yang diperolehi pada peringkat awal adalah versi yang terlalu asas, atau tahap peningkatan teknologi kapal selam serta ancaman di kawasan serantau berubah dalam masa yang pantas membuatkan kedua kapal terpaksa menjalani proses peningkatan kemampuan dalam tempoh masa antaranya yang singkat tidak dapat dikenal pasti. Pada tahun 2004 buat kali yang ketiga, kapal CAKRA telah melalui program peningkatannya, tetapi kali ini di Korea Selatan untuk tempoh jangkamasa dua tahun. Kapal tersebut kini telah beroperasi sepenuhnya dalam perkhidmatan TNI-AL dan keputusan untuk menghantar kapal kedua bagi melaksanakan proses yang sama bakal dilakukan tidak lama lagi dengan pilihan sama ada untuk dilaksanakan di Jerman atau di Korea Selatan. Korea Selatan dikatakan mempunyai peluang cerah kerana ia telahpun berjaya menjalankan program yang sama terhadap kapal KRI CAKRA di limbungan Daewoo Shipbuilding & Marine Technology. Selain itu ia juga kini mengoperasikan sembilan buah kapal jenis 209 buatan Jerman dalam armadanya yang mempunyai spesifikasi sama seperti kapal selam milik Indonesia.

Selain itu TNI-AL juga kini dikatakan sedang dalam proses membuat kajian terakhir mengenai perolehan dua buah lagi kapal selam untuk memperkukuhkan armada lautnya dalam tempoh jangkamasa dari 2011 hingga 2012. Tawaran dari dua negara telah disenarai pendekkan iaitu Rusia dan Korea Selatan. Rusia menawarkan kapal selam kelas Kilo, manakala Korea selatan dengan kapal selam kelas Changbogo. Korea Selatan dikatakan berminat untuk melaksanakan perolehan tersebut secara pertukaran dengan memperolehi lapan buah pesawat CN-235-220 buatan Indonesia bagi tujuan rondaan maritim dengan dua buah kapal selam Changbogo. Pihak Indonesia pula dikatakan mahu program pembinaan kapal selam Changbogo tersebut dilaksanakan di salah sebuah limbungan di Indonesia secara berlesen. Namun pihak Rusia turut mempunyai peluang yang tinggi untuk merebut tender perolehan tersebut memandangkan ia telah menawarkan kredit berjumlah USD1 billion kepada Indonesia dan hubungan baik antara kedua negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menyaksikan Indonesia memperolehi sejumlah pesawat udara, helikopter dan kenderaan berperisai dari Moscow. Menurut perancangan jangka panjang TNI-AL, ia bercadang untuk mendapatkan sehingga 12 buah kapal selam sebelum tahun 2024 untuk memantapkan kawalan perairan republik tersebut dari pelbagai ancaman.

Negara kedua yang memulakan program kapal selam di rantau ini adalah Singapura apabila ia mengumumkan pada 1995 bahawa ia bakal memperolehi sebuah kapal dari Sweden bagi tujuan ‘latihan’. Hakikat mahu mewujudkan sebuah unit kapal selam dalam RSN (Republic of Singapore Navy) akhirnya diumumkan apabila ia mengambil keputusan untuk memperolehi tiga buah lagi kapal pada 1997 sewaktu melancarkan kapal tersebut yang dinamakan RSS Challenger di limbungan Kockums, diMalmo, Sweden. Sebuah lagi turut diperolehi bagi tujuan sebagai simpanan alat ganti. Kapal–kapal ini adalah merupakan kapal kelas Sjoorman milik tentera laut Sweden yang ditauliahkan dalam perkhidmatan tentera lautnya pada pertengahan dan akhir tahun 60an. Ia dibaik pulih dan dipertingkatkan kemampuannya bersesuaian dengan kehendak beroperasi di kawasan tropikal di rantau Asia Tenggara.

Kapal yang dinamakan semula sebagai kelas Challenger dalam perkhidmatan RSN mempunyai panjang 51 meter dengan berat 1,200 tan apabila berada di bawah permukaan air dan mampu bergerak pada kelajuan 16 knots dengan tahap kedalaman maksima adalah 150 meter. Kapal kedua dan ketiga RSS Conquerer dan RSS Chieftain diterima pada 2000 dan 2002, manakala kapal terakhir RSS Centurion diterima pada Jun 2004. Perolehan ini dilihat memperkukuhkan tahap kesiap-siagaan armada Singapura dan menurut setengah pihak telah seakan menjadi katalis kepada perolehan-perolehan sistem kapal selam di Asia Tenggara.

Pada 2005, Singapura meneruskan perolehan dengan menambah dua buah lagi kapal selam kelas Vastergotland terpakai milik Sweden yang telah dibina untuk tentera laut Sweden pada tahun 1987. Kapal selam ini seperti perolehan kelas Challenger telah dipertingkatkan kemampuannya dan berbeza dengan kapal selam sebelumnya, ia dipasangkan dengan sistem kuasa pendorongan Stirling AIP. Ini bermakna kapal selam yang diklasifikasikan semula oleh Singapura sebagai kelas Archer bakal mempunyai kemampuan untuk berada dibawah permukaan air untuk satu tempoh jangkamasa yang lebih panjang berbanding kapal selam disel-elektrik biasa. Ini mampu mempertingkatkan keupayaan serta kemampuan tempurnya apabila terlibat dalam sesuatu konflik. Tempoh masa kapal selam ini mampu berada di dalam air akan bergantung kepada jumlah bekalan Oksigen cecair yang dibawa bersama di dalam kapal ketika ia belayar.

Program kapal selam Thailand pula mempunyai sejarah yang unik. Perkataan ‘sejarah’ diguna pakai oleh TEMPUR kerana program tersebut telahpun dimulakan sejak dari tahun 1959 lagi! Pada bulan Januari 1995, tahun sama Singapura mengumumkan perolehan kapal selam pertamanya, desas-desus mengenai perolehan kapal selam oleh Thailand telahpun bertiup kencang sejak dari bulan Januari. Kehendak angkatan laut Thailand untuk mendapatkan antara dua hingga tiga kapal selam akhirnya telah dipersetujui oleh kabinet negara Gajah Putih tersebut pada bulan April dengan arahan dikeluarkan agar angkatan lautnya memulakan proses pemilihan platform. Namun pada bulan Mac 1996, kabinet Thailand telah mengumumkan bahawa program tersebut terpaksa ditangguhkan dan dua bulan kemudian dalam satu keputusan yang dibuat secara tiba-tiba, ia dibatalkan terus. Namun seperti sebuah sabut yang sekejap tenggelam dan sekejap timbul, isu program kapal selam seakan tidak berpenghujung. Keadaan dalaman politik Thailand yang tidak menentu dan hubung-kait yang rapat antara institusi politik parti pemerintah dan angkatan tentera mungkin adalah antara sebab kenapa perkara ini berlaku. Pengumuman mengenai perolehan atau permulaan program di negara-negara serantau yang lain turut menjadikan ia sebagai satu isu, untuk tidak menampakkan bahawa tentera laut Thailand ketinggalan dalam ‘perlumbaan’ memperolehi kapal selam seperti negara-negara jirannya yang lain. Isu ini juga mungkin mahu digunakan oleh sesetengah parti politik Thailand bagi mendapatkan sokongan dari pemerintah-pemerintah tentera agar memberikan sokongan kepada kerajaan dibawah kepimpinan mereka yang dalam keadaan tidak stabil. Setelah kali terakhir program dibatalkan pada 1996, isu tersebut terus timbul kembali dan seperti lazimnya sejak dari tahun 1959, kemudiannya dibatalkan berulang kali, iaitu pada tahun-tahun 1998, 2000 dan 2003.

Vietnam pula dilihat sebagai mempunyai kemahuan untuk membangunkan program kapal selamnya. Namun dalam keadaan yang kekurangan dana, ia lebih selesa dengan melaksanakannya dalam skala yang sederhana. Ia telah memperolehi dua buah kapal selam mini (midget submarines) dari kelas Yugo dari pihak Korea Utara pada tahun 1997. Kapal selam ini walaupun dikatakan berkeupayaan untuk membawa dua torpedo, digunakan lebih kepada operasi-operasi yang melibatkan penghantaran anggota penyelam dan mungkin juga anggota-anggota pasukan khas laut. Dengan panjang hanya 20 meter ia mempunyai seramai empat krew serta enam hingga tujuh penumpang. Tujuan sebenar perolehan ini menurut sesetengah pemerhati adalah lebih kepada untuk memperkenal dan melatih anggota-anggota tentera lautnya dalam perkara berkaitan kapal selam. Anggota-anggota tentera laut India diberitakan kerap mengadakan lawatan disamping melatih tentera laut Vietnam sebagai satu persetujuan diantara keduanya. Ini memandangkan kedua-dua negara tersebut mempunyai kepentingan untuk mempastikan bahawa pengaruh China dapat diimbangkan di Laut China Selatan serta Laut Hindi. Pada awal tahun ini Vietnam telah menandatangani perjanjian dengan pihak Rusia untuk mendapatkan sejumlah enam buah kapal selam jenis Kilo dengan kos USD1.8 billion. Akhbar perdagangan harian Rusia, Kommersant melaporkan pada bulan April lalu bahawa sumber-sumber dari agensi nasional pengeksport sistem pertahanan Rusia, Rosobornexpot mengesahkan bahawa rundingan dengan pihak Vietnam telahpun berlangsung selama kira-kira setahun mengenai perolehan enam buah kapal selam tersebut. Kapal yang diklasifikasikan sebagai ‘Project 636’ ini mempunyai berat 2,300 tan dan mampu menyelam sehingga pada kedalaman 350 meter. Ini merupakan satu lonjakan yang mendadak buat kemampuan Vietnam dan dianggap oleh banyak pihak sebagai langkah awal oleh Hanoi untuk cuba mengekang pengaruh angkatan maritim China yang dilihat semakin menular di Asia Tenggara. Sebagai satu-satunya negara Asean yang pernah berperang dengan China dan mempunyai tuntutan bertindih terhadap kepulauan Spratley, sememangnya kapal selam dianggap sebagai platform yang amat kritikal kepada Vietnam.

Pasifik – medan tempur kapal selam akan datang?
Dalam sejarah peperangan moden pertembungan atau boleh juga dikatakan sebagai ‘pertempuran’ antara kapal permukaan mahupun kapal selam dengan kapal selam lain adalah sesuatu yang jarang berlaku. Kali terakhir sebuah kapal selam menenggelamkan sebuah kapal Perang di era konflik maritim moden ialah ketika peperangan Falklands pada tahun 1982. Dalam insiden tersebut sebuah kapal selam berkuasa nuklear Britain, HMS Conqueror telah melepaskan dua torpedo yang tepat mengenai sasarannya lalu meneggelamkan kapal kruiser Argentina, General Belgrano, sebuah kapal peninggalan tentera laut Amerika Syarikat yang tidak dilengkapkan dengan sistem sonar.

Walaupun jarang berlaku, namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil akan berlaku sekali lagi dalam mana-mana konflik yang mungkin tercetus pada bila-bila dan dimana sahaja. Hari ini penyebaran pemilikan sistem kapal selam terutamanya kapal dari jenis disel-elektrik dilihat semakin meluas. Tidak ada kawasan yang mengalami transformasi yang begitu hebat dalam masa singkat mengenai pemilikan kapal selam-kapal selam disel-elektrik baru jika dibandingkan dengan apa yang berlaku di kalangan negara-negara dalam kawasan lingkungan lautan Pasifik. Keadaan dianggap sangat serius sehinggakan pada 2004, menurut Laksamana Joseph Walsh yang merupakan komander kepada armada kapal selam Amerika Syarikat di kawasan Pasifik, pihak tentera laut Amerika membuat keputusan untuk memindahkan enam buah kapal selam dari armada kapal selam lautan Atlantiknya ke kawasan dibawah pemerintahan beliau. Ini menurut beliau lagi ialah kerana terdapat kira-kira 140 buah kapal selam disel-elektrik dari pelbagai negara yang berkemampuan untuk beroperasi di kawasan-kawasan atau laluan maritim yang dikenal pasti sebagai kawasan jerutan atau ‘choke points’ yang mampu menggugat penguasaan ekonomi dan ketenteraan global Amerika Syarikat.

Salah satu kawasan yang dimaksudkan sebagai kawasan jerutan ialah kawasan Selat Melaka yang merupakan kawasan lalauan maritim sepanjang kira-kira 1,015 kilometer. Walaupun agak tidak menentu lebarnya di sepanjang laluan tersebut, pada kawasan yang paling sempit laluannya, lebar kawasan adalah hanya 2.4 kilometer sahaja. Kawasan ini dianggap sebagai begitu kritikal kepada ekonomi dunia kerana setiap tahun kira-kira 50,000 buah kapal melaluinya dengan membawa ¼ dari dagangan global termasuklah kira-kira 15 juta tong minyak mentah setiap hari. Selain itu ia juga bersempadanan dengan Laut China Selatan serta Laut Hindi yang turut mempunyai sejarah pergolakannya tersendiri. Kawasan Laut China Selatan umpamanya menyaksikan perebutan kawasan zon ekonomi eksklusif yang rumit melibatkan pelbagai negara termasuk China, Taiwan, Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei dan juga Indonesia. Kawasan Laut Sulawesi juga dikatakan berpotensi untuk mencetuskan konflik antara dua jiran, iaitu Malaysia dan Indonesia. Peristiwa pada awal tahun 2005 antara kapal-kapal TLDM dan TNI-AL di kawasan Ambalat sudah cukup memberikan gambaran bagaimana mudahnya sesuatu pertelingkahan mahupun salah faham berupaya mencetuskan ketegangan yang kemudiannya menjurus kepada konflik ketenteraan. Kawasan yang berpotensi mencetuskan konflik maritim ini juga tidak terhad di kawasan Asia Tenggara, malah menular ke utara sehingga ke semenanjung Korea dan Jepun. Jepun, Rusia, China dan Korea Selatan kesemunya mempunyai tuntutan dan konflik terhadap kawasan-kawasan kepulauan seperti Takeshima/Dokdo, Kuril Selatan serta kepulauan Senkaku/Diaoya.

China adalah merupakan antara pengguna Selat Melaka yang dianggap paling utama. Ia dilihat sebagai salah satu talian bekalan minyak mentah yang utama baginya. Sebarang gangguan terhadap perjalanan kapal-kapal komersial di Selat Melaka akan memberikan kesan yang buruk terhadap ekonomi China. Oleh yang demikian ia kini giat menjalin persefahaman di samping membina pangkalan-pangkalan hadapan di Laut Hindi yang boleh dijadikan batu loncatan dan mengelakkan penggunaan kawasan-kawasan jerutan seperti Selat Melaka dan juga Selat Hormuz yang pasti sahaja akan menjadi tumpuan pihak yang bertelagah, terutamanya kuasa-kuasa besar yang akan cuba menutup laluan tersebut demi kepentingan strategik dan ketenteraan mereka jika konflik tercetus di Asia Tenggara. China kini telah membina prasarana pelabuhan di Gwadar, Pakistan, di Akyab, Cheduba dan Bassein di Myanmar, serta di Kepulauan Coco dan Chittagong di Bangladesh. Ini bakal membolehkan mereka umpamanya meneruskan penghantaran dan penerimaan bahan mentah melalui jalan darat sekiranya Selat Melaka ditutup akibat sekatan ketika konflik.

China juga dikatakan bakal mula secara aktif membangunkan armada tentera lautnya, terutama yang berkaitan dengan armada kapal selam. Ini dipercayai bersesuaian dengan doktrin tentera lautnya yang pada satu masa dahulu hanya berpaksikan kepada prinsip ‘pertahanan aktif’ kepada yang berkonsepkan kepada ‘tindak balas pencegahan awal’ atau ‘pre-emptive response’ yang mahu direalisasikan mereka menjelang 2020. Hari ini China mempunyai jumlah kapal selam yang paling banyak berbanding mana-mana negara Asia dengan kira-kira 60 buah kapal selam disel-elektrik serta sejumlah 10 kapal selam berkuasa nuklear. Sebuah markas kapal selam baru kini sedang turut dibina di Pulau Hainan di kawasan Laut China Selatan.

Bagi mengimbangi kuasa maritim China di Laut Hindi, India bertindak dengan membuka Markas Tentera Laut Timur Jauh atau FENC (Far Eastern Naval Command) di Port Blair, kepulauan Andaman yang mampu memantau pergerakan kapal-kapal tentera laut China disamping melaksanakan pengunjuran kuasa sehingga ke kawasan Selat Melaka dan Laut China Selatan. India juga pada bulan Julai yang lalu telah melancarkan kapal selam nuklear yang pertamanya, ARIHANT yang dibina dengan kerjasama pihak Rusia. Kapal selam ini mempunyai berat sehingga 6,000 tan dan berkemampuan untuk membawa dan melancarkan peluru berpandu balistik (SLBM – Submarine Launched Ballistic Missile). India juga bercadang untuk memperolehi dua buah kapal selam nuklear kelas Akula dari pihak Rusia pada penghujung tahun ini dengan kos yang dianggarkan bernilai USD2 billion serta enam buah kapal selam Scorpene dari Perancis.

Satu lagi kuasa yang tentu sahaja bakal terlibat dalam mana-mana konflik maritim di Asia Tenggara, sama ada untuk menjaga kepentingannya mahupun sebagai proksi kepada polisi Amerika Syarikat, adalah Australia. Ia mempunyai sejumlah enam buah kapal selam Kelas Collins yang ditauliah dalam perkhidmatan tentera lautnya dari kapal yang pertama pada 1999 hinggalah kapal terakhir pada 2003. Kapal Kelas Collins adalah merupakan kapal jenis Kockums 471 yang direkabentuk oleh Sweden. Ia dilengkapkan dengan sistem Stirling AIP yang membolehkan kapal Kelas Collins beroperasi untuk satu tempoh yang lama di bawah permukaan air. Ia mempunyai sifat fizikal panjang 77.8 meter dengan berat 3,051 tan diatas permukaan dan mempunyai seramai 42 krew serta membawa bersamanya sistem peluru berpandu Sub Harpoon dan torpedo Gould Mk48. Dalam pembentangan ‘Kertas Putih Pertahanan’ baru-baru ini, Kementerian Pertahanan Australia berharap kekuatan platform kapal selamnya bakal terus dipertingkatkan sekali ganda, atau sebanyak 12 buah kapal selam menjelang tahun 2030.

Dalam apa jua konflik maritim di kawasan Pasifik, Laut Hindi dan juga Laut China Selatan, tentunya negara-negara yang memiliki kapal selam akan melaksanakan pelbagai operasi dan gerakan untuk mengekalkan penguasaan di kawasan pesisir pantainya, disamping menghalang sebarang percubaan pihak musuh untuk mendominasi laluan atau kawasan strategik yang akan membuka jalan untuk contohnya pendaratan amfibia dan serangan darat. Dengan penumpuan negara-negara litoral untuk melindungi kawasan zon ekonomi eksklusif, kawasan maritim yang kaya dengan bahan galian serta untuk kegiatan penangkapan ikan komersial yang dilihat semakin mengecil, maka tidak hairanlah bahawa negara-negara yang dianggap sedang membangun atau yang pada suatu masa dahulu dianggap tidak berminat untuk membangunkan pasukan kapal selam dalam armada tentera lautnya, kini telah berubah haluan.

Tamatnya Perang Dingin – katalis kepada perolehan kuasa tempur bawah permukaan
Pada ketika era Perang Dingin, negara-negara yang mengoperasikan kapal selam, khususnya kapal selam nuklear dilihat mempunyai dominasi yang ketara dalam kuasa pertempuran bawah permukaan air. Penguasaan pihak Amerika Syarikat dengan Soviet Union terutamanya dengan kewujudan kapal selam-kapal selam berkuasa nuklear yang mampu melancarkan peluru berpandu antara benua dengan kepala peledak pemusnah besar-besaran adalah mutlak dan tidak mampu dicabar. Segala-galanya mula berubah apabila empayar Soviet Union serta cengkaman Rusia terhadap republik-republiknya dan negara-negara Eropah Timur yang terikat dengan Pakatan Warsaw tumbang bersama-sama tembok Berlin.

Tamatnya Perang Dingin juga menyaksikan bagaimana halangan kepada perolehan sistem-sistem ketenteran bernilai tinggi yang hanya boleh diperolehi oleh negara tertentu dari sumber blok mengikut fahaman politik dan ideologi turut hilang. Negara-negara bekas republik Soviet Union serta Pakatan Warsaw terutamanya menghadapi pelbagai krisis ekonomi dan kewangan, kesan dari berpuluh tahun mengamalkan sistem ekonomi yang bersubsidi sepenuhnya, negara-negara tersebut gagal bersaing di pentas ekonomi bebas. Kesempitan ini menyebabkan sebahagian cuba mencari jalan paling mudah untuk mendapatkan dana yang mampu mengukuhkan semula ekonomi mereka. Memandangkan pada era Perang Dingin, pihak Soviet Union memberikan tumpuan kepada industri pertahanan bagi membuat persediaan untuk menghalang dominasi NATO dan Amerika Syarikat, apabila empayar Soviet runtuh, sebahagian besar negara Pakatan Warsaw dan Soviet Union mendapati bahawa mereka mempunyai industri serta produk pertahanan yang dianggap tidak berpadanan dengan tahap ancaman yang semakin reda. Malah sebahagian dari negara-negara tersebut berubah angin dan kini menjadi anggota negara Pakatan NATO.

Perkara yang sama turut sedikit sebanyak berlaku kepada negara-negara NATO dan mereka juga mendapati bahawa selepas era Perang Dingin, mereka memiliki sejumlah sistem persenjataan yang banyak yang tidak mampu dioperasikan secara praktikal tanpa kos yang tinggi. Akibat langsung dari apa yang berlaku, negara-negara Eropah Barat dan Timur mula membuka gedung sistem persenjataan mereka kepada negara-negara yang berminat untuk memperolehinya. Ini termasuklah sistem-sistem utama seperti kapal ronda, kereta kebal, pesawat udara, sistem peluru berpandu, senjata ringan dan pelbagai lagi. Akibat ketiadaan ancaman yang jelas, negara-negara Eropah Barat juga merasakan bahawa mereka tidak sepatutnya terus terikat dengan polisi Amerika Syarikat sepenuhnya dalam pelbagai perkara, termasuklah had dan kekangan penjualan sistem persenjataan yang sebelum ini perlu dipatuhi demi menjamin keselamatan sempadan negara masing-masing dari ancaman Soviet Union. Rusia yang kehilangan sebahagian dari sumber kewangannya apabila banyak negara-negara yang selama ini berada dibawah penguasaannya mengistiharkan kemerdekaan turut tertekan dengan keadaan ekonomi yang semakin meruncing.

Dalam keadaan senario global yang sedemikian, sumber kewangan atau dana luar yang dianggap paling mudah diperolehi oleh negara-negara yang mengalami masalah sedemikian seperti Rusia, ialah dengan mengeksport platform dan teknologi ketenteraan yang mempunyai nilai strategik tinggi. Ini terutamanya benar dalam penjualan jet-jet tempur dan pejuang seperti MiG dan Sukhoi, sistem peluru berpandu anti-permukaan jarak jauh dan tentunya platform yang turut mempunyai tanda harga dan nilai yang tinggi iaitu kapal selam. Rusia sejak dari awal tahun 90an telah mula secara agresif mempromosikan sistem-sistem kapal selam yang dihasilkannya di samping teknologi yang berkaitan. Selain dari menawarkan aset yang dianggap paling terkini ia juga menawarkan pakej pembelian yang amat menarik dengan menerima bayaran secara pertukaran dengan komoditi atau memberikan jaminan pinjaman yang bernilai tinggi.

Menurut firma Rosoboronexport yang ditugaskan oleh kerajaan Rusia untuk menguruskan kesemua penjualan sistem persenjataan utama negara tersebut, dijangkakan bahawa menjelang 2015, Rusia akan dapat menjual sehingga 40 buah kapal selam disel-elektrik generasi keempat kepada negara luar. Dua kapal selam yang mendapat permintaan paling tinggi adalah kapal selam Kilo Project 636 dan kelas Amur 1650 yang dilengkapkan bersama sistem peluru berpandu Club S. Kapal selam kelas Kilo dianggap sebagai antara kapal selam disel-elektrik paling senyap di dunia dan dibina bagi tujuan operasi anti-kapal permukaan serta kapal selam. Sehingga Jun tahun ini, Rusia telah membina kapal selam Kilo bagi dibekalkan kepada India, China dan Iran. Selain itu negara-negera seperti Algeria dan Indonesia dianggap sebagai antara pelanggan sistem dan platform ketenteraan maritim Rusia yang utama.

Bagi negara-negara pengeluar kapal selam Barat, pasaran bagi kapal selam dilihat terus mempunyai potensi yang tinggi. Firma Jerman HDW umpamanya sejak dari tahun 1994 hingga 2005 telah membina secara sendirian atau secara perkongsian dengan negara atau firma lain sebanyak 21 buah kapal selam pelbagai versi kepada negara-negara seperti Afrika Selatan, Greece, Korea Selatan, Portugal dan Israel. Antara kapal selam yang dieksport oleh Jerman termasuklah jenis 209, 212 dan 214. Perancis pula sejak dari tahun 1994 hingga 2005 telahpun membina atau dalam proses pembinaan sejumlah 13 buah kapal selam dari jenis Scorpene dan Agosta B untuk negara-negara seperti Pakistan, Chile, Malaysia dan India. Disebabkan permintaan yang tinggi dari negara-negara membangun, program atau perolehan kapal selam kini menjadi satu aktiviti yang sangat kompetatif. Ini kerana tidak seperti ketika era-Perang Dingin, negara pembeli hari ini mempunyai pilihan yang lebih terbuka tanpa perlu terikat kepada blok ideologi mahupun fahaman politik dalam menetapkan aset atau platform kapal selam manakah yang dilihat bersesuaian dengan kehendak dan bajet yang dimiliki mereka. Kemudahan untuk mendapatkan kapal selam serta sistem sokongan selepas jualan yang kini ditawarkan oleh negara-negara serta firma pengeluar telah mewujudkan satu persekitaran yang kondusif untuk sesebuah negara mendapatkan platform kapal selam, walaupun ianya bukanlah satu aset yang boleh dianggap murah kos perolehannya.

Dengan berlatar-belakangkan senario politik dan kepentingan strategik negara-negara global dan serantau, tentunya Malaysia tidak lagi berupaya untuk menolak hakikat mengenai peri-pentingnya mempunyai aset kapal selam dalam armada angkatan lautnya. Ini perlu agar ia dapat mengimbangi kehendak dan kemahuan berkaitan kedaulatan kawasan sempadan, zon ekonomi eksklusif serta kemampuan beroperasi dengan efektif apabila berhadapan dengan ancaman. Keadaan ini menjadi bertambah mendesak apabila Malaysia mengumumkan secara unilateral bahawa ia akan menguatkuasakan haknya ke atas Zon Ekonomi Eksklusif sejauh 200 batu nautika dari pesisir pantainya. Dalam keadaan sedemikian pemilikan kapal selam dilihat menjadi semakin kritikal kerana ia memiliki daya deteren atau cegah rintang yang amat tinggi kepada mana-mana kuasa yang cuba mencabul hak dan kedaulatan kawasan litoral negara. Kealpaan untuk mempersiapkan kelengkapan, platform dan sistem armada umpamanya adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang mudah. Ia mestilah sejajar dengan ancaman semasa yang dianggap kredibel dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan TLDM mahupun negara bakal menghadapi kejutan pada masa hadapan.

Contoh bagaimana ini boleh berlaku dapat diambil dari peritiwa yang melibatkan Bangladesh dan Myanmar. Bagi tentera laut Bangladesh, kemudahan untuk kapal-kapalnya belayar keluar dari Teluk Benggala adalah merupakan satu kepentingan strategik. Pada bulan November tahun 2008, Burma telah membina sebuah pelantar bagi tujuan penyelidikan di kawasan perairan yang dituntut oleh Bangladesh sebagai sebahagian dari perairan mereka. Ini dikatakan telah menyebabkan kedua-dua negara bertelagah. Ia dianggap sebagai satu amaran awal kepada Bangladesh mengenai bagaimana sekiranya pembangunan kekuatan armadanya terabai, maka sukar untuk negara tersebut bertindak balas atau melaksanakan rundingan dalam keadaan ia memiliki inisiatif kekuatan angkatan maritim berbanding Myanmar. Rentetan dari peristiwa tersebut, tentera laut Bangladesh telah menghasilkan pelan pembangunan angkatan laut yang bakal memakan masa 10 tahun untuk menjadikan armadanya sebagai sebuah armada yang mempunyai kekuatan dan berkemampuan untuk beroperasi dalam tiga dimensi, permukaan, udara dan bawah permukaan. Dimensi bawah permukaan tentunya bermakna kemampuan untuk melaksanakan operasi menggunakan aset kapal selam, yang bakal diperolehi, menurut tentera laut Bangladesh, sebelum tahun 2019.

Jumlah dan Kemampuan
Satu isu yang kerap dibangkitkan umum ialah berapakah jumlah kapal selam yang dianggap memadai bagi mengawal perairan negara, agar ia terus kekal aman dan berdaulat. Sememangnya dua buah kapal selam jenis Scorpene yang telah diperolehi oleh Malaysia tidak akan mampu mengawasi perairan negara secara komprehensif memandangkan keluasan kawasan litoral yang dimiliki Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat adalah kira-kira 598,450 kilometer persegi. Malah dalam beberapa temubual media dengan Panglima TLDM sempena ketibaan kapal selam pertama milik TLDM, beliau menyatakan bahawa jumlah yang dianggap optima perlu dimiliki oleh angkatan tersebut adalah sebanyak enam buah, atau sebuah skuadron. Jumlah ini dianggap sebagai efektif bukan sahaja dari sudut pengoperasian tetapi juga dari aspek kos prasarana, selenggaraan, pembaikan dan pengoperasian sebilang masa. Ini juga tidak bermakna bahawa dengan hanya dua kapal selam sahaja yang wujud dalam inventori TLDM tidak lama lagi, maka ia tidak mampu memainkan sebarang peranan yang boleh dianggap kritikal kepada keselamatan negara. Apa yang memberikan kelebihan kepada TLDM ialah walau dengan jumlah dua kapal selam yang kini dimilikinya, kedua-dua platform adalah antara kapal selam paling moden dalam kelasnya dan berkemampuan tinggi. Ini memberikan kelebihan kepada krew kapal selam untuk beroperasi dengan efisyen dan efektif.

Salah satu sifat Scorpene yang dianggap sebagai kekuatannya ialah tahap penghasilan bunyi yang amat rendah apabila berada di bawah permukaan air. Selain itu dari segi kemampuan kuasa tembakan, ia turut membawa peluru berpandu dan juga sistem torpedo yang berkuasa tinggi dan mampu memusnahkan musuhnya baik kapal permukaan mahupun kapal selam yang lain tanpa masalah. Ancaman ini dianggap oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat sebagai sesuatu yang amat serius dan perlu ditangani segera. Kesedaran mengenai ancaman yang bakal dihadapi oleh armada kapal selam Amerika Syarikat dari kapal selam-kapal selam baru jenis disel-elektrik yang dihasilkan oleh negara-negara Barat seperti Jerman, Sweden, Perancis dan Belanda yang kini dimiliki oleh negara-negara di rantau Asia Pasifik adalah sesuatu yang agak baru bagi mereka.

Kemampuan armada kapal selam Amerika Syarikat pada suatu masa dahulu boleh dianggap antara yang terbaik di dunia. Tugas mereka pada era perang Dingin adalah untuk mencari, menjejak dan memantau pergerakan kapal selam-kapal selam nuklear Soviet Union sebilang masa. Sejak dari awal tahun 90an, kapal selam yang menjadi seteru utama mereka di laut dalam di serata dunia telah mula hilang taringnya. Sebahagian besar dari kapal selam-kapal selam Soviet Union tidak dapat dioperasikan dengan efektif akibat kekurangan dana dan kemelesetan ekonomi Rusia yang teruk selepas Perang Dingin tamat. Dengan ketiadaan dana, proses sengaraan dan peningkatan kemampuan gagal dilaksana menyebabkan platform-platform itu tidak lagi selamat untuk digunakan. Kapal-kapal ini dibiarkan mereput di limbungan-limbungan tentera laut Rusia. Bagi pihak tentera laut Amerika Syarikat, selama sedekad ini, ia tidak perlu lagi bertungkus-lumus menghantar kapal selam-kapal selam nuklearnya ke serata pelusuk lautan bagi memburu kapal selam Soviet. Malah ia turut sama membekukan beberapa program berkaitan latihan dan operasi kapal selam memandangkan tidak ada lagi keperluan yang mendesak untuk berbuat demikian. Beberapa jenis pesawat udara yang satu masa dahulu ditugaskan secara khusus untuk mencari dan memusnah kapal selam telah tidak diguna pakai dan dilucutkan tauliah. Menjelang tahun 2000, tentera laut Amerika mendapati bahawa ia mempunyai jumlah kapal yang paling sedikit dalam inventorinya berbanding mana-mana tempoh masa sejak dari Perang Dunia Pertama. Penumpuan yang lebih diberikan terhadap pembinaan kapal-kapal pengangkut pesawat dan kapal pengiringnya serta sistem peluru berpandu jarak jauh.

Dalam latihan-latihan serta setelah menilai trend perolehan kapal selam disel-elektrik oleh negara-negara di rantau Pasifik, tentera laut Amerika Syarikat dibawah kelolaan Vernon Clarke yang merupakan Laksamana Operasi Tentera Laut pada 2004 telah menubuhkan satu organisasi yang akan memberikan penumpuan khusus terhadap peperangan anti-kapal selam. Beliau sendiri pada penghujung tahun 2004 telah meluluskan satu pelan induk atau ‘anti-submarine master plan’ serta konsep operasi yang bakal menangani ancaman kapal selam disel-elektrik. Ini adalah kali pertama sejak tahun 1991, tentera laut Amerika Syarikat melaksanakan pelan induk bagi menangani ancaman dari kapal selam. Tempoh masa 13 tahun yang berlalu semenjak kajian akhir ancaman kapal selam yang dibuat pada 1991 memperlihatkan bagaimana sebaik empayar Soviet Union runtuh, ancaman kapal selam nuklear Beruang Merah tersebut tidak lagi diletakkan sebagai ancaman utama kepada Amerika Syarikat. Dalam tempoh masa tersebut kepakaran krew dan pengendalian sistem serta peralatan bagi peperangan anti-kapal selam dikatakan telah merosot di kalangan krew platform pasukan anti kapal selam (ASW (Anti-Submarine Warfare) negara tersebut. Ketiadaan ‘musuh’ untuk mempertingkatkan penguasaan kecekapan penggunaan sistem dan peralatan mengundang kelemahan. Selain itu memandangkan Amerika Syarikat tidak lagi menghasilkan sistem kapal selam disel-elektrik, ia juga serba kekurangan dalam kemahiran dan pengetahuan mengenai teknologi terkini, kekuatan dan kelemahan sistem kapal selam yang sedemikian.

Pada 2005, sejurus selepas pelan induk peperangan anti-kapal selam dirumuskan oleh tentera laut Amerika Syarikat ia telah melaksanakan beberapa siri latihan yang dipercayai bagi tujuan untuk menguji keberkesanan teknik dan taktik peperangan kapal selamnya terhadap .musuh’ yang mengggunakan kapal selam disel-elektrik. Apa yang berlaku jelas sekali agak mengejutkan mereka. Hasil satu latihan yang diadakan bersama dengan kapal selam Sweden, Amerika Syarikat mengambil keputusan untuk menyewa kapal selam disel-elektrik Gotland dari negara tersebut pada Mei 2005 untuk tempoh janghkamasa setahun. Menurut laporan akhbar Sweden ‘Blekinge Lans Tidnig’, pihak Amerika mula menunjukkan minat terhadap keupayaan kapal selam yang dilengkapi dengan sistem AIP apabila ia gagal mengesan dan memantaunya dalam satu siri latihan bersama. Pada Mac 2006, sekali lagi Amerika Syarikat telah menyatakan keinginan mereka untuk melanjutkan tempoh sewaan kapal selam tersebut sehingga setahun lagi. Ini mungkin kerana mereka tidak berpuas hati dengan natijah latihan yang telah diadakan bersama-sama kapal selam Gotland pada penghujung tahun 2005. Dalam satu latihan yang diadakan antara 6 hingga 16 Disember 2005 itu, bersama-sama kumpulan armada kapal pengangkut pesawat (Carrier Strike Group) Ronald Reagan di pesisir pantai California, kapal selam Gotland telah berjaya mengambil foto kapal pengangkut pesawat tersebut dari jarak dekat menggunakan periskopnya. Dalam siri latihan kapal selam, jika sebuah kapal selam dapat mengambil foto mana-mana kapal permukaan secara langsung menggunakan periskop serangannya, ia seakan sama seperti kapal selam tersebut telah melepaskan torpedonya terhadap sasaran itu. Ia dianggap sebagai satu ‘strike’ atau tembakan yang tepat mengenai sasarannya. Apa yang menyukarkan keadaan ialah kapal selam Gotland mempunyai sistem Sterling AIP yang membolehkan ia berfungsi di bawah permukaan air sehingga dua minggu tanpa menggunakan enjin diselnya. Ini bermakna kapal mampu beroperasi dalam keadaan yang sangat senyap. Dalam operasi, enjin disel akan hanya diguna pakai ketika kapal mahu masuk atau keluar dari pelabuhan sahaja. Latihan tersebut telah dilakukan dikawasan laut dalam dan menurut pegawai memerintah kapal selam Gotland yang terlibat dalam latihan, jika latihan sama diadakan di kawasan pesisir pantai, ia akan memberikan masalah yang lebih besar kepada krew sistem mencari dan memusnah di pihak armada Amerika Syarikat. Kawasan pesisir pantai mempunyai banyak gangguan baik semula jadi mahupun buatan manusia seperti tahap kemasinan air yang berlapis dan tidak menentu serta pelbagai ‘bunyi’ sonar dari bangkai kapal dan bot karam serta dari kapal-kapal permukaan komersial yang melalui kawasan sama. Ini akan merumitkan tugasan mengesan dan memantau kehadiran kapal selam musuh dengan tepat dan berkesan.

Pada 26 Oktober 2006, ketika kapal pengangkut pesawat CV-63 Kitty Hawk belayar di Laut Timur China, sebuah kapal selam disel-elektrik China dari Kelas Song dikatakan telah mengapung pada kedudukan kira-kira lapan kilometer dari kapal pengangkut pesawat itu. Kapal selam tersebut telah dapat dikesan oleh sebuah pesawat peninjau maritim yang berpangkalan dari geladak Kitty Hawk. Perkembangan ini dikatakan telah mengejutkan kepimpinan tentera laut Amerika Syarikat kerana kehadiran kapal tersebut telah tidak dapat di kesan oleh kapal-kapal pengiring serta sekurang-kurangynya dua kapal selam Amerika yang turut sama belayar bersama kumpulan armada kapal pengangkut pesawat tersebut. Ini termasuklah sekurang-kuranya dua kapal kruiser peluru berpandu, dua kapal anti-pesawat udara dan sebuah arau dua kapal friget atau pemusnah anti-kapal selam. Untuk sebuah kapal selam berjaya menghampiri kapal induk kumpulan armada adalah sesuatu yang benar-benar membimbangkan kerana secara teorinya jika apa yang berlaku terjadi sewaktu berlaku konflik antara Amerika Syarikat dan China, kapal pengangkut pesawat tersebut dikatakan pasti sahaja akan ditenggelamkan. Akibat dari peristiwa ini sekali lagi tentera laut Amerika telah mengarahkan agar dontrik dan taktik bagi sistem pertahanan anti-kapal selam untuk kumpulan armada kapal pengangkut pesawat dikaji semula untuk mengenal pasti kelemahan atau kekurangan yang membolehkan kapal selam Chian berjaya merapati Kitty Hawk tanpa dapat dikesan terlebih dahulu.

Kebimbangan mengenai kemam-puan hakiki kapal selam disel-elektrik dalam konflik maritim moden sebenarnya telahpun disuarakan oleh Laksamana Muda James Williams dari tentera laut Amerika Syarikat seawal tahun 1994. Beliau menyatakan bahawa sekiranya presiden Iraq, Saddam Hussein memilki enam buah kapal selam dan memposisikan hanya tiga buah darinya di kedua-dua belah Selat Hormuz, tentera laut Amerika Syarikat akan menghadapi pelbagai masalah dan kerumitan untuk beroperasi sepertimana yang dimahukan. Ini kerana ciri-ciiri operasi, doktrin dan taktik yang digunakan oleh kapal-kapal permukaan akan terpaksa diubah-suai jika terdapat tanda-tanda positif bahawa perairan yang digunakan mempunyai beberapa buah kapal selam musuh yang sedang sedia menanti. Masa terbuang dan aset yang banyak akan terpaksa di gembeling hanya untuk mencari sebuah kapal selam dan ini akan turut memberikan kesan kepada perjalanan operasi bersepadu yang turut melibatkan serangan atau pendaratan aset tentera darat. Ini kerana sebahagian besar dari kelengkapan dan bekalan logistik bagi sebuah pasukan angkatan tentera darat yang bermobiliti tinggi bakal memerlukan sokongan bekalan bahan bakar, air, peluru dan makanan bagi mengekalkan momentum operasi. Kesemua bekalan ini lazimnya akan dibawa oleh kapal pengangkut tentera laut. Selagi kapal selam musuh tidak dapat dikesan atau dimusnahkan, maka selagi itulah tempoh operasi untuk mencari dan memusnahkannya perlu dikekalkan sebilang masa dan mana-mana platform permukaan pasukan sahabat yang berada di kawasan sekitar akan terdedah kepada serangan torpedo atau peluru berpandu.

TLDM harus mengorak langkah ke hadapan
Dari apa yang telah dipaparkan ini ia jelas menunjukkan bahawa keputusan untuk memperolehi kapal selam Scopene bagi TLDM adalah sesuatu yang tepat pada masanya. Bagi yang menyatakan bahawa kawasan litoral negara adalah terlalu cetek untuk digunakan oleh kapal selam, tentunya mereka harus sedar bahawa jika itulah sebabnya, maka kenapakah jiran serantau terus menerus membangunkan armada kapal selamnya. Bahkan secara logiknya setelah hampir sepuluh tahun angkatan tentera laut Singapura mengoperasikan kapal selam pertamanya dirantau ini, kenapa ia terus menambah bilangan untuk mendapatkan kapal selam yang lebih berkemampuan? Tentunya jika benar bahawa penggunaannya tidak sesuai, RSN tidak akan menambah jumlah bilangan tersebut.

Bagi TLDM walaupun jumlah kapal selam yang dimilikinya dalam tempoh jangkamasa yang terdekat ini hanyalah dua buah, namun seperti yang ditegaskan oleh Laksamana Muda James Williams, ia sudah cukup untuk menjadi bukan sahaja sebagai satu ancaman pencegahan awal (deteren) tetapi juga sebagai ancaman hakiki ketika konflik berlaku. Masa, aset dan kos yang perlu diguna pakai oleh sebuah armada hanya untuk mencari sebuah kapal selam musuh yang diketahui beroperasi hampir dengannya adalah amat tinggi. Ini menjadikan pergerakan dan aktiviti maritim kapal-kapal tersebut terpaksa dihadkan di kawasan atau kedalaman tertentu sehingglah ancaman kapal selam berjaya dihapuskan. Penenggelaman kapal-kapal utama sebuah armada akan mempunyai kesan yang amat besar kepada semangat bukan sahaja sebuah angkatan tentera, tetapi juga sokongan terhadap peperangan tersebut di kalanagan masyarakat umum sesebuah negara yang bertindak agresif memulakan konflik tersebut. Malah tidak ramai yang mengetahui bahawa peperangan Falklands mungkin berubah keputusannya jika kapal selam Argentina berjaya memusnahkan kapal-kapal armada Britain sebelum ia sempat sampai ke kawasan perairan kepulauan tersebut. Sebuah kapal selam jenis 209 Argentina, San Luis dikatakan telah berjaya menembusi pertahanan dan mengelakkan dari di kesan oleh 15 buah kapal figet dan sebuah kapal pengangkut anti-kapal selam British tanpa dikesan. Ia berjaya melancarkan tiga buah torpedo, namun kesemua torpedonya telah sama ada gagal berfungsi atau tersasar dari sasarannya.

Diperingkat politik serantau dan global, kewujudan kapal selam dalam sebuah angkatan laut akan dapat memberikan satu kelebihan dari segi kekuatan kuasa rundingan bag menyelesaikan seuatu konflik diperingkat permulaan lagi. Bagi sebuah negara litoral seperti Malaysia, faktor tersebut adalah lebih kritikal kerana dalam apa jua sengketa yang berlaku di pesisir pantai negara, maka tentu sekali TLDM akan dipertanggungjawabkan sama ada untuk mengekalkan laluan Selat Melaka terbuka kepada kapal dagang atau sebaliknya. Ini adalah sesuatu yang amat penting dan mustahil dapat dilakukan dengan hanya mempunyai kapal-kapal permukaan. Implikasi kekuatan kuasa rundingan yang dipegang oleh negara-negara yang berkongsi persempadanan dengan Selat Melaka adalah amat tinggi nilainya kerana ¼ dari komoditi ekonomi global bergantung kepada laluan tersebut. Oleh yang demikian seharusnya TLDM diberikan platform untuk melaksanakan tugas tersebut dengan efisyen dan efektif dan apa yang pasti kehadiran kapal selam akan memberikan kekuatan untuk melaksanakan perkara tersebut berlipat kali ganda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan