Ahad, 22 November 2009

Kenali 8 jenis cinta

Dalam meniti perjalanan hidup, dimensi waktu dan ruang, pasti ada sesuatu yang mampu mengubah arah tuju atau mendominasi kehidupan. Sama ada disedari atau tidak, itu hakikatnya. Buktinya ramai yang gagal kerana cinta. Tetapi ramai juga yang berjaya kerana cinta. Terpulang kepada diri masing-masing untuk memilih, memelihara dan mengekalkan keabadian cinta. Terdapat lapan jenis cinta yang paling popular menjadi idaman atau pun yang telah dimiliki. Cuba semak, cinta manakah yang anda dambakan atau berjaya milikinya?

1.Cinta Erotik

Merupakan cinta yang wujud berdasarkan fizikal, romantis dan erotik. Pemilik cinta erotik percaya cinta adalah berpunca dari pandangan pertama. Mereka juga mempunyai tarikan kuat terhadap penampilan, fizikal yang disertai dengan dorongan emosi dan komitmen yang kuat terhadap pasangan. Sering kali cinta sebegini dialami oleh golongan remaja. Cinta erotik sangat menggebu dan perlu berani menanggung risiko. Dalam berpasangan, mereka menganggap ciuman dan pelukan adalah penting bagi membuktikan rasa cinta itu. Namun kebiasaannya, kehangatan cinta ini hanya dirasakan sehingga tiga bulan pertama percintaan terjalin. Waktu ini, terasa bagaikan dunia ini dipancarkan jalur-jalur pelangi yang indah dan hati sentiasa berbunga bahagia. Selepas tiga bulan, agak-agak apa yang terjadi ya? Bak kata Nabil Raja Lawak: “Lu pikirlah sendiri!”

2.Cinta Ludo

Game playing love by Casanova. Seseorang yang gemar mempermainkan cinta merupakan penganut cinta ini. Jenis cinta yang penuh dengan permainan, sandiwara, godaan dan pujuk rayu yang mampu menumbangkan sekeping hati. Si cinta Ludo tidak pernah serius dalam soal cinta. Mereka cepat bosan bila mangsa buruanya amat mudah ditakluki. Tidak ada cabaran. Dari sudut positif, mereka ini penuh keyakinan dan percaya pada diri sendiri kerana untuk mempermainkan cinta, perlukan dua elemen ini. Mereka harus pandai membohongi, menyakinkan dan membuatkan pasangan terus dibuai denga cinta pura-pura ini. Jenis cinta ini cepat beralih arah dan sangat dangkal. Kalau musim ada empat: Bunga, Luruh, Sejuk dan Panas. Tapi cinta ini tidak tergapai jumlah musimnya. Mungkin INFINITI!

3.Cinta Mania

Merupakan kombinasi antara cinta erotik dan ludo. Jenis cinta ini tidak terlalu sulit untuk ditemui kerana ramai yang memilikinya. Mania adalah cinta yang obsesi, penuh dengan rasa cemburu, suka menguasai dan bergantung kepada pasangannya. Kebanyakan cinta sebegini boleh merosakkan seseorang. Ia sangat menuntut perhatian ekstra daripada pasangan dan jika putus cinta, mereka akan rasai bagaikan hendak kiamat dunia dibuatnya. Mereka sangat takut akan berlakunya perpisahan dan sedaya upaya menjaga cinta agar sentiasa kuat. “Tanpa cinta, hidup tidak bermakna…” Betul ke?

4.Cinta Slow Motion

Jalan cerita ini sangat perlahan tapi sering kali berbuah hasil. Cintanya muncul dari sebuah persahabatan, kemudian bertambah mantap apabila ada rasa cinta dalam hati. Lalu dari persahabatan bertukar pada percintaan. Pasangan dianggap sebagai sahabat dan kekasih terhebat. Sentiasa melalui denai-denai bahagia dan azab-azab derita bersama-sama. Saling memerlukan dan melengkapi antara satu sama lain. Namun cinta sebegini sering kali berjalan secara mendatar. Sukar melalui proses-proses pertelingkahan kerana masing-masing terlalu menjaga hati walau pun ada kalanya menyakitkan hati sendiri. Moral of the story: Biar kayuh perlahan-lahan tapi selamat sampai ke destinasinya.

5.Cinta Pragmatik

Jenis cinta ini biasanya dimiliki mereka yang mempunyai keperibadian yang dewasa dan matang. Seseorang yang pragmatic adalah orang yang realistik dan praktik. Memutuskan sesuatu keputusan tanpa sebarang imbuhan romantisme sama sekali, sebaliknya lebih rasional dan penuh perhitungan. Dalam berpasangan, pragma merupakan tahap cinta yang telah memasuki bulan ke 12 hingga 18. Pada tahap ini, getaran cinta tidak lagi penting. Apa yang lebih penting, bagaimana mahu menyemarakkan dan mengekalkan cinta itu. Macam salah satu lirik lagu kumpulan Dewa, “Aku bisa membuatmu jatuh cinta kepadaku walaupun kau tak cinta kepadaku. Beri sedikit waktu biar cinta datang kerana telah terbiasa.

6.Cinta Agape

Ia menunjukkan pada cinta yang kekuatannya melebihi ego dan fizikal semata. Inilah cinta yang tidak mementingkan diri sendiri, mempunyai keperluan untuk member tanpa mengharapkan balasan. Cinta ini lebih fokus pada apa dan bagaimana perasaan mereka. Ia diberi bila ada respon, keperluan dan kehendak antara kedua pasangan. Bukan memaksa, terpaksa atau dipaksa. Bukan menagih cinta tetapi memberikan cinta pada seseorang yang begitu melekat di hati secara tulus dan ikhlas. Mereka akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk yang dicintai. Cinta sebegini sering kali mampu bertahan lama dn kekal harmoni biarpun ada kalanya bait-bait kepahitan datang menghampiri. Namun keteguhan sepasang hati itu mampu menyingkirkan segala bayang-bayang pemusnah lalu mencari alternative untuk terus bersama melayari cinta hingga ke garisan penamat. Bak kata pepatah, “Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan”.

7.Cinta Epithumia

Ia diekspresikan dalam suatu keinginan yang kuat, kadang-kadang baik dan ada kalanya jahat. Ini memberikan pengertian hati sedang bergolak, merindukan si dia yang telah menjadi hak atau mendambakan seseorang yang amat dicintai. Bila diadaptasikan dalam pengertian negatif, ia lebih terjermah pada dorongan hawa nafsu. Namun dari sudut positif, ia membawa pergertian cinta yang memiliki keinginan. Cinta ini boleh dikawal jika seseorang itu memikirkan tindak-tanduknya dengan menggabungkan keputusan dari hati dan fikiran. Namun jika sangsi atau bertindak, seseorang itu tidak dapat membuat keputusan tepat lalu memilih untuk berhadapan dengan risiko. Berjaya atau kecundang, biar takdir yang menentukan. Apa yang penting, cuba, cuba dan terus mencuba.

8.Cinta Phileo

Merupakan cinta dari persaudaraan, komunikasi dan persahabatan. Phileo mengasuh dan mempunyai nilai kasih sayang yang lembut terhadap orang yang dikasihi, tetapi meletakkan harapan yang menggunung tinggi. Ia juga saling berkongsi buah fikiran, kritikan, saling berbicara secara terbuka dan berkongsi apa saja. Jujur, yakin dan percaya adalah tiga kunci utama dalam cinta Phileo. Namun andai cinta jenis ini tersungkur, pasangan itu mampu berubah menjadi musuh yang paling utama kerana dendam dan rasa sakit yang mendalam tetapi sukar untuk dihilangkan. Forgive doesn’t mean forget & forget doesn’t mean forgive!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan